Friday, May 28, 2010

Seni gubahan bunga




IKEBANA, seni gubahan bunga dari Jepun yang sudah berusia lebih 700 tahun, mementingkan pengadunan antara alam semula jadi dan kemanusiaan serta mementingkan hasil garisan dan bentuk.

Ikebana dipercayai berasal daripada tradisi mempersembahkan bunga di kuil Buddha dan berkembang selari dengan perkembangan agama tersebut sebelum diajar secara meluas kepada seluruh masyarakat di negara matahari terbit itu.

Kini ikebana bukan sahaja menjadi sebahagian daripada warisan budaya Jepun malah seni gubahan unik ini telah diperkembangkan ke seluruh dunia.

Bahan-bahan untuk ikebana sebenarnya mudah diperoleh di pekarangan rumah, taman bunga, kebun, kawasan kampung atau dalam hutan.

Ikebana tidak memerlukan bunga pelbagai jenis dan warna. Sebaliknya, lalang, lidi, ranting kayu, akar dan pucuk daun kelapa juga boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan satu gubahan menarik dan penuh pengertian.

Apa yang penting dalam gubahan ikebana ialah si penggubah mesti melapangkan diri dan menikmati proses menghasilkan sesuatu gubahan mengikut perasaan.

Menurut pakar ikebana, Dr. Leonard Lim, terdapat bermacam jenis ikebana yang setiap satu mempunyai cara tersendiri dalam merangkai pelbagai jenis bunga.

Katanya, pada jenis-jenis tertentu, orang melihat gubahan tepat daripada depan sementara aliran lain orang melihat gubahan yang berbentuk tiga dimensi sebagai dua dimensi sahaja.

''Ikebana tidak mementingkan keindahan bunga tetapi pada aspek pengaturannya menurut garisan lurus. Bentuk-bentuk dalam ikebana mewakili tiga titik, iaitu langit, bumi dan manusia.

''Bagi mereka yang belajar mengenai ikebana mengetahui bahawa ikebana adalah suatu keraian dalam kehidupan. Pada setiap gubahan tergambar keindahan landskap, gunung-ganang dan sungai-sungai,'' ujar Dr. Leonard yang merupakan seorang pakar bedah gigi dari Singapura.

Dr. Leonard datang ke Malaysia bagi menunjukkan demonstrasi gubahan ikebana pada majlis Ikebana's Hidden Beauty...Revealed yang diadakan di Hotel Park Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis telah dirasmikan oleh Penaung Di Raja Persatuan Ikebana Malaysia, Tuanku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin. Turut hadir ialah isteri Duta Jepun ke Malaysia, Yoko Horie, Presiden persatuan, Tengku Datin Noorahaniah Tengku Shamsuddin dan pengerusi pameran, Datin Paulene Tunku Mu'tamir.

Satu pameran ikebana turut diadakan di mana sebanyak 50 gubahan ikebana karya ahli-ahli persatuan dipertontonkan kepada orang ramai.

Pada majlis tersebut, Dr. Leonard telah menunjukkan cara membuat lapan jenis gubahan ikebana yang berbeza.

''Ikebana adalah tentang hubungan dengan alam semula jadi. Kehidupan kita dikelilingi oleh flora dan fauna dan setiap kehidupan ini membawa maksud yang begitu mendalam.

''Gubahan ikebana menghiasi rumah orang Jepun dan diletakkan pada tempat tertentu. Tetamu yang datang dapat menikmati sesuatu gubahan itu daripada sudut mana pun mereka duduk.

"Benda penting dan pertama yang dilihat oleh tetamu ialah bekas gubahan ikebana itu sendiri.

''Gubahan ikebana menggunakan bahan yang mudah didapati. Lebih mudah sesebuah gubahan itu, ia dilihat lebih cantik dan menarik,'' jelasnya.

Demi minatnya kepada ikebana, Dr. Leonard telah dijemput ke banyak negara bagi menunjukkan bagaimana membuat gubahan tersebut.

Menurut 'sifu' ikebana ini, dahulu hanya kaum lelaki dibenarkan membuat gubahan namun lama-kelamaan wanita turut dibenarkan dan ia kini lebih popular di kalangan golongan tersebut.

Beliau menjelaskan, terdapat tiga gaya dalam gubahan ikebana, iaitu rikka, shoka dan jiyuka.

''Rikka merupakan ikebana gaya tradisional yang banyak digunakan dalam perayaan keagamaan.

"Gaya ini menampilkan keindahan landskap tanaman dan berkembang sekitar awal abad ke 16.

''Shoka pula adalah rangkaian ikebana yang tidak terlalu formal namun masih tradisional dan memfokus kepada bentuk asal tumbuh-tumbuhan.

''Sementara jiyuka pula adalah rangkaian ikebana bersifat bebas di mana rangkaiannya dibuat atas kreativiti dan imaginasi.

" Gaya ini lebih terkenal selepas Perang Dunia Kedua. Ikebana jiyuka menggunakan bahan-bahan asas seperti kawat, logan dan batu,'' ujar Dr. Leonard lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: