Monday, May 31, 2010

Ingin miliki kasut Jimmy Choo


ZIZI mengumpul pelbagai stail kasut bergantung pada kesesuaian fesyen yang digayakannya.


"SAYA memang gila kasut." Itulah pembuka kata gadis yang mula bersinar menerusi kumpulan The Fabulous Cat (TFC), Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizi Mohd. Tahil ketika mengeluarkan kasut-kasutnya daripada sebuah beg besar untuk diambil gambar.

Menariknya tentang Zizi, gadis berusia 25 tahun itu tidak tertumpu pada satu stail kasut sahaja.

Lihatlah kebanyakan kasut yang dibawanya untuk sesi fotografi Diva Stailo ini mempunyai pelbagai gaya seperti kasut but, kasut tumit tinggi, tumit rendah dan kasut snickers.

Bintang yang lahir daripada Akademi Fantasia 7 (AF7) itu berkata, dia mula obses mengumpul kasut sejak bergelar penyanyi dan ia amat berguna ketika mengadakan persembahan.

Tidak seperti gadis-gadis yang lebih mementingkan pakaian berbanding perkara lain, Zizi sanggup berhabis wang demi kasut yang diingini.

"Setakat ini, saya memiliki lebih daripada 100 pasang kasut. Ada yang saya simpan di rumah, ada juga saya simpan di kampung di Sabah.

"Membeli kasut pula bergantung pada bajet yang saya ada dan biasanya saya akan beli kasut untuk persembahan pentas.

"Kadangkala saya pakai ketika beriadah bersama teman-teman.

"Apa pun, dari segi harga, saya akan mengehadkan pembelian kasut pada harga RM500 maksimum kerana belum mampu lagi untuk membeli kasut yang bernilai ribuan ringgit.

"Ia satu pembaziran memandangkan ekonomi saya belum kukuh.

"Tapi saya akui bahawa saya ada menyimpan hasrat untuk membeli kasut berjenama mewah seperti Jimmy Choo dan Louis Vuiton jika berkemampuan nanti," katanya tersenyum.

Tambah Zizi, antara jenama kegemarannya ialah Charles and Keith, Vincci, Aldo, Nose, Zara, Top Shop dan Forever 21.

Dalam pada itu, Zizi juga akan pergi ke butik kasut yang membuat jualan murah agar dapat membeli dalam jumlah yang banyak.

"Selalunya, saya akan membeli-belah bersama teman rapat seperti Wangi (TFC) dan Aishah AF7.

"Membeli-belah bersama teman sebenarnya lebih seronok kerana kami akan memberi pendapat masing-masing sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu barangan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: