Sunday, May 30, 2010

Rakaman sudut ekstrem ContourHD




PEMINAT aktiviti luar terutama mereka yang melakukan rekreasi ekstrem termasuk meluncur air, menyelam skuba, melakukan akrobatik papan selaju, mendaki tebing seringkali mahukan aksi mereka dirakamkan.

Malah, bukan hanya mereka, para peminat juga mahu melihat rakaman daripada sudut pandangan mereka yang melakukan aktiviti ekstrem berkenaan.

Tapi yang menjadi penghalang ialah siapa yang boleh melakukan rakaman itu untuk mereka?

Jika adapun mereka yang boleh melakukan rakaman itu, ia hanya dapat dilakukan dari sudut pandangan pemerhati sahaja dan bukan dari sudut pelaku rekreasi ekstrem itu sendiri.

Kalau boleh pun mereka yang melakukan aksi rekreasi sambil merakamkan aksi mereka, rakaman yang dihasilkan itu mungkin tidak menarik dan kamera yang digunakan pula tidak mampu menghasilkan rakaman definisi tinggi (HD).

Tapi kini tidak lagi kerana mereka yang bergiat dalam rekreasi ekstrem ini mampu merakamkan aksi tanpa bantuan sesiapa.

Lebih menarik, kamera sebesar tapak tangan itu hanya seberat 122 gram sahaja.

Kamera video ContourHD boleh dilekatkan hampir di mana-mana bagi merakam aktiviti ekstrem yang dilakukan.

Lebih menarik, ContourHD ini mempunyai aksesori tambahan yang membolehkan ia digunakan pada semua keadaan cuaca termasuk merakamkan keadaan di dasar laut sehingga 100 meter.

Didatangkan dalam dua varian, peminat boleh memiliki sama ada ContourHD 720p atau 1080p.

Apa pun, kedua-dua varian ini mempunyai kualiti yang sama dalam rakaman dan juga prestasi.

Saiz rakaman yang boleh dilakukan termasuk 1920x1080 (untuk 1