Saturday, January 31, 2009

Gambar Fasha Sandha Hisap Rokok Dan Akan Berkahwin!

image

".....Dalam usia yang akan mencecah ke angka 25 tahun pada 18 Mac nanti, saya memang sudah cukup bersedia untuk bergelar isteri. Saya rasakan usia itu cukup ideal bagi seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga. Sejak dahulu lagi, saya memang merancang untuk berkahwin kala usia mencecah ke angka itu. Namun usah di tanya siapakah gerangan jejaka yang bakal saya nikahi. Saya tidak akan memperkenalkannya kepada umum. Jika ingin mengetahuinya tunggulah sehingga hari pernikahan kami nanti. Apa yang boleh saya katakan dia seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dan merupakan seorang ahli perniagaan terkemuka. Saya tidak mungkin akan berkahwin dengan orang biasa. Bukan mengejar kebendaan tetapi kos hidup masa kini memerlukan saya untuk mencari somebody agar kehidupan saya di masa hadapan akan lebih terjamin....."

"...Sememangnya saya amat berharap agar Tuhan mempertemukan jodoh di antara kami. Justeru saya sering mendoakan agar hubungan ini berkekalan hingga ke jinjang pelamin, katanya yang enggan  memberikan sebarang komen apabila di tanya sama ada pilihan hatinya merupakan bekas suami seorang artis yang pernah digosipkan dengannya suatu ketika dahulu.."

"....Bohonglah kalau ada yang menyatakan duit tidak penting dalam hidup mereka. Bagi saya duit memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan rumah tangga. Tidak hanya kestabilan ekonomi tetapi juga keseimbangan dari segi emosi kerana zaman sekarang segalanya menelan kos yang tinggi. Dan salah satu punca rumah tangga pasangan suami isteri berantakan adalah kerana masalah kewangan. Tapi itu bukan bermaksud saya mencari yang terlalu kaya atau bergelar jutawan. Cukup dia mempunyai kerjaya yang stabil dan boleh menjamin masa depan saya dan anak2 kami nanti..."

Zulkifli Ariffin...Salahkah saya guna kereta Abby?


ZUL semakin dikenali gara-gara kontroversi dengan pelakon jelita Abby Abadi.


POPULARITI yang diraih pendatang baru, Zulkifli Ariffin, 23, atau Zul dilihat cukup singkat, semuanya gara-gara dia dikatakan berkawan rapat dengan bekas isteri pelakon popular Norman Hakim, iaitu Abby Abadi.

Namanya mula dikaitkan dengan Abby apabila dia dilihat menghadiri prosiding penceraian Abby dan Norman pada 18 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika itu dia menjelaskan, kehadirannya tidak lebih sekadar memberi sokongan kepada seorang kawan, sementelah dia dan Abby sama-sama terlibat dalam drama bersiri popular Gerak Khas selepas nama Norman direhatkan. Namun, namanya kembali panas apabila Zul mengakui baru-baru ini dia dan Abby pergi bercuti ke China. Zul tampil dengan kenyataan bahawa pemergiannya ke Guangzhou, China selama enam hari minggu lalu hanya kerana urusan perniagaan.

Bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai hubungannya dengan Abby, Kosmo! menemubual Zul. Ikuti temu bual bersamanya.

Kononnya tidak lebih daripada kawan, kalau kawan biasa mengapa pergi berdua sehingga ke China?

Kami bukan pergi bercuti seperti yang didakwa ataupun pergi berdua. Itu tak betul! Saya pergi bersama rakan yang lain termasuk Abby sekali. Lagi pun tujuan kami ke sana untuk meninjau peluang perniagaan fabrik, jadi jangan fikir yang bukan-bukan.

Ini bermakna kalian merancang membuka perniagaan bersama?

Ya, memang ada perancangan, tetapi masih peringkat perbincangan lagi. Saya tidak berani nak cakap habis, takut tak jadi pula.

Nampak sangat hubungan sudah sangat rapat, ialah, sampai buka bisnes. Tidak takut akan spekulasi hangat lagi?

Buat apa nak takut, saya rasa biasa saja rakan artis bekerjasama dalam perniagaan, ramai juga artis lain yang jadi rakan kongsi perniagaan. Begitu juga saya dan Abby. Kalau nak dengar cakap orang sampai bila pun saya tidak maju. Saya bukannya buat perkara tidak elok, ini untuk tambah rezeki, tolong jangan anggap yang buruk tentang kami. Saya dan dia hanya kawan saja.

Tetapi sejak penceraian Abby, Zul dilihat sering saja mendampingi Abby, malah Zul juga kerap memandu kereta milik Abby, itu sudah memperlihat sisi lain dalam hubungan kalian.

(Ketawa) Mana ada hubungan seperti yang dimaksudkan. Saya dan Abby berlakon dalam drama Gerak Khas, pergi lokasi penggambaran dia dan saya ada. Jadi, mungkin sebab itu orang nampak kami selalu bersama. Tentang memandu keretanya, itu hal kecil yang tidak perlu diperbesarkan.

Kalau sudah bagi pakai kereta, maknanya intimlah tu ya?

Kalau ada kawan yang nak pinjam kereta, sayapun akan bagi juga. Bila-bila masa saja, asalkan jangan rosak sudahlah. Jadi apa masalahnya?

Baru saja berlakon beberapa drama sudah ditawarkan watak dalam filem Evolusi KL Drift 2, senang sungguh perjalanan kerjaya Zul. Orang di luar sana menganggap Zul mempergunakan kesempatan yang ada pada Abby untuk popular. Komen?

Saya memang lama minat dalam lakonan sejak jadi model lagi. Kebetulan ketika saya baru memulakan kerjaya lakonan semua hal ini terjadi. Bukan saya yang pinta untuk berada dalam situasi begini. Ia terjadi dengan sendirinya. Saya hanya menganggap semua tawaran yang datang sebagai rezeki. Saya tidak mempergunakan Abby, tetapi saya akui kerana dia saya lebih dikenali ramai. Ingin saya tegaskan saya tidak pernah mengharapkan populariti dengan cara begini.

Tumpuan khalayak lebih kepada Memey yang dikatakan punca perceraian Norman Hakim dan Abby. Adakah Zul berasa lega bila orang tak babitkan Zul juga sebahagian dari puncanya?

Secara jujur, mula-mula nama saya dikaitkan dengan Abby, saya sedikit tertekan kerana masih baru dalam dunia lakonan. Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah mula faham dengan asam garam dunia seni dan menerima segala berita negatif atau positif dengan tenang hati. Apa yang penting niat saya menceburi bidang seni kerana ingin cari pengalaman dan rezeki, bukannya populariti murahan.

Kiriman doa untuk Palestin


MAYA KARIN



ERMA FATIMA



JAMAL ABDILLAH



REBECCA NUR ISLAM


DI SAAT rakyat Palestin sedang bertarung nyawa dengan rejim Zionis, hampir seluruh dunia membantah peperangan yang telah membunuh beribu-ribu nyawa itu.

Namun, bantahan itu seolah-olah diabaikan Israel. Mangsa-mangsa perang hanya mampu mendapat simpati daripada masyarakat dunia.

Tidak menyerah kalah, rata-rata pertubuhan Islam dunia, agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuklah Malaysia sendiri, membuat majlis amal mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rakyat Palestin selain memprotes peperangan yang membawa kehancuran itu.

Bermula esok, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia pula akan menganjurkan Majlis Doa Buatmu Palestin. Acara ini akan berlangsung selama dua hari bertempat di Laman Sari, Istana Budaya dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa) untuk menghulurkan bantuan dana dan doa kepada pejuang-pejuang Islam Palestin.

Menurut Pengerusi Yayasan tersebut, Erma Fatima, majlis ini adalah salah satu cara menunjukkan kesatuan rakyat Malaysia dalam merasai penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.

"Doa Buatmu Palestin adalah untuk memberi sokongan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap saudara kita di Gaza.

"Selain itu majlis ini juga merupakan bantahan dan kutukan ke atas kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis," katanya.

Bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 malam, setiap detik masa itu akan diisi penuh dengan pelbagai acara seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, zikir dan selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Tambah Erma, terdapat juga karnival jualan sebanyak 50 buah gerai di pekarangan Istana Budaya oleh artis-artis seperti Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Rubiah Suparman, Enot, Ayati Tasrip dan Ramli (Mohram).

Pereka-pereka fesyen terkenal seperti Albert King, Micheal Ong, Calvin Thoo dan Jovian Mandagie, Razwan Radzwill dan Azura. Selain barisan di atas, banyak lagi artis juga akan hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

"Selain itu, lelongan barangan selebriti turut diadakan. Kesemua hasil keuntungan itu akan dimasukkan ke Tabung Kutipan Palestin.

"Pada hari kedua, selepas sembahyang Maghrib, kami akan mengadakan solat hajat bersama Datuk Seri Shafie Apdal, artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan di lobi Istana Budaya dan ia akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara," jelas Erma.

Solat hajat tersebut juga akan dipaparkan di skrin yang akan diletakkan di pekarangan karnival. Bacaan Yasin dan surah-surah turut dibacakan oleh artis-artis serta tetamu-tetamu jemputan.Orang ramai dijemput hadir menyokong usaha ini dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung.

Beyonce dimensi ganas





DIKENALI dunia secara komersial sebagai Beyonce, penyanyi, penulis lagu, penerbit dan aktres ini mula mengumpul populariti sebagai vokalis utama kumpulan Destiny's Child pada tahun 1990-an.

Ketika Destiny's Child membuat keputusan untuk berpecah dan menjalani arah tuju sendiri pada tahun 2005, ramai yang sedih dan tidak kurang juga yang bimbang Beyonce tidak mampu mengekalkan popularitinya.

Namun, terbukti semua kebimbangan itu sia-sia sahaja. Album solo pertamanya, Dangerously in Love yang diterbitkan pada Jun 2003 (ketika masih bersama Destiny's Child) membolehkan Beyonce membawa pulang lima anugerah Grammy 2004.

Setahun selepas bergerak solo, Beyonce menghadiahkan pula album keduanya, B'Day kepada peminat pada tahun 2006. Album ketiganya, I Am ...Sasha Fierce yang dipasarkan pada 18 November lalu dikatakan mendapat inspirasi daripada filem biografi muzikal lakonannya, Cadillac Records.

Kejayaan album solonya juga mengukuhkan Beyonce sebagai salah seorang artis paling laris dalam industri muzik. Turut mengembangkan karier dalam bidang lakonan dan fesyen, Beyonce merupakan pemuzik kedua termahal dari jangkamasa Jun 2007 hingga Jun 2008 dengan keuntungan AS$80 juta (RM289 juta).

Berkahwin dengan penyanyi rap, Jay-Z pada 4 April 2008, Beyonce dilahirkan di Houston, Texas dan mempunyai seorang adik, Solange yang juga merupakan seorang penyanyi.

Mendapat penghormatan untuk membuat persembahan pada majlis tarian Presiden Amerika Syarikat ke-44, Barack Obama di Washington, DC pada 20 Januari lalu, Beyonce menyampaikan lagu Etta James, At Last.

Persembahan dia telah mengharukan Obama serta isterinya, Michelle sehingga mereka mengalirkan air mata bersama Beyonce. Ingin ketahui lebih lanjut mengenai album solo ketiga Beyonce, ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh Sony BMG Malaysia.

Album terbaru anda mendedahkan sisi berlainan dari segi personaliti, perwatakan dan kepekaan. Perkembangan ini menampakkan keseimbangan yin dan yang dalam nilai kesenian anda. Ceritakan sedikit mengenai I Am ...Sasha Fierce.

BEYONCE: Semasa saya memulakan album ini, saya tahu saya perlu berkembang dari segi kesenian hiburan. Walaupun saya amat berjaya dan bertuah selama ini, saya masih mahu mencabar diri dan kekal gementar serta bimbang terhadap semua benda. Ini yang membuatkan karier saya lebih mengujakan.


DI PENTAS, Sasha Fierce sentiasa menemani Beyonce yang disifatkan sebagai sisi lain diri penyanyi itu.


Cakera padat (CD) pertama dirakam dengan judul I Am, menghadiahkan peminat seleksi lagu balada. Manakala dalam CD kedua berjudul Sahsa Fierce pula memaparkan lagu tempo rancak berunsur tarian. Mengapa memilih untuk menyampaikan dua sisi berbeza Beyonce dalam album terbaru anda?

Saya selalu berpendapat diri saya mempunyai dua sisi perwatakan berbeza. Sasha Fierce ialah diri yang bertentangan dengan saya. Semasa menyanyi dan membuat persembahan di atas pentas, Sasha Fierce dibawa bersama untuk melindungi saya.

Itulah sebabnya mengapa separuh daripada album ini, I Am adalah mengenai siapa diri sebenar saya tanpa solekan, tidak berada di atas pentas dan berjauhan daripada status selebriti.

Namun, Sasha Fierce lebih menyeronokkan, agresif, menonjol dan glamor yang hanya keluar semasa saya bekerja dan berada di pentas. Album dua CD ini memberikan saya lebih risiko untuk menonjol dan mendalami diri sendiri serta mendedahkan sisi lain Beyonce.


BEYONCE mampu membuktikan kehebatannya selepas Destiny's Child berpecah.


Untuk koleksi lagu dalam CD I Am, anda berkolaborasi dengan penulis lirik dan penerbit yang anda jarang bekerjasama seperti Toby Gad untuk lagu If I Were A Boy dan penulis lagu United Kingdom, Amanda Ghost dalam lagu Disappear, Satellites dan Ave Maria. Mengapa memilih mereka?

Apabila saya tahu beberapa perkara yang ingin saya katakan tidak dapat disampaikan, saya akan mendapat khidmat penulis lain. Melihat daripada sudut lirik, ini adalah album terbaik yang pernah saya rakamkan. Jika sebuah lagu tidak menyampaikan mesej atau tidak membawa sebarang maksud kepada saya, saya tidak akan memasukkan dalam album saya.

Single pertama dari CD I Am, If I Were a Boy amat berbeza daripada lagu balada anda sebelum ini.

Ia bukan lagu R&B tradisional. Sebenarnya ia amat sukar untuk menawarkan benda baru dan berkembang kerana orang ramai mempunyai harapan tinggi. Ketika ini, saya mahukan orang ramai mendengar lagu dengan lirik yang kukuh.

Saya suka menyampaikan lagu balada kerana saya dapat rasakan muzik dan emosi di sebalik ceritanya tanpa sebarang gangguan. Saya memang mahukan orang ramai mendengar suara dan apa yang ingin saya katakan.

Majalah Entertainment Weekly menggambarkan lagu Single Ladies (Put A Ring On It) sebuah lagu hibrid rancak yang membuatkan pendengar akan mahu berdiri dan menari. Ceritakan sedikit mengenai lagu ini.

Lagu ini menceritakan kisah seorang wanita yang sudah bersama seorang lelaki terlalu lama. Namun, wanita ini membuat keputusan untuk meninggalkan lelaki itu dan membiarkan dia sengsara kerana dia patut berkahwin dengannya.

Seperti dalam hidup, saya rasa keyakinan itu penting. Jadi saya mahu menyeru wanita-wanita di luar sana untuk lebih berkeyakinan dan hidup bergembira walaupun keseorangan.

Ada sebuah lagu yang menarik berjudul Radio dalam CD Sasha Fierce. Bagaimana mendapat idea untuk lagu ini?

Lagu ini secara asasnya bercerita mengenai zaman kanak-kanak saya. Anda mungkin berasa seronok mendengar lagu ini. Tetapi jika anda mendengar liriknya, ia adalah proses pembesaran saya. Semasa muda, saya tidak berpeluang untuk berparti dan tidak melakukan banyak perkara yang biasa dilakukan oleh remaja lain kerana saya terlalu cintakan radio dan muzik.

Saya terlalu sukakan radio dan ibu bapa saya gembira kerana saya meminati sesuatu yang positif. Mungkin lagu ini dibikin dengan rancak tetapi saya masih ingin menyampaikan mesej. Sasha Fierce adalah gabungan lagu-lagu sebegitu.


PASANGAN terkaya di Hollywood dalam jangka masa Jun 2007 sehingga Jun 2008.


Anda baru sahaja terlibat dalam filem profil tinggi dengan memegang watak penyanyi legenda, Etta James dalam filem Cadillac Records. Ceritakan sedikit mengenai watak anda serta pengalaman anda menjadi penyanyi legenda R&B.

Menjadi Etta James di layar lebar adalah satu cabaran emosi bagi saya kerana Etta berdepan dan mengharungi pelbagai cabaran dalam hidupnya - sesuatu benda yang saya tidak pernah melaluinya. Saya perlu menggali secara mendalam supaya dapat memberikan persembahan terbaik yang mampu mencerminkan Etta sebaiknya.

Satu perkara yang 'dia' mengajar saya adalah keberanian. Dia amat berani dan tidak mahu mengubah hidupnya untuk sesiapa. Jika bukan kerana lagunya dimainkan di corong radio (dia merupakan wanita Afrika-Amerika pertama diberi peluang), saya rasa saya tidak akan mempunyai peluang seperti sekarang. Watak ini adalah yang terbaik pernah saya jayakan setakat ini. Ia memberikan saya kekuatan dan keyakinan untuk keluar daripada zon selesa.

Serius semua perkara


Lucy Liu

Didikan keluarga menjadi pegangan kuat kepada pelakon filem Shanghai Noon berdarah Cina, Lucy Liu

SEMPENA sambutan Tahun Baru Cina Isnin ini, Zoom menyingkap kisah pelakon berdarah Cina, Lucy Liu, dilahirkan di Queens, New York, Amerika Syarikat kira-kira 40 tahun lalu.

Liu adalah antara aktres keturunan Cina yang memecah tembok dunia seni di Hollywood dan diterima ramai. Biarpun berada di puncak kerjayanya dan berjaya mencipta nama di kota raya penuh glamour serta mencabar, namun darah keturunan Cina yang mengalir di tubuhnya masih tebal, malah ia tetap menjadi kebanggaan si mata sepet ini.

Bagaimanapun, kejayaan yang dilakarnya bukan semudah memetik jari. Bahkan lumrah kehidupan apabila isu darah keturunannya masih dijadikan perbandingan dan persoalan sejak awal kemunculannya mengharungi kerjaya sebagai pelakon.

Itu satu konotasi klise yang harus diharungi, namun berbekalkan semangat yang kental, Liu berjaya mengharungi kegetiran itu dengan bijak hingga namanya tergolong sebaris dengan aktres Hollywood kelas A atau sekurang-kurangnya kerap diberi peluang berlakon dalam filem bajet tinggi.

Ia selari dengan ajaran keluarganya yang masih berbekas dalam jiwanya hingga kini iaitu untuk tidak mengambil sesuatu perkara dengan perspektif mudah dan asal boleh saja. Pesanan azimat itu terus dipegang utuh Liu yang berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi Britney Spears pada 2 Disember.

GAYA seorang bintang.

“Saya bangga dengan warisan dan keturunan ini tetapi, ya, saya masih berada dalam keadaan yang berbahaya apabila istilah prejudis melatari kehidupan wanita Cina seperti saya.

Ini terutamanya dalam misi saya menggapai impian bergelar bintang Hollywood, malah meniti hidup seperti manusia lain.

“Lama kelamaan, saya sudah biasa dan lali dengan isu itu. Malahan saya cuba mengimbangi antara budaya Cina dan keinginan saya melangkaui pengalaman bergelar warga negara Amerika-Asia. Kadang-kadang saya sendiri keliru sama ada saya orang Asia atau Amerika Syarikat, lalu saya perlu mengenal pasti latar belakang sebenar diri ini,” katanya.

Menurutnya, dengan sikap yang sudah agak terbuka oleh penduduk Amerika, isu prejudis terhadap dirinya yang berketurunan Asia itu kini sudah tidak menjadi penghalang lagi tetapi dia masih berhati-hati kerana perkara itu boleh ditimbulkan pada bila-bila masa saja.

BERSAMA teman rapat juga dua pelakon utama Charlie's Angles iaitu Cameron Diaz (tengah) dan Drew Barrymore.

“Bagaimanapun, kini saya sudah biasa dan tidak menjadikan persoalan itu sebagai penghalang untuk saya terus mara bergelar pelakon. Saya berharap untuk hidup tanpa memandang ke belakang lagi.

“Jika orang berbaik dengan saya, kenapa perlu saya bermusuh dengan mereka,” katanya yang fasih bercakap dalam enam bahasa.

Kisah peribadi Lucy Liu memang jarang diperkatakan. Dalam satu temu bual yang pernah dijalankan beberapa tahun dulu, ada kemungkinan yang mengandaikan Liu seorang biseksual.

Laporan itu sebenarnya mahu menyindir sikap dan persepsi sesetengah pihak yang mudah membuat andaian tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Saya fikir orang selalu salah faham dengan siapa diri mereka yang sebenarnya. Mulut selalu bercakap dan saya beri contoh, si polan itu dan si polah ini dulunya wanita sejati, kemudian dia bertukar menjadi lesbian dan akhirnya kembali kepada azali kehidupan manusia.

“Ini lumrah kehidupan manusia yang selalu melabel dan menjaga tepi kain orang sedangkan cerita sebenar mereka sendiri tidak tahu.

“Adakalanya apabila kita jatuh cinta dengan seseorang, dek kuasa cinta itu mungkin anda sendiri tidak memikirkan soal jantina atau apa natijah yang akan terjadi di kemudian hari. Saya rasa, kalau nak dijadikan cerita, saya bercinta dengan wanita, setiap orang akan terus memperkatakannya. Tetapi akan akan jadi, apabila saya bercinta dengan lelaki, saya rasa semua orang tidak ambil peduli,” jelasnya lagi.

Dilahirkan dalam keluarga kecil bersama abangnya yang dikenali sebagai, Alex Liu, pelakon Charlie’s Angels ini mengakui dirinya sangat berbilang kerja.

Katanya, dia boleh melakukan 10 perkara dalam satu masa. Selain berlakon, Liu juga aktif dengan kerja amal, mempunyai galeri lukisan yang mempamerkan hasil seninya.

Liu pernah menderma hasil jualan lukisannya kepada UNICEF. Pada 2001, Liu pernah menjadi jurucakap untuk Lee National Denim Day yang dalam misi membantu penyelidikan dan pendidikan kanser payu dara. - Agensi

PROFIL: Lucy Liu

Nama penuh: Lucy Alexis Liu

Tarikh lahir: 2 Disember 1968

Lahir: Queens, New York, Amerika Syarikat

Drama lakonan: Beverly Hills musim kedua, ER, LA Law, Home Improvement, Ugly Betty, Cashmere Mafia, Dirty Sexy Money.

Antara filem: Jerry Maguire, Kill Bill: Vol 1, Charlie’s Angels: Full Throttle, Charlie’s Angels, Shanghai Noon, 3 Needles.

INFO: Lucy Liu

  • Fasih berbahasa Mandarin, Inggeris, Itali, Sepanyol dan Jepun

  • Mula belajar bahasa Inggeris di usia lima tahun.

  • Tinggal bersama abang dan isteri abangnya di New York.

  • Berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi kontroversi Britney Spears pada 2 Disember.

  • Namanya disebut di dalam lagu Hey Ya nyanyian kumpulan Outkast.

  • Berkawan baik dengan dua pelakon utama Charlie's Angels iaitu Cameron Diaz dan Drew Barrymore.
  • @Sinepleks: Chui Mui terus bina nama





    Dilantik juri Festival Filem Antarabangsa ke-38 di Rotterdam, Belanda

    BAKAT pengarah muda negara ini, Tan Chui Mui, nampaknya kian mendapat perhatian penganjur festival filem antarabangsa. Setelah menyertai beberapa festival di luar negara serta menerima anugerah pada beberapa festival yang lain, termasuk Festival Filem Antarabangsa Rotterdam Ke-36 dan Festival Filem Antarabangsa Pusan Ke-11, Chui Mui terus memahat nama di persada dunia perfileman.

    Bermula 21 Januari lalu hingga esok, pengarah berusia 30 tahun ini terbang sekali lagi ke Rotterdam. Kali ini, bukan mempertandingkan filem arahannya, sebaliknya Chui Mui berada di kota negara Belanda itu kerana memenuhi undangan sebagai juri Pertandingan Anugerah Harimau untuk Filem Pendek pada Festival Filem Antarabangsa Rotterdam Ke-38.

    Festival berkenaan dilihat sebagai antara lima festival filem terbesar di Eropah di samping festival serupa di Cannes, Venice, Berlin, dan Locarno. Harimau ialah maskot untuk festival terbabit.

    Antara juri lain yang mengadili anugerah itu kali ini ialah pembeli dan pembikin rancangan bagi syarikat penyiaran Sepanyol, Maria Pallier, serta wartawan yang juga kurator dan artis British, George Clark.

    Manakala bagi sesi tayangan perdana dunia pada festival berkenaan, tujuh filem pendek Chui Mui yang berada di bawah program All My Failed Attempts akan ditayangkan. Sebuah daripada filem pendek terbabit, Everyday Everyday, kini turut bersaing pada Festival Filem Clermont-Ferrand yang mengkhususkan kepada filem pendek saja.

    Chui Mui menghasil tujuh filem pendek terbabit pada tahun lalu. Khabarnya, dia berazam menghasilkan sebuah filem pendek pada setiap bulan dan pengarah wanita itu berjaya melaksanakannya.

    "Saya seronok menghasilkan filem pendek kerana ia selalunya dilakukan pada hujung minggu bersama rakan-rakan. Nyata, ia lebih menyeronokkan daripada menghasilkan filem panjang," katanya.

    Sementara itu, bagi penggemar hiburan berbentuk pengembaraan menyeronokkan, usah lupa berkunjung ke Genting Highlands Kota Keriangan apabila Taman Tema Tertutup di pusat peranginan berkenaan kini membawakan dua judul filem baru dalam bentuk 4D untuk hiburan orang ramai.

    Dua filem yang ditayangkan di 4D Motion Master itu ialah The Adventures Of Jett & Jin serta Monsters Of The Deep. Ia mula menemui penonton sempena sambutan Tahun Baru Cina.

    The Adventures of Jett & Jin ialah pengembaraan selama lapan minit dua watak utamanya yang berusaha mencari jalan paling pendek daripada langit ke bilik darjah. Sertai Jett, seorang budak lelaki yang mempunyai imaginasi tinggi, serta kucing kesayangannya, Jin apabila mereka menunggang kenderaan ciptaan sendiri untuk ke sekolah.

    Jika anda berasakan Jerung Putih ialah makhluk paling menakutkan di laut dalam, nampaknya ada sesuatu yang tidak kena pada anda. Cuba kenakan pakaian selam anda dan bersama-sama filem Monsters Of The Deep, anda akan mengikuti penjelajahan mengenali beberapa makhluk laut gergasi di dasar.

    Namun, sudah tentu tidak kesemua makhluk berkenaan mengerikan. Seekor penyu hijau yang mempunyai susur-galur 75 juta tahun keturunannya, akan mengetuai rombongan selam anda bagi menyaksikan kehidupan lebih 20 jenis raksasa laut dalam bentuk 4D yang mengagumkan.

    Rentak Malam: Irama jazz Sharizan di Alexis Ampang





    BAGI penggemar muzik jazz dan swing, nama penyanyi Sharizan Borhan tentu tidak asing di pendengaran. Dia antara penyanyi lelaki paling menyerlah dalam muzik genre berkenaan.

    Perjalanan seninya bermula lebih 20 tahun lalu apabila dia menyertai pertandingan Asia Bagus pada 1993.

    Selepas berjaya ke peringkat akhir pertandingan itu, Sharizan muncul dengan album perdana berjudul Hadir. Seterusnya album terbabit membawa tuah kepadanya apabila dia diumumkan sebagai Artis Baru Lelaki Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1997.

    Album kedua pula, Saat Ini, memahat namanya sebagai seorang daripada artis yang sering menghulurkan jasa kepada kerja kebajikan. Dia menerbitkan sendiri album itu bagi mengumpul sumbangan buat beberapa persatuan seperti Pertubuhan Kebajikan Wanita, Yayasan Hati Malaysia dan Persatuan Kanak-Kanak Klang.

    Malam ini, penyanyi yang baru muncul dengan album Timeless itu akan menghiburkan peminatnya di Alexis, Jalan Ampang, mulai jam 10.30 malam. Bagi mereka yang merindui suara merdu penyanyi ini, persembahan percuma itu tentunya perkhabaran yang cukup ditunggu-tunggu.

    Temui Ogy dan Dafi di Terbuka FINAS hari ini


    PROGRAM Hari Terbuka FINAS berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Februari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

    Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd. Aziz, berkata Hari Terbuka FINAS ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan FINAS dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

    Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan FINAS sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan FINAS dengan industri serta orang ramai".

    Antara aktiviti Hari Terbuka FINAS ialah pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman.

    Uji bakat lakonan

    Pengunjung berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan masuk suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor seperti Ahmad Idham, Pierre Andre dan dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Ogy Ahmad Daud, Elie Suriaty, Vanida Imran dan Nanu Baharudin.

    Peserta sesi lakonan yang terpilih akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan FINAS dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

    Sesi uji bakat ini adalah peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam lakonan. FINAS juga mengundang beberapa produser yang aktif untuk menilai sesi uji bakat tersebut.

    Peserta terbuka kepada warga negara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario yang disediakan oleh FINAS menggunakan dialog atau skrip sendiri.

    Sementara itu, gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) turut membuka ‘booth’ yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk. Persatuan terbabit memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri dari pelajar perfileman.

    Pameran jentera motor filem ’Evolusi KL Driff 2’ termasuk Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan Shamsul Datuk Yusof.

    Menambah meriah Hari Terbuka FINAS ialah sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hasmie, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi.

    Filem Histeria, Los & Faun dan Cicak Man 2: Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan FINAS (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths') juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P. Ramlee.

    "Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka FINAS. Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kita telah menyediakan kaunter khas bagi tujuan tersebut sepanjang tempoh program berlangsung", tambah Fazli.

    Gaya, kelas, kepuasan




    Peluang untuk memiliki barangan peribadi Ramli MS di Karnival Amal ABPBH2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, hari ini

    MENGHARGAI sesebuah jenama dan label mewah rekaan antarabangsa ibarat satu pelaburan yang berharga yang tidak boleh dibandingkan dengan nilai barangan itu dan hal ini ditafsirkan sendiri pemuzik terkenal, Ramli MS.

    Lalu, tidak hairanlah bekas pengetua Akademi Fantasia ini sanggup mengeluarkan ribuan ringgit untuk membeli helaian 'persalinan' yang membaluti tubuh badannya.

    Faktor harga bukan satu persoalan yang perlu ditimbulkan apatah lagi dianggap membanggakan diri atau bersikap bongkak apabila dikatakan cuba menunjuk-menunjuk di mata orang sekiranya berkemampuan membeli jenama mewah.

    Pandangan skeptikal ini sering wujud dan melambangkan kelas eksklusif seseorang individu. Bagi Ramli, masing-masing mempunyai pandangan sendiri dan katanya lagi, jenama mewah bukan satu kepuasan untuk dirinya.

    Malah, duda dua anak ini, cukup mementingkan kesempurnaan dengan meletakkan dirinya sebagai manusia yang mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.



    "Saya belajar dengan meletakkan diri saya ke arah terbaik demi kerjaya dan tabiat diri saya sebagai manusia. Apabila kita melihat apa juga benda yang cukup sempurna dan melengkapi konteks kerja, kehidupan harian dan peribadi, jenama mewah bukan semata-mata soal duit atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya ia satu cara kita menghargai sesuatu termasuk diri kita yang penat bekerja.

    "Sebagai contoh dalam tugasan saya sebagai pemuzik, saya ingin bekerja di kalangan pemuzik yang terbaik. Sebagaimana saya menghargai material dan kandungan sesebuah jenama, demikian juga halnya saya menghargai kerjaya dan persekitaran kerja. Kita juga ada hak untuk berada dalam keadaan yang terbaik, memakai produk yang berkualiti dan ia ibarat satu penjenamaan serta keyakinan diri apabila berada di khalayak ramai," katanya di awal bicara sambil memberitahu dirinya sangat merendah diri.

    Bertemu Ramli Khamis lalu di 'kediaman' unik miliknya, Ramli bersedia dan membenarkan Hip untuk merakamkan gambar koleksi barangan mewah yang bakal dilelong hari ini di karnival jualan dan lelongan amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza bertempat di Amcorp Mall, Petaling Jaya.

    Ramli antara selebriti yang terbabit menyahut usaha yang dikelolakan akhbar Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza. Insya-Allah, Ramli akan mula berada di tingkat tiga bangunan itu sekitar jam 1 tengah hari, bagaimanapun pun karnival bermula seawal jam 10 pagi hingga 6 petang.

    Sebanyak 12 koleksi miliknya iaitu jaket, kemeja, seluar jeans, semburan pewangi badan, tali pinggang dan tali leher akan dilelong dengan harga yang cukup istimewa dan munasabah.

    Jika ada yang ingin memiliki sepasang sut jenama Hugo Boss yang hanya dipakainya selama tiga jam sewaktu Anugerah Era berlangsung beberapa tahun lalu dan dibeli dengan harga mencecah empat angka tetapi akan dibida dengan harga permulaan dari RM500 hingga ke RM600. Kebanyakan koleksinya ini dibeli di Paris dan London. Ada antaranya koleksi yang dibelinya sejak 20 tahun lalu, malah ada yang hanya dipakai sekali saja.

    Menurut Ramli, 100 peratus keuntungan lelongan akan disalurkan ke tabung terbabit. Malah apabila melihat sambutan deretan nama selebriti yang menyatakan persetujuan untuk turut terbabit di dalam karnival ini, Ramli meluahkan rasa gembira dan bersedia untuk memberi sokongan.

    "Apa yang dianjurkan NSTP ini satu perkara yang bagus dan pembabitan artis menunjukkan kepekaan dan keprihatinan selebriti tempatan terhadap kemelut kemanusiaan yang melanda rakyat Palestin. Kita sama-sama akan membuat kebajikan (hari ini). Kalau nak menderma sekalipun biarlah setulus hati dan tidak terbit langsung kekesalan untuk saya 'mengorbankan' barangan ini semua. Lagipun, ia untuk tujuan baik dan tidak salah saya melelong barang yang masih elok untuk dipakai," katanya serius.

    Info menarik Ramli MS terhadap barangan mewah yang sering dibelinya

    • Selesa memilih barangan yang tidak terlalu menonjol
    • Paling penting, dia tidak suka membeli pakaian yang menunjukkan logo sesebuah jenama yang jelas kelihatan di pandangan mata.
    • Mengenai harga, dia memilih barangan yang tidak terlalu melampau harganya di samping menitik beratkan material yang ada dan berbaloi untuk dibeli.


    Barangan lelongan Ramli MS
    • Kemeja berkolar Hugo Boss dan kemeja T berlengan panjang, Armand Basi dilelong pada harga permulaan RM150.
    • Dua pasang jeans jenama Paul Smith dan Aigner akan dilelong pada harga permulaan RM450 setiap satu.
    • Jaket Christian Dior dan Zegna, kedua-duanya dibida dengan harga permulaan RM350 dan bersaiz 50
    • Sepasang sut denim Hugo Boss dilelong pada harga permulaan sekitar RM500 hingga ke RM600
    • Set pewangi Estee Lauder dan Clinique masing-masing dijual pada harga RM150
    • Tali pinggang Prada dan Gucci boleh dengan harga bidaan RM550 dan bersaiz 85
    • Tali leher Hermes pula dilelong pada harga permulaan RM400


    Menarik ABPBH 2008 Untuk Gaza
    • Selain lelongan dan jualan amal, turut dilakukan sesi bergambar bersama artis dikenakan bayaran berpatutan dan persembahan artis popular. Setiap bayaran dimasukkan terus ke Tabung NSTP Untuk Gaza.
    • Anita Sarawak melelong dan menjual pakaian yang pernah dipakainya sewaktu membuat persembahan pentas dan menghadiri acara hiburan.
    • Pelakon Sherry Ibrahim menjual biskut dan setiap RM2 daripada jualan akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.
    • Chef Wan akan menjual buku masakan, kek, mi segera Cintan dan kari ayam di dalam tin, Ayamas
    • Pasangan suami isteri, Erra Fazira dan Engku Emran masing-masing akan melelong beg kantung Christian Dior dan jaket denim Levis.
    • Alyah akan menjual koleksi cenderahati yang akan dibelinya sewaktu bercuti.
    • Dia Fadila pula melelong dua pasang kasut jenama Adidas dan Kickers serta tas tangan Guess dan kemeja United Benetton.
    • Aznil Nawawi melelong satu baju yang pernah dipakai sewaktu Anugerah Skrin

    Gosip Hans Isaac & Linda Onn?

    image image

    Dapat gosip dari forumer :

    Semalam, masa aku lepak dgn kawan2 aku di salah sebuah ultra club kat area kl nih, tetiba aku nampak kelibat artis lelaki popular lg machonih....ingatkan dia datang berseorangan tp...... datang dengan beradik L.O'... kalau artis lelaki nih datang berseorangan mmg lah tak pandang dan tak heran pun...pasal mmg selalu nampak dia kat club2 d kl nih.. tp artis lelaki itu datang dgn si L.O'


      Tapi si L.O' nih datang dtemani kakak dia...sekali sekala nampak gak kelibat reza era alasan mungkin nak cover line kot...tp x berapa  lama reza pun berlalu,.tapi aku tak kisah lah berapa ramai pun...apa yg buat aku nak bergosip kat sini, kemesraan si L.O' dgn si Hans I....bergelak ketawa, menari sesekali Hans berborak dgn yg lain, bila ada yg nampak kemesraan dia dgn si L.O'....tp apa yang pasti memang mesra..
    Kalau ade wartawan yang terlayan gosip kat sini...tolong2 terjah pasangan nih....pasti diorg tak nafikan....

    betul ke? ntahlah!

    Gambar Danny X-factor dan Ana Alisha





    Friday, January 30, 2009

    Nurul Ex-Ajai Dah Beli Kuda Untuk Tunggang

     

    image

    Sudah hampir 2 tahun penyanyi hitam manis, Nurul dan bekas suaminya, Ajai bercerai. Pun begitu mereka berdua tidak habis-habis terkena tempias berpacaran dengan kekasih baru, maklumlah dua-dua pun popular dan kembali hidup solo.


    Ramai peminat tahu tentang cerita Ajai yang sedang hangat bercinta dengan orang kuat Maestro Talent, Liza Illias malah mereka merancang untuk mendirikan rumah tangga sekitar Julai ini.

    image
    Berita itu bagaimanapun disambut baik oleh Nurul kerana beranggapan Liza paling layak menjaga anak mereka, Ayu. Ayu sendiri dapat menerima kehadiran Liza sebagai bakal ibu keduanya.


    Bagaimanapun, akhir-akhir ini Nurul dikhabarkan menjalin hubungan intim dengan seseorang dan beliau adalah anak kepada seorang wanita yang berpengaruh. Teman baru Nurul itu memang kacak orangnya. Sejak hidup sendirian juga Nurul turut menceburi bidang sukan berkuda dan khabarnya sudah membeli seekor kuda berbaka baik. Itulah perkembangan Nurul yang popular dengan lagu Tangis Syukur.

    Saman cuai terhadap Amy Search dibatal

    KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan penyanyi Amy Search untuk membatalkan saman terhadapnya berhubung dakwaan cuai sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak melecur terkena tom yam panas di Restoran Cheng Ho yang dia mempunyai kepentingan.

    Hakim Sabariah Othman membatalkan saman dan tuntutan itu dengan kos setelah mendengar hujah peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar, mewakili Amy, dan peguam Adnan Seman, bagi pihak plaintif.

    Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 50, hadir ke mahkamah seawal 9 pagi, dengan berkaca mata dan berkemeja hitam, ditemani isterinya Nor Hasniza Hassan, 27.

    Ahmad Zaharil dalam hujahnya berkata Amy tidak patut disaman atas kapasiti sebagai individu dalam tuntutan itu kerana pemilik sebenar bagi restoran itu ialah syarikat IconHill Sdn Bhd.

    Beliau berkata, anak guamnya hanyalah seorang pemegang saham dan ahli lembaga pengarah IconHill.

    Sebaliknya, Adnan berhujah bahawa Amy merupakan pemilik sebenar restoran tersebut berdasarkan laporanlaporan akhbar yang disiarkan sebelum ini, yang dilampirkan dalam afidavit balasan pihak plaintif.

    "Tidak ada papan tanda di restoran itu yang menunjukkan restoran itu dimiliki oleh IconHill.

    "Juga terdapat keratan akhbar menyatakan isteri defendan telah mengakui liabiliti sebagai pemilik restoran itu dan bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

    Pada 24 September lepas, kanak-kanak itu Nik Muhammad Zakwan Nik Zahir, 3 tahun, memfailkan saman dan tuntutan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Sesyen Sivil di sini melalui bapanya Nik Zahir Nik Mohd Idris, 31, kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badannya melecur.

    Pada 6 Oktober lepas, Amy memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dan pernyataan tuntutan plaintif itu.

    Di luar mahkamah, Amy berkata, beliau bersyukur dengan keputusan itu dan berkata: "(Sepanjang) 25 tahun saya dalam bidang nyanyian, saya bukan orang macam itu. Saya pun tak sangka perkara itu akan dibawa sehingga ke sini."

    Adnan pula berkata, pihaknya akan merayu di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

    Kerapu mega dari lubuk rahsia



    Sebanyak 10 ekor kerapu seberat 5 hingga 14 kilogram didaratkan

    LUMUT: Lazimnya setiap awal tahun adalah masa terbaik memancing di Pantai Barat Semenanjung memandangkan ketika itu musim ikan sudah bermula dengan keadaan cuaca amat baik.

    Justeru, baru-baru ini penulis bersama sembilan rakan turun memancing di laluan kapal Pulau Sembilan dengan misi utama memburu spesies kerapu mega. Kami bertolak dari rumah Wak Lotfi di Klang jam 5 pagi menuju ke sini.

    Jam 11 pagi kami meninggalkan jeti Kampung Baru menuju ke Pulau Pangkor bagi mendapatkan bekalan umpan dan ais. Setelah dua jam meredah lautan akhirnya bot Happy Star berada tepat diatas lubuk pertama kawasan karang. Kedalaman air mencecah 80 meter sementara arus ketika itu bergerak sederhana perlahan. Umpan hirisan sotong dan kembung segera diturunkan. Rahman yang memancing di belakang bot terlebih dulu mendapat lesen apabila menaikkan dua ikan cermin serentak seberat 2 kilogram (kg) tiap seekor. Madon di sebelah beliau pula menerima sentapan. Joran mula membengkok ke bawah ditarik ikan. Akhirnya seekor aruan tasik bersaiz 4 kg ditewaskan.

    Dua jam memancing di situ, pelbagai spesies ikan diperolehi. Namun kami belum lagi merasa aksi pertarungan yang sebenar. Menjelang malam, kami memancing di Tukun Karang yang menjadi lubuk rahsia tekong. Menurut tekong, lubuk itu terkenal dengan spesies kerapu mega. Tekong mengarahkan hanya kekili elektrik boleh digunakan. Namun begitu, kekili multiplier bersaiz besar diluluskan dengan syarat dipadankan dengan set joran yang keras. Perambut tangsi pula berkekuatan 100 paun atau lebih sepanjang dua depa disyorkan manakala mata kali bersaiz 5/0 berupaya menahan asakan sang kerapu mega. Hanya sotong hidup atau kembung segar digunakan sebagai umpan.

    Zainal memulakan cabaran apabila menaikkan kerapu seberat 6 kilogram menggunakan kekili elektrik. Tersenyum lebar rakan dari Klang ini. Kemudian giliran Haji Zahir dengan spesies sama seberat 8 kilogram. Mat dan Madon yang duduk di posisi depan tidak kurang hebatnya bila menewaskan dua kerapu berskala 10 kilogram tiap seekor. Tekong Ah Teong juga mengambil peluang memancing. Beliau menggunakan kembung seekor untuk menjerat kerapu. Selang lima minit menunggu, umpannya sudah dilarikan mangsa.

    “Kerapu! Kerapu! Sediakan gancu,” kata tekong memberi arahan. Akhirnya seekor kerapu bersaiz 12 kg terkulai di tangan beliau.

    Rahim pula terpaksa berpuas hati dengan dua ekor kerapu masing-masing 5 dan 6 kg. Suasana sepi tiba-tiba menjadi riuh apabila joran milik Jantan melentur menyembah air. Ia dihenjut mangsa ke dasar. Mangsa memberi tentangan sengit untuk melepaskan diri. Akhirnya beliau tersenyum puas apabila seekor kerapu seberat 14 kilogram dijinakkan.

    Adegan bergasak dengan kerapu berterusan tanpa henti hingga jam 4 pagi sebelum suasana sepi semula. Semalaman di lubuk laluan kapal memang tidak menghampakan. Dengan teknik pancing dasar kami menewaskan 10 kerapu mega dengan bersaiz 5 hingga 14 kilogram tiap seekor.

    Awal pagi, kami mengubah haluan ke barat Pulau Sembilan untuk mengintai jenahak. Umpan sotong yang dicandat segera dilabuhkan. Ikan terus menyambar sebaik saja umpan menyentuh dasar ikan pertama terdampar di lantai bot adalah jenahak kira kira 5 kilogram yang dipancing Mizi.

    Terkejut dengan kehadiran jenahak, semua pemancing berlumba-lumba menurunkan umpan. Sentapan demi sentapan berlaku menyebabkan pemancing tidak memang tangan melayan ikan. Jenahak, merah, tambak, ibu kerisi dan pari adalah spesies yang kami tewaskan di situ. Namun jenahak paling banyak dinaikkan.

    Trip memancing sehari semalam ini ternyata berbaloi dan memberi kepuasan yang sukar digambarkan. Terbukti spesies ikan gred A masih banyak berkeliaran di perairan ini termasuk kerapu mega yang menjadi idaman kaki pancing. Malam itu kerapu menjadi hidangan dengan menu masak tiga rasa. Berminat memancing kerapu mega, hubungi: 012-2116149.

    PETUA

    UNTUK memancing di perairan Pulau Sembilan, anda perlu mencandat atau menyauk sotong waktu malam kerana spesies ikan di perairan ini lebih berselera dengan umpan sotong hidup dan segar saja.

    Baung Lubuk Bisul hidu belacan



    SLIM RIVER: Musim hujan yang tidak menentu kebelakangan ini sama sekali tidak membataskan aktiviti kaki pancing Taman Beringin, Kepong.

    Kalau sebelum ini laut sering menjadi lokasi pilihan, kini mereka beralih ke sungai dengan menjadikan baung sebagai sasaran.

    Bagi Amir Beringin, Mat Segambut dan penulis sudah pasti anak sungai di Slim River, menjadi tumpuan kerana didakwa banyak terdapat ikan bermisai yang enak jika dimasak lemak cili padi itu.

    Jadi, tidak hairan perjalanan dari ibu kota ke sini yang memakan masa dua setengah jam dianggap ‘alah bisa tegal biasa’. Lebih-lebih lagi, cerita rakan pemancing yang pernah ke sini dan membawa pulang hasil lumayan cukup untuk membakar semangat kami untuk memburunya.

    Menjejaki baung liar tidak mudah seperti disangkakan. Kami terpaksa meredah semak samun di tepi sungai dan paling mencabar mencari lubuk sesuai. Sudah pasti di mana terdapat batang kayu tenggelam di sungai, reba pokok dan naungan rimbunan pokok menjadi pilihan baung berkampung.

    Begitu juga umpan ciptaan sendiri berasaskan organ haiwan dicampur sedikit bahan masakan dari dapur pastinya memikat sang misai. Walaupun baunya amat meloyakan bagi sesetengah pemancing namun ia umpan terbaik untuk memperdaya baung.

    Jika tiada berpengalaman memancing baung, pasti akan pulang dengan tangan kosong. Anda perlu mengetahui habitat selain masuk umpan, masa dan waktu paling sesuai untuk memburunya. Bagi baung Slim River lewat malam adalah paling sesuai untuk memancing. Anda juga dinasihatkan tidak membuat bising kerana ia amat sensitif.

    Nyata usaha kami yang terpaksa meredah perjalanan jauh tidak sia-sia kerana lebih daripada 10 ekor baung Lubuk Bisul menyerah diri.

    Bermula jam lapan malam hingga 12 tengah malam, satu demi satu umpan pada joran kami diragut baung. Amir paling bertuah kerana baung seberat 2 kilogram yang diperoleh jam 8 malam adalah tangkapan terberat dalam misi kali ini Yang lain purata 1.2 hingga 1.7 kilogram seekor.

    “Woi! Aku dah dapat... kalau macam ni, lumayan tangkapan kita,” kata Amir kepada penulis yang masih sibuk mencari kedudukan yang sesuai.

    “Bertuahlah... awal-awal lagi sudah dapat lesen,” kata Mat Segambut sambil mengikat mata kail.

    “Mujarab juga umpan kita ni... aku ingat baung hanya suka umpan tapa, organ haiwan campur belacan pun dia bedal. Ini sudah kira bagus,” sampuk penulis.

    Apabila memancing baung, anda perlu berhati-hati dan mengawasi keadaan sekeliling, terutama tebing sungai kerana kebiasaannya menjadi sarang ular sawa ataupun tedung. Jangan terlalu khayal memancing tanpa memikirkan keselamatan diri apatah lagi dalam keadaan gelap.

    Semakin malam berlabuh satu-persatu kami mendaratkan ikan baung dan jam 2 pagi ia kembali sunyi.

    Tip memancing baung, selepas 10 minit anda memancing di satu lubuk dan tiada tindak balas, eloklah berpindah. Kebiasaan dalam tempoh itu baung pasti menyambar umpan dan ia datang berkumpulan.

    Sepanjang enam jam memancing di Lubuk Bisul, masing-masing memperoleh lima atau enam ekor baung antara 1.2 hingga 2 kilogram. Ini cukup memuaskan hati.

    Memburu gigi anjing di Burma Bank



    RANONG (Thailand) - Kesempatan memancing di Burma Bank dalam perairan Myanmar baru-baru ini digunakan sepenuhnya untuk memburu tuna sirip kuning (yellow fin tuna) dan tuna gigi anjing (dogtooth tuna).

    Walaupun hanya empat orang kaki jigging menyertai ekspedisi itu yang rata-ratanya kaki pancing dasar, kami tidak melepaskan peluang keemasan bertarung dengan spesies tuna yang ganas ini. Kami memang sudah menyediakan pelbagai jenis jig seberat 200 hingga 500 gram memandangkan lubuk di sini sesetengahnya mencapai kedalaman 200 hingga 300 meter.

    Bagi lubuk yang dalam, kami terpaksa menggunakan jig seberat 500 gram supaya jig tidak tersasar dibawa arus. Lenguhnya tangan dan bahu hanya Allah saja yang tahu. Terpaksalah menunggu sehingga air tenang untuk melakukan jigging dengan lebih selesa. Ketika itu, jig 200 hingga 250 gram sudah memadai.

    Bot mewah, Polaris One laju membelah ombak ke destinasi di terumbu karang Burma Bank. Pada hari pertama dan kedua, kami biarkan dulu kaki pancing dasar bergasak dengan ikan ruby snapper yang menghasilkan tangkapan berbakul-bakul. Kami terpaksa memendam seketika hasrat untuk jigging memandangkan penghuni lubuk yang terletak kira-kira 14 jam perjalanan itu memang sedang menggila dengan sentapan demi sentapan tanpa henti.

    Masing-masing menggunakan kekili elektrik maka tiada masalah langsung menaikkan mangsa di bawah. Seekor demi seekor ruby snapper bersaiz belasan kilogram didaratkan.

    Hari ketiga adalah detik yang ditunggu-tunggu oleh penulis dan kaki jigging lain. Di lubuk yang seterusnya itu kami berjaya menaikkan ikan gerepoh tetapi saiznya kurang mengancam. Di samping itu, kerapu bara dan kerapu pisang dinaikkan dengan aksi jigging menggunakan jig inchiku dan salty rubber .

    Di sinilah penulis, Rustam, Fahiz dan Shafie berhempas pulas melakukan jigging memburu tuna sirip kuning. Kaki dasar yang melihat aksi kami juga turut serta akhirnya. Memang banyak tuna menghuni lubuk ini tetapi saiznya kurang memuaskan. Sedikit kecewa kerana kami gagal mendaratkan tuna gigi anjing bagak yang acap kali tekong Ekarat memperolehinya di lubuk idamannya ini.

    Pada hari keempat, kami kembali memancing dasar. Kami terpaksa bertolak ansur supaya semua peserta ekspedisi dapat memancing. Lubuk seterusnya adalah lubuk kerapu hitam. Berpuluh kerapu hitam didaratkan sebelum kami bertolak pulang.

    Waktu yang singkat untuk aktiviti jigging membuatkan kami sedikit kecewa. Walaupun gagal menaikkan tuna sirip kuning dan tuna gigi anjing yang bersaiz puluhan kilogram, kami tetap bersyukur kerana dapat bertarung dengan spesies idaman kaki jigging ini.

    Ibu gelama lubuk rahsia Pak Ku



    BESUT: Kebiasaannya apabila disebut saja trip memancing di Kuala Besut maka terbayang perjalanan berbelas jam ke pelantar minyak di Laut China Selatan.

    Bukan mudah untuk mengharungi gelombang berjam-jam selama berhari-hari di tengah laut. Namun begitu, ramai pemancing yang tidak sedar terdapat seorang tekong yang mahir dalam pancingan dasar dan lubuk ikan gred A di perairan Pulau Redang yang hanya empat jam dari Kuala Besut.

    Tekong dimaksudkan ialah Tengku Ibrahim yang penulis kenal beberapa tahun lalu. Sikapnya yang peramah membuatkan penulis sering membawa rakan memancing santai di lubuk luar perairan sekeliling Pulau Redang. Di situ ada tukun dan unjam yang menyimpan pelbagai khazanah spesies dasar yang hebat seperti kerapu bara, kertang, ikan merah dan yang paling utama ibu gelama mencecah 5 hingga 6 kilogram.

    Tengku Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Pak Ku memang banyak pengalaman dalam selok-belok lubuk Pulau Redang. Sudah banyak rekod dipecahkan oleh tekong bertubuh kecil. Antaranya yu kemejan lebih 100 kilogram selain kerapu kertang berpuluh kilogram. Namun, sikap rendah diri Pak Ku membuatkan beliau lebih dihormati. Dengan bot yang selesa lengkap tempat tidur, tandas dan bumbung pelindung panas serta tukang masak yang cekap dan rajin; membuatkan pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatannya.

    Bagi pemancing yang tidak mempunyai banyak masa, jangan lepaskan peluang mengikuti trip tiga hari dua malam ke Pulau Redang. Untuk ke laut dalam yang kadang-kadang memakan masa sehingga lima enam hari sering membantutkan niat dan semangat pemancing. Namun begitu, lubuk Pak Ku memang berpotensi. Selain itu, banyak unjam dihuni pelbagai jenis ikan seperti tongkol, belitung dan selar yang kasar-kasar. Di dasar unjam pula banyak kerapu, ikan merah dan tambak menjadikannya tempat bermain. Selain itu, kehadiran tenggiri dan ebek turut membuatkan lubuk-lubuk Pak Ku begitu popular.

    Lubuk paling berpotensi ialah Tukun Kapal Siam atau disebut Batu Siam. Terdapat banyak spesies mahal terutama ibu gelama yang sememangnya sukar ditemui di perairan Semenanjung. Selain itu, banyak lagi lubuk yang perlu kami selongkar seperti Batu Payung, Batu Selar dan Batu Laut yang sememangnya cuma Pak Ku dan nelayan Kuala Besut yang menyimpan rahsianya.

    Perodua Nautica, Viva tunggu jagoan GP 2009


    SEBUAH Perodua Nautica dan Perodua Viva, bakal dimiliki masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai, tahun depan.
    SEBUAH Perodua Nautica dan Perodua Viva, bakal dimiliki masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai, tahun depan.

    KUALA LUMPUR: Sebuah Perodua Nautica dan satu lagi Perodua Viva, itulah yang bakal dipandu pulang masing-masing juara Kategori Laut serta Kategori Pantai bagi siri GP Joran 2009.

    Nilai seunit Nautica di atas jalan ialah RM89,900 manakala RM40,200. Habuan ini pasti berbaloi untuk peminat setia dan peserta baru GP Joran 2009 yang juga bakal dianjurkan dengan skala kemeriahan berbeza - lebih besar, lebih banyak penaja serta lebih menghiburkan.

    Pembabitan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) selaku penaja utama untuk tahun kelima berturut-turut itu diumumkan oleh Pengarah Urusannya, Datuk Syed Hafiz Abu Bakar, selepas menyerahkan dua unit Perodua Viva kepada juara GP Joran 2008 masing-masing Husin Awang (Kategori Laut) dan Zuraidi Mohamad (Kategori Pantai) di Balai Berita di sini, Selasa lalu.

    Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Anthony Firdauz Bujang; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mustapa Omar; Pengarang Eksekutif (Berita) Berita Harian, Mahfar Ali; dan Pengarang Joran/Projek Khas, Kamal Ahmad.

    Setakat ini, Perodua sudah menaja empat Kembara dan empat unit lagi Viva sejak muncul sebagai penaja utama mulai 2005.

    Kenderaan pacuan empat roda, Perodua Nautica sesuai digandingkan dengan aktiviti luar termasuk memancing yang memerlukan ruangan luas untuk membawa peralatan seperti tong ikan, joran, khemah serta perkakasan lain. Malah aksesori tambahan boleh dipasang di atas bumbung untuk mengusung bot gentian kaca.

    Kenderaan terbaru keluaran Perodua itu cukup lasak untuk membawa pemancing meredah kawasan semak atau pantai mahupun laluan belukar dan ‘off-road’ lain.

    Nautica digerakkan enjin 1500cc. Ia sudah pasti memberi pengalaman baru untuk mereka yang mengharapkan pemanduan yang selesa apabila mengharungi laluan selain jalan normal.

    Perodua Viva pula model gantian bagi Kancil dan Kelisa membawa maksud ‘cantik

    dipandang sepanjang hayat’. Ia didatangkan dalam tiga kapasiti enjin iaitu 660cc dan 850cc untuk enjin transmisi manual, manakala varian 1,000cc didatangkan dalam transmisi manual serta automatik.

    Ketiga-tiga varian enjin itu dipadankan dengan aci sesondol berkembar (DOHC), Injap Boleh Ubah Berjujukan Dinamik (DVVT) dan suntikan bahan api elektronik (EFi) sekali gus menawarkan prestasi enjin lebih baik serta penjimatan minyak.

    Syed Hafiz berkata, penajaan Nautica dan Viva itu sokongan Perodua dalam mempromosi aktiviti sihat yang berteraskan pelancongan kembara serta menjadi pemangkin kepada orang ramai bagi menyertai siri GP Joran 2009.

    “Ia adalah satu aktiviti dan hobi yang sihat serta bersih yang dapat mengumpulkan ramai orang dari serata tempat selain menjadi tempat mereka bertukar-tukar pandangan. Saya melihat usaha Berita Harian bagi menganjurkan pertandingan berkenaan amat menggalakkan dan Perodua tidak ada sebab untuk tidak terus memberi sokongan.

    “Ia juga adalah kesinambungan kerjasama syarikat kami (Perodua) dengan Berita Harian terhadap penganjuran aktiviti luar seperti pertandingan memancing GP Joran,” katanya

    Sementara itu, Anthony Firdauz berkata, Berita Harian bercadang membesarkan skala penganjuran GP Joran tahun depan dengan bakal menyaksikan pembabitan lebih banyak syarikat bagi menaja pertandingan memancing berprestij itu.

    “Nama GP Joran itu sendiri sangat kukuh di pasaran dan pastinya karnival GP Joran yang turut dimeriahkan dengan pelbagai hiburan artis popular, jualan dan promosi oleh syarikat penaja serta pelbagai acara yang mampu menarik kehadiran ratusan ribu pengunjung.

    “Sebagai permulaan pada tahun depan, kita mensasar untuk mendapatkan penajaan berjumlah RM3 juta. Selain membawa pertandingan ini ke bandar kecil dan menganjurkan aktiviti pantai lain yang difikirkan sesuai untuk menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

    SPESIFIKASI

    Perodua Nautica

  • Enjin: 4 silinder selari DOHC DVVT 1,495cc.
  • Kuasa maksimum: 107.3hp @ 6,000rpm.
  • Tork maksimum: 141Nm @ 4,400rpm.
  • Transmisi: 4-kelajuan auto 4WD.
  • Ciri keselamatan: ABS, EBD, beg udara.
  • Harga: RM89,900 atas jalan dengan insurans.

    Perodua Viva 1.0L EZ
  • Enjin: EJ-VE 989cc 3 silinder DOHC 12 injap DVVT.
  • Kuasa maksimum: 61hp @ 6000rpm.
  • Tork maksimum: 90Nm @ 3600rpm.
  • Transmisi: 4 AT (Automatik).
  • Ciri keselamatan: ABS, EBD dan dua beg udara.
  • Harga: RM40,200.00 atas jalan dengan insurans.
  • Merah Lawit dikerat lima


    ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.
    ARAFIN dengan ikan merah seberat 10 kilogram yang kemudian dikerat lima sejurus tiba di jeti.

    KUALA TERENGGANU: Dua tahun lalu, hampir tiga tong pelbagai spesies ikan dipunggah dari perairan Lawit oleh Geng Bangi dan impian sama menggunung ketika turun sekali lagi ke sana bersama Tekong Pak Awang, baru-baru ini.

    Justeru, seminggu sebelum berangkat, mereka melakukan persiapan rapi supaya tidak berputih mata. Bagi Geng Bangi - diketuai Arafin Jahar selain Fauzi, Azmi, Md Noh, Nordin Misnan dan Mohd Zain (Giant), perairan Lawit, Dulang serta di sekitarnya bukan asing kerana mereka ke sana setiap tahun.

    Perjalanan enam jam dari Bangi ke sini dan 18 jam lagi ke Lawit bukan satu jarak yang menyulitkan.

    Arafin berkata, sebelum memulakan cabaran, umpan hidup atau segar mesti dicari atas ‘permintaan’ penghuni di Lawit.

    “Boleh dikatakan ikan Lawit memilih umpan. Tapi kalau tidak ada umpan hidup, sotong mati atau ikan pasar pun dihentam juga. Jadi, kalau mahu hasil tangkapan lumayan, kita perlu mencari ikan umpan dengan apollo,” katanya.

    Sebanyak 7 kilogram (kg) sotong dan 3kg anak pelaling dibeli. Bakinya, umpan yang akan dipancing di lokasi.

    Beberapa unjam dikunjungi tetapi hanya 15 ekor anak kembung dan selar kuning mengena mata apollo. Pak Awang turut gusar kerana umpan sukar diperoleh. Namun, Geng Bangi meneruskan perjalanan ke lubuk pertama yang memakan masa empat jam.

    Keadaan laut sedikit berombak. Fauzi, Azmi dan Md Noh merasa kurang selesa terutama ketika bot berlabuh. Mereka bertiga yang kurang bermaya akhirnya tersandar di dinding bot.

    Pak Awang sibuk membetulkan kedudukan bot. Dua pembantunya melabuhkan sauh. Sebaik saja diberi lampu hijau, masing-masing yang kemaruk memancing, terus melabuhkan joran.

    Md Noh yang menggunakan anak selar kuning diuji terlebih dulu oleh penghuni Lawit. Tali joran Daiwa Saltiga ditarik rakus sehingga hujungnya mencecah air.

    Berpeluh beliau mengendalikan mesin Penn Kingfish Combos yang tidak putus berdecit hampir 20 minit. Akhirnya tewas seekor ikan merah seberat 7kg. Sedang mereka rancak berbual, joran Arafin pula disambar kerapu seberat 5kg. Menggunakan tali braided Sulfix, beliau tidak menghadapi masalah memunggah mangsa ke atas bot.

    Selepas itu, seorang demi seorang pemancing menaikkan ikan pelbagai jenis termasuk kerapu, alu-alu, aruan tasik dan kerisi bali. Adegan itu berlarutan hampir lima jam sebelum berhenti seketika untuk memberi peluang pemancing berehat dan menikmati hidangan makan malam.

    Keesokannya, jam 7 pagi Geng Bangi dikejutkan dengan jeritan Fauzi. Seekor kerapu bara kira-kira 2 kg mengena mata kail Mustad 1/0. Dengan bantuan awak-awak, ikan itu berjaya dinaikkan dan menjadikan tangkapan paling bernilai pada hari berkenaan.

    Melihat kerapu itu, Azmi yang masih belum memperoleh sebarang tangkapan memberangsangkan mula memasang angan-angan. Beliau memasang anak pelaling dan tanpa menunggu masa lama, kekili Abu Ambasador miliknya berdecit ditarik sesuatu. Selepas beraksi hampir 15 minit, seekor gerepoh seberat 12kg menunjukkan kelibat. Pak Awang menggancu ikan itu dan menaikkannya ke dalam bot.

    Tiba-tiba kekili Penn International milik Arafin berbunyi kuat dan menyaksikan joran Penn Senator melentur hingga membentuk huruf C. Mangsa mengasak Arafin ke sana dan ke sini. Akibatnya, talinya bersimpul dengan tali pancing Md Noh. Setelah mengasak ke serata sudut bot hampir 20 minit, mangsa akhirnya lemah.

    Dibantu Giant seekor ikan merah hampir 10kg dinaikkan ke bot. “Macam menarik anak seladang,” katanya.

    Tepat jam 2 petang, bot bergerak meninggalkan perairan Lawit dengan hasil lumayan. Selain ikan merah dan gerepoh gergasi, dua tong lain dipenuhi ikan lauk.

    Setibanya di jeti, mereka membahagikan tangkapan sama rata. Ini termasuk ikan merah milik Arafin yang dikerat lima.

    Bakat lakonan Scha semakin bersinar



    PELAKON jelita dan lasak, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau lebih dikenali dengan panggilan Scha kini semakin bersinar dalam bidang lakonan. Namanya mula disebut-sebut setelah membintangi drama bersiri Awan Dania terbitan Astro Ria sedikit masa lalu. Dia yang memegang watak sebagai seorang pramugari yang bernama Dania pantas mendapat tempat di hati peminat kerana bakat lakonannya memang cukup menyerlah.

    Dalam merealisasikan hasratnya sebagai pelakon, pemenang Dewi Remaja 2006/07 ini juga tidak dapat lari daripada menerima kritikan, lebih-lebih lagi kerana keberaniannya membintangi sesuatu watak. Lakonannya dalam filem Histeria yang membawa watak ala ‘tomboy’ dan ‘lesbian’, pernah dikritik hebat walaupun ada juga yang memuji keberaniannya itu. Sebagai bintang baru, Scha menerima semua kritikan itu secara positif kerana ia akan mematangkan lagi dirinya.

    Selain aktif berlakon drama, gadis tinggi lampai ini semakin menjadi rebutan pengarah dan produser tempatan untuk beraksi di layar perak. Scha juga pernah membintangi beberapa filem seperti Antoo Fighter, Histeria dan Papadom. Dia tampak lebih berkeyakinan dengan menerima satu lagi tawaran lakonan di bawah arahan pengarah muda Syamsul Yusof menerusi filem ‘Evolusi KL Drift 2’ terbitan Skop Production dengan kerjasama Grand Brilliance yang akan memulakan penggambaran mulai awal Februari ini.

    Buat pertama kalinya, Scha diberi kepercayaan untuk muncul sebagai watak utama bagi menggantikan tempat pelakon jelita, Diana Danielle yang digugurkan daripada membintangi filem tersebut ekoran kontroversi hangatnya dengan pengarah filem itu sendiri (Syamsul) tidak lama dulu. Ternyata pengguguran pelakon popular itu memberi tuah kepada Scha untuk tampil beraksi dalam filem berkenaan.

    Namun sebagai bintang baru, sudah tentu kemunculan Scha dalam filem itu akan dibandingkan dengan Diana Danielle yang cukup popular di layar perak. Namun bagi Scha, dia bukanlah lawan Diana. Peluang untuk membintangi filem tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk terus menimba ilmu dalam lakonan. Kata Scha, dia menerima watak dalam filem itu kerana ia benar-benar berbeza jika dibandingkan dengan watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini.

    “Saya bukannya pengganti kepada sesiapa, dan janganlah bandingkan saya dengan Diana. Saya tidak merasakan yang saya adalah pilihan kedua, kerana semua ini bergantung pada rezeki dan saya percaya inilah rezeki yang ditentukan Tuhan untuk saya dan juga keluarga.

    “Saya rasa ada kebaikannya juga mereka memilih saya sebagai pengganti. Setidak-tidaknya ada lagi syarikat produksi yang masih nampak kewujudan saya dalam industri lakonan ini selain saya boleh mengembangkan watak saya ke peringkat yang seterusnya,” katanya.

    Jelas Scha, dia mula mendapat tawaran untuk membintangi filem tersebut sejak awal tahun lagi. Dia yang begitu teruja untuk berlakon di bawah arahan Syamsul yang juga merupakan anak teruna kepada pengarah dan produser terkenal Datuk Yusof Haslam, terus bersetuju sebaik sahaja diajukan tawaran lakonan itu.

    “Sebelum ini, filem ‘Evolusi KL Driff’ mendapat sambutan yang baik di kalangan penonton, hingga mencapai tahap ‘box office’, jadi rugilah kalau saya tolak untuk berlakon dalam filem ini. Saya cukup tertarik dengan filem ini kerana ia banyak aksi dan saya rasa ia sesuai dengan jiwa saya yang lasak. Malah saya juga minat dengan aksi-aksi perlumbaan kereta dan inilah peluang untuk saya cuba pandu kereta laju-laju. Terus-terang, saya bangga kerana dapat turut serta dalam kesinambungan filem ini,” kata Scha.

    Bercerita tentang wataknya dalam filem aksi sukan pemotoran itu, Scha memberitahu, dia membawa watak Aleya yang merupakan seorang ‘lady drifter’ yang cemburu dengan Zack, lakonan Syamsul. Dalam cerita ini Aleya dan Zack selalu berlumba tetapi Aleya tidak pernah menang. Lama-kelamaan Aleya dan Zack berkawan rapat.

    “Watak ini lain daripada watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Lebih menggembirakan saya, watak wanita ‘drifter’ dalam filem ini ada sedikit persamaan dengan diri saya. Jadi rasanya, tak susah untuk saya menghayati watak ini nanti. Tapi saya kena mantapkan lagi lakonan dengan melakukan banyak penyelidikan tentang ‘lady drifter’ ini,” kata Scha yang ingin menjadi pelakon versatil.



    Masih berteman dengan Fahrin

    Sejak akhir-akhir ini kisah peribadi Scha mula menjadi perhatian media dan orang ramai. Selain pernah dikaitkan dengan beberapa jejaka, Scha juga masih dikatakan menjalin hubungan istimewa dengan aktor kacak, Fahrin Ahmad. Walaupun dia sudah beberapa kali menafikan perkara itu, namun desas-desus tentang keistimewaan hubungan mereka tetap bertiup kencang.

    “Terus-terang saya dan Fahrin sekadar kawan biasa sahaja, ramai yang salah sangka dengan hubungan kami. Mungkin orang nampak kami selalu ke hulu ke hilir bersama, tetapi itu sebenarnya atas urusan kerja. Memandangkan saya ni masih baru dalam industri ni, jadi Fahrin banyak membantu saya semasa di set penggambaran. Lagi pun dia lebih arif dengan keadaan itu,” katanya.

    Di tanya mengapa mereka sering kelihatan bersama dalam majlis-majlis hiburan, Scha memberi jawapan yang sebaliknya pula. Kata Scha, bukan semua majlis hiburan dia bertemankan Fahrin, namun hanya untuk majlis-majlis yang tertentu sahaja.

    “Bukan selalu kami datang bersama. Hanya satu dua majlis sahaja, tapi itu pun jadi buah mulut orang. Saya akui hubungan saya dan Fahrin rapat, tetapi sekadar kawan sajalah. Pernah kalau saya tak ajak dia bersama ke majlis-majlis hiburan, dia akan bertanya kenapa tidak mengajaknya. Sepanjang saya kenali Fahrin, dia sangat ‘caring’ orangnya,” kata Scha.

    Memandangkan hubungan mereka dilihat semakin rapat, Scha turut ditanya adakah dia mengharapkan sesuatu yang baik dalam hubungan mereka itu nanti.

    “Saya tidak pernah menaruh sebarang harapan dalam hubungan kami. Fahrin hanya memberikan saya garis panduan untuk berjaya sahaja. Mungkin kerana dia banyak masa terluang itulah sebabnya dia rajin menemani. Kalau dia sibuk susah nak jumpa dia. Seperti yang saya katakan, kami hanya kawan dan janganlah gosipkan kami lagi.

    “Bila gosip ini semakin menjadi-jadi, keluarga pun terkena tempiasnya, terutamanya ayah saya yang semakin risau dengan saya. Pernah ayah luahkan perasaannya yang sudah tawar hati nak bagi saya berlakon tapi bila saya berbincang dan terus-terang perkara yang sebenar dengannya, mujurlah ayah boleh terima.

    “Di segi karier, saya rasa memang berbaloi dengan apa yang saya usahakan selama ini," katanya.

    Nora: "Saya bahagia dengan Rayqal"

    Rayqal membawa cahaya baru dalam hidup ibu muda dan jelita ini.

    [SEMASA] PETALING JAYA: Pelakon jelita, Nora Danish akui hidupnya kini lebih terisi setelah kehadiran cahaya mata pertamanya, Putera Rayqal Ramli, yang selamat dilahirkan pada 7 Januari lalu di Hospital Gleneagles, Ampang.

    Walaupun ketika itu dia mengambil keputusan untuk 'mendiamkan' diri dan enggan mendedahkan kisah kelahiran bayi lelaki itu, Nora menjelaskan, semua itu dilakukannya kerana keadaan kesihatan yang tidak begitu baik.

    "Sebenarnya, ketika itu saya masih 'trauma' sejak melahirkan Rayqal. Saya bersalin secara normal, tetapi hampir tujuh jam juga saya bertarung nyawa sebelum bersalin.

    "Itu yang membuatkan saya 'diam' dulu selepas itu. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya baik dan sedang di dalam pantang. Malah, Rayqal juga sihat.

    "Hidup saya kini juga lebih bahagia dengan kehadiran Rayqal. Seronok sebenarnya mempunyai anak sendiri. Hilang kesakitan yang dialami ketika bersalin dulu bila lihat wajahnya," tutur Nora yang selamat melahirkan bayi comel seberat 3.05 kg itu pada jam 11.50 malam.

    Nama Nora pernah menjadi bualan 'hangat' tahun lalu gara-gara perceraiannya dengan Rizal Ashram Ramli sewaktu dia sedang mengandungkan cahaya mata sulungnya itu.

    Nora dan Rizal bernikah pada Jun 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Pasangan ini bagaimanapun bercerai dengan talak dua pada tahun lalu setelah mahkamah memutuskan lafaz cerai yang dibuat oleh Rizal pada Februari dan Jun lalu adalah sah.

    Enggan berbicara tentang 'episod' lama itu, kata Nora, dia ingin menjalani hidup baru sambil 'ditemani' Rayqal. Malah, tutur pelakon berusia 26 tahun ini, hubungannya bersama bekas suami juga masih baik.

    "Rizal sendiri ada bersama dengan saya ketika di dalam bilik bersalin dan bersama-sama menyambut kelahiran Rayqal. Malah, nama bayi ini juga kami yang pilih bersama.

    "Dia tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa. Kerap juga dia datang melawat. Malah, ibu mertua saya juga hampir setiap hari akan datang melawat saya dan 'baby'.

    "Bagi saya, perkara yang lepas biarlah ia berlalu pergi. Apa yang penting, saya tidak mahu bermusuh dengan dia dan akan bersama-sama menjaga Rayqal," kata Nora.

    Ditanya sama ada mereka mungkin akan merujuk semula dengan kehadiran Rayqal itu, sambil ketawa, Nora menjawab:

    "Tak mahulah cakap tentang perkara itu. Bagi saya, sekarang ini saya hanya mahu fokus pada anak saya dan karier lakonan," ujarnya ringkas.

    Kata Nora lagi, dia juga akan kembali aktif dalam bidang lakonan setelah tamat pantang nanti. Projek pertamanya ialah sitkom Puteri yang akan memasuki musim ke-11.

    Bukan tin kosong! Nazrah Noor Rahmat...


    KALI kedua menunggang kuda, Nazrah Noor Rahmat, 25, semakin mencintai haiwan itu apatah lagi menunggang kuda adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Dua lagi sukan yang digalakkan dalam Islam, berenang dan memanah.

    Nazrah menunggang kuda kali pertama ketika dia bercuti di Jordan tahun lalu dan sekali lagi ketika menjalani penggambaran program Al-Hidayah terbitan TV3 yang dirakamkan di 3Q Equestrian, Kuang, Rawang. Buat kali pertamanya juga Nazrah teruja dapat menunggang kuda lumba yang dilatih dan mendapat penjagaan teliti daripada pakar luar negara.

    "Ketika di Jordan saya menunggang kuda pelancongan yang kurang dijaga. Kuda itu tidak sempat dijaga rapi kerana setiap hari berulang-alik membawa pelancong mengunjungi Kota Petra. Bagaimanapun, ia tetap pengalaman menarik yang sukar dilupa.

    "Berbeza sekali apabila saya berpeluang menunggang kuda lumba milik keluarga jaguh ekuestrian negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil di Rawang sewaktu menjayakan rakaman program Al-Hidayah untuk segmen Hayati. Kuda itu bukan saja tinggi tetapi sangat cantik kerana dijaga rapi. Ada 40 ekor dan setiap kuda lumba itu mempunyai penjaga sendiri.

    "Menyentuh bulu kuda itu seperti karpet. Lembut, tebal dan berkilat. Bulu di tengkuknya macam rambut anak dara mayang mengurai. Memang mengagumkan. Ingatkan kuda yang saya naik itu paling tinggi dan besar tetapi rupanya Qabil beritahu, ada lagi kuda yang lebih tinggi daripada itu.

    "Lain rasanya naik kuda lumba itu. Dengan tunjuk ajar Qabil dan jurulatihnya, sekejap saja dapat menyesuaikan diri dengan kuda itu. Haiwan kesayangan Rasulullah itu juga ada 'angin'. Kalau lambat bagi makan, dia akan buat perangai.

    "Berkuda adalah sukan terbaik kerana menunggang kuda menggerakkan seluruh anggota tubuh kita. Lemah gemalainya kuda itu melangkah, ia membantu membentuk postur tubuh dan amat sesuai untuk wanita, makhluk ciptaan Allah yang sangat mementingkan kecantikan," katanya.

    Kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan pengacara Al-Hidayah hampir tujuh bulan semakin mematangkan gadis manis itu.

    Tahun ini juga Nazrah terpaksa bekerja keras kerana semua segmen dalam program itu dibuat di lokasi luar untuk lebih mendekatkan diri dengan penonton.

    Al-Hidayah musim baru ini ada lima segmen, Hayati (fokus utama setiap minggu), Amali (berkaitan ilmu feqah), Nada (barang kotemporari berkaitan Islam seperti telefon bimbit yang menunjukkan arah kiblat), Hikmah (memberi panduan seperti adab makan Rasulullah) dan Doa.



    "Semua segmen itu dibuat di luar studio. Misalnya untuk segmen Hayati yang setiap minggu memaparkan berlainan topik akan membuat rakaman di luar dengan menjemput mereka berkaitan topik diperkatakan.



    "Antara topiknya termasuk petua kebahagiaan rumah tangga. Untuk itu kami menjemput Ustazah Nor Bahyah Mahmud, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, Ustaz Jazlan Abdullah, pakar motivasi, Husim Salleh dan pasangan masing-masing ke lokasi rakaman di Bora Asmara, Sungai Penchala, Damansara.

    "Dengan membuat rakaman di luar ia akan menjadi lebih menarik dan hampir dengan penonton. Suasana juga kelihatan santai dengan persekitaran menarik. Untuk topik Anak Soleh dan Solehah pula kita jemput anak yang sudah berjaya serta mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa mereka.

    "Sekadar bercakap tanpa menonjolkan mereka yang berkaitan isu dibincangkan, ia kurang meninggalkan kesan kepada penonton. Memanglah saya perlu bekerja keras untuk Al-Hidayah musim baru ini tetapi ia cukup menarik kerana tidak lagi terkurung dalam studio. Sambil mendidik penonton, saya pun belajar sama.

    "Supaya penyampaian itu lebih berkesan, yang mana boleh dan mampu dilakukan, saya berusaha untuk mengamalkannya sendiri. Rezeki saya dapat terbabit dalam program ini kerana secara tak langsung dapat mendalami pengetahuan agama. Malah saya sendiri banyak bertanya dengan ustaz dan ustazah yang dijemput menjayakan program ini.

    "Saya tak mahu menjadi seperti tong kosong, hanya buat bising. Saya perlu menambahkan ilmu pengetahuan supaya faham apa yang akan diucapkan kepada penonton, tidaklah bercakap berpandukan skrip semata-mata. Dengan ilmu yang ada tidaklah malu apabila orang bertanya. Tahulah saya hendak menjawabnya," katanya. Jelasnya, tagline Al-Hidayah musim ini, Tambah Ilmu Tambah Amal. Sejajar dengan itu, Nazrah berkata, dia perlu menambah ilmu dan mengamalkan segala amalan yang dipelajari.

    "Saya anggap apabila dipilih mengacarakan program ini, Allah mempermudahkan jalan untuk menyebarkan ilmu yang ada kepada penonton. Bukan senang untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Menerusi Al-Hidayah, kami berusaha untuk menyeimbangkan ilmu dunia dan akhirat kerana setiap amalan kita di dunia adalah jambatan menuju ke akhirat," katanya.

    ‘Saya tetap bertudung’ Sheila Rusly


    TAMPIL dengan imej bertudung bukan penghalang buat pelakon Sheila Rusly untuk memainkan watak antagonis dalam drama bersiri terbarunya, Anak Betong yang juga terbitan produksinya sendiri, JS Pictures Sdn Bhd.

    Malah, kata Sheila, watak Malika yang juga bomoh dan pengamal ilmu hitam dalam drama 20 episod itu watak jahat pertamanya sejak kembali menunaikan fardu haji tahun lalu.

    “Sekalipun bertudung saya tidak ingin sia-siakan bakat anugerah Allah ini. Saya akan mencecah usia 38 tahun dan sebagai pelakon berpengalaman dalam industri seni sudah pasti saya inginkan watak mencabar dan ada kelainan. Tetapi saya tidak akan membuka tudung semata-mata untuk berlakon.

    “Sebenarnya bukan saya tidak mahu berlakon dalam prouduksi lain, tetapi dengan imej bertudung ini menyukarkan pengarah untuk menawarkan watak sesuai. Saya tidak mahu sekadar diberikan watak emak dan Datin saja kerana saya boleh buat lebih baik daripada itu.

    “Justeru, lebih mudah untuk saya berlakon dalam produksi sendiri kerana sebagai penerbit, saya boleh pilih watak bersesuaian imej sekarang,” katanya.

    Katanya, dia juga berhadapan cabaran untuk menjiwai watak Malika dalam drama itu.

    “Antara cabaran ketika disolek ialah menampakkan kesan khas mengerikan pada di wajah Malika.

    “Saya berasa letih sehingga tertidur kerana proses solekan kesan khas itu mengambil masa tiga jam.

    “Saya juga perlu pastikan rambut tidak nampak apabila bergerak. Baju dan tudung labuh yang dipakai juga menyukarkan saya untuk buat babak lasak dalam cerita ini. Apapun, ia berjaya diatasi dan saya tetap berusaha memberikan lakonan terbaik buat peminat,” katanya.

    Sheila ditemui pada sesi ramah mesra slot Lagenda Anak Betong di Restoran & Cafe Felda Villa, Jalan Maktab off Jalan Semarak di ibu kota, baru-baru ini.



    Hadir sama, pengarah drama itu yang juga suaminya, Azman Yahya atau Jinggo dan penulis skrip Nazli Jaafar atau Che Li.



    Jinggo berkata, idea untuk buat drama bersiri Anak Betong itu dicadangkan pihak TV3 untuk dimuatkan dalam slot Lagenda stesen itu.

    “Roh cerita Anak Betong ini mempunyai persamaan dengan cerita asalnya, filem klasik Anak Buluh Betong di mana Anak Betong dalam cerita ini adalah anak angkat yang ditemui di rumpun buluh dan derhaka kepada bapa angkatnya.

    “Olahan dan nafas baru diberikan bagi menguatkan jalan cerita yang turut diselitkan sedikit elemen seram. Babak ngeri dan ganas dikurangkan, tetapi tidak menjejaskan jalan ceritanya.

    “Cerita ini bukan untuk mengajar orang mengenai ilmu sihir atau hitam. Pihak kami juga menyelitkan elemen komedi untuk menarik penonton kanak-kanak,” katanya.

    Selain Sheila, siri ini turut dibintangi Fizz Fairuz (Jagat), Ezany (Zaman), Hairee Othman (Hasan), Wan Nor Azlin (Salmah), Normah Damanhuri, Maya Matahari (Naya), Abon, Haiza, Linda Hashim dan Bagio.

    Anak Betong menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang di TV3 dan jam 8.30 malam di TV9 menerusi slot Lagenda bermula 27 Januari lalu.

    Berdiet tetapi perut membusung


    TIGA minggu berdiet, berat dan bentuk badan Erneelya Elyana Emrizal, 22, atau Elyana, sedikit pun tidak berubah. Bahkan, semakin hari dia dapati badannya terus mengembang dan perutnya buncit.

    Perubahan fizikal mendadak itu serta emosi yang sering terganggu mengundang tanggapan yang bukan-bukan kepada mereka yang rapat dengannya.

    Ada yang menyangka dia berbadan dua.

    Akhirnya rahsia penyakit misteri Elyana terbongkar selepas dia menyuarakan kepada seorang teman yang mengalami penyakit sama.

    Seperti hendak gugur jantungnya apabila dimaklumkan terkena buatan orang sewaktu mendapatkan rawatan tradisional di Kuala Lumpur dan penyakit misteri yang dialaminya itu dipercayai busung.

    Lebih menyedihkan penyakit yang dideritai sejak tiga tahun lalu itu akibat perbuatan kawan sendiri.

    "Masa berubat, orang yang merawat saya itu memaklumkan orang yang melakukan perkara itu kawan saya sendiri. Tetapi saya kurang percaya pada amalan sebegini tambah pada zaman moden ini.

    "Saya tidak sangka masih ada yang mengamalkannya dan lebih mengejutkan, orang yang dimaksudkan kawan sendiri. Tetapi saya nampak perubahan pada dirinya sejak saya sakit cuma saya tidak pernah bertanya dengannya.

    "Bagaimanapun, saya tidak marah atau berdendam dengannya walaupun perbuatannya itu kesalahan besar di sisi agama.

    "Saya reda dan minta maaf kepada semua jika ada perbuatan saya selama ini yang menyinggung perasaan mereka," katanya.



    Kata Elyana, dia tidak mengetahui punca sebenar mengapa kawannya itu sanggup bertindak sedemikian kerana perbuatan itu sama seperti membunuh.



    Mungkin sahabatnya itu ada alasan berbuat demikian. Namun, apa yang dikesalkan akibat perbuatan itu bukan saja menjejaskan kesihatan dan kerjaya seni, tetapi juga mengeruhkan hubungannya dengan keluarga.

    "Saya tidak sedar perubahan pada diri, tetapi ramai perasaan terutama keluarga dan kawan rapat. Sejak terkena penyakit itu, saya sering menyendiri dan panas baran sehingga mereka yang tidak bersalah pun jadi mangsa amukan saya.

    "Selalunya ahli keluarga menjadi tempat melepaskan amarah. Malah, saya jadi malas bekerja, sering pening dan sakit perut sampaikan persembahan yang sudah dipersetujui terpaksa dibatalkan saat akhir," katanya.

    Mengakui keadaannya semakin pulih selepas menjalani rawatan tradisional, Elyana kembali semangat untuk bekerja. Dia kini sedang menjalani penggambaran drama 26 episod arahan Jamal berjudul, Katrina Kamelia.

    Elyana yang mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu baru-baru ini menerusi lagu Kalis Rindu mengakui Katrina watak berbeza dengan peranan yang pernah dibawakannya sebelum ini.

    "Watak saya yang ini memang berbeza. Selalunya saya dikenali dengan watak gadis baik dan sempoi, tetapi kali ini saya bawa watak pelajar yang jahat.

    "Penggambarannya baru saja bermula minggu lalu jadi belum tahu perkembangan watak saya namun kalau melihat skrip saya memang jahat gila dalam drama ini," katanya.

    Linda Dan Que Haidar: "Kami Saling Melengkapi!"

    TEMUBUAL yang sepatutnya berlangsung dalam sesi fotografi di studio berubah suasana kepada sesi fotografi di Habib Jewels disebabkan jurutari Linda Jasmine, 37, sibuk dengan persiapan perkahwinannya.

    Dalam kesibukan memikirkan tentang persiapan yang perlu dilakukan sebelum majlis perkahwinan tiba hampir dua minggu lagi, sesekali Linda akui beliau bagaikan terlupa seketika tentang makna pernikahan dan perkahwinan.

    Maklumlah, waktu itu bakal isteri kepada aktor Que Haidar, 30, ini perlu mengingatkan tentang persiapan tersebut secara teliti agar tiada yang tertinggal seperti pakaian pengantin, hantaran, kad jemputan, sehinggalah perkara yang ‘remeh-temeh’.

    Linda Jasmine sepatutnya menghadiri sesi fotografi di studio tetapi disebabkan sibuk dengan persiapan perkahwinan, temubual terpaksa diubah kepada di Habib Jewels. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

    Namun, kadangkala ketika sedang memandu kereta, ibu tunggal kepada Qalif Khan, 9, ini secara tiba-tiba teringat yang beliau akan bergelar seorang isteri tidak lama lagi.

    Kesannya, segala beban yang dipikul selama ini menjadi ringan sedikit malah semakin gembira dan tidak sabar untuk menanti hari bahagia itu.

    Dalam masa yang sama, Linda juga mengingatkan dirinya bahawa perjalanan hidup yang bakal ditempuhi pada masa akan datang pastinya disulami dengan sedikit situasi cacat-celanya.

    Linda teruja dan tidak sabar untuk menanti saat diijabkabulkan dengan Que.

    "Saya tahu, perjalanan hidup yang bakal ditempuhi oleh setiap pasangan suami dan isteri bukanlah sentiasa ‘perfect’.

    "Setiap hubungan itu mesti ada pasang surutnya. Saya bukan sahaja mengingatkan kepada diri-sendiri malah turut berpesan kepada Que.

    "Sebagai manusia, Tuhan selalu menduga kehidupan kita dengan bermacam-macam perkara agar kita dapat menilai diri-sendiri.

    Linda semakin matang untuk menempuhi alam perkahwinan keduanya nanti.

    "Dari situ, kita dapat mempelajari tentang cara kita mengawal situasi tersebut sama ada dengan baik atau tidak.

    "Jadi, saya selalu mengingatkan diri-sendiri agar jangan terlalu cepat mengikut perasaan.

    "Saya akan berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap tentang sesuatu perkara itu mahupun kalau saya terlepas cakap," luah Linda dalam temubual sejurus selepas memilih aksesori perkahwinan di Habib Jewels (Habib), Ampang Point semalam.

    Dianggarkan lebih RM3 juta set aksesori dari Habib yang bakal digayakan oleh Linda semasa majlis perkahwinannya di Bora Ombak pada 14 Februari depan.

    Bak Puteri...Linda bakal menggayakan aksesori dari Habib Jewels berjumlah lebih RM3 juta.

    Majlis pernikahan dijangka akan berlangsung pada pukul 5 petang manakala upacara bersanding dan memotong kek akan dilakukan pada sebelah malamnya di tempat yang sama.

    Linda juga akan mengenakan pakaian pengantin rekaan tiga pereka iaitu Datin Kirana, Saiful Bahrin dan Calvin Thoo di mana ketiga-tiga persalinannya itu menggunakan fabrik Jakel manakala pakaian Que pula direka oleh Lord’s Tailor.

    Di dalam majlis akad nikah, pasangan ini akan saling bertukar cincin serta pemberian hantaran berupa mas kahwin dan senaskhah al-Quran oleh Que kepada Linda.

    Sementara majlis resepsi perkahwinan sebelah pengantin lelaki akan diadakan di Felda Taib Andak, Johor pada 15 Mac.

    Kehadiran Linda di Habib tidak ditemani oleh Que sebaliknya rakan setugasnya, Zuhana yang hadir kerana bakal suaminya itu sedang sibuk di lokasi pengambaran.

    Que, seorang pelakon popular dan berbakat yang pastinya sentiasa menjadi perhatian umum.

    Sambil memperhalusi pengalaman yang bakal dilalui oleh setiap pasangan artis yang mendirikan rumah tangga, Linda juga cuba membuang jauh-jauh perasaan cemburu buta terhadap Que.

    "Saya rasa buang masa sahaja kalau nak terlalu cemburu buta. Setakat ini, saya masih dapat mengawal situasi tersebut.

    "Tipulah kalau katakan yang saya tidak mempunyai perasaan cemburu tetapi tidaklah sampai tahap cemburu buta.

    "Katakanlah jika suatu hari nanti saya betul-betul serius cemburu dan meragui sikap Que, sikap itu datang dari gerak hati saya.

    "Kita akan dapat rasa sama ada melalui perlakuan dia terhadap kita. Kalau dia bersalah, kita dapat rasa yang perasaannya terhadap kita sudah hilang.

    "Saya pernah mendengar melalui Forum Perdana Hal Ehwal Islam di TV1 di mana salah seorang penceramah itu berkata seseorang wanita itu mesti mempunyai naluri," ujar guru tari dalam program realiti Akademi Fantasi ini.

    Bermula sejak pasangan ini mengumumkan tarikh perkahwinan mereka jatuh pada 14 Februari, sempena Hari Valentine, pelbagai kritikan yang diterima sama ada yang positif mahupun negatif.

    Namun, semua kritikan itu langsung tidak mengganggu keputusan Linda untuk mempersuamikan Que kerana baginya faktor perbezaan umur, dan latar belakang bukanlah batu penghalang untuk mereka menyulam cinta bersama.

    "Saya rasa perkahwinan kami ini bukanlah suatu perkara asing yang timbul dalam senario masyarakat sekarang sebab di luar sana terdapat juga pasangan yang membuat keputusan seperti kami.

    "Saya pernah berkahwin dulu. Sekarang, saya semakin matang dan belajar daripada pengalaman lalu.

    "Dulu, saya tidak mempunyai sikap timbang rasa, terlalu ‘control’ dan cerewet tetapi sekarang saya sudah berubah.

    "Saya selalu banyak sabar dan tidak terlalu mengikut perasaan," jelasnya yang berubah bukan disebabkan Que tetapi diri-sendiri yang ingin mengubahnya demi mengeratkan perhubungan masing-masing.

    Tambah Linda, untuk berubah, beliau tidak boleh bergantung kepada pasangannya semata-mata tetapi perubahan itu perlu berlandaskan usaha murni antara satu sama lain.

    Yang jelas disebalik usia bakal suaminya yang lebih muda tujuh tahun daripadanya itu, Linda berkata sikap matang Que menyenangi dirinya.

    "Que bukan jenis malas. Dia terima diri saya seadanya. Walaupun dia lebih muda, tetapi dia lebih matang daripada saya.

    "Saya akui yang saya ini mempunyai perangai ‘kebudak-budakan’. Jadi, hubungan kami boleh dianggap saling melengkapi antara satu sama lain.

    "Apa yang pasti, semua ini adalah takdir Allah. Dalam perjalanan hidup kami, memang sudah tertulis kami diciptakan untuk hidup bersama.

    "Hanya Tuhan yang tahu tentang apa yang bakal terjadi selepas ini," tutur Linda yang berharap semoga orang lain mendoakan yang terbaik dalam perkahwinan mereka dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.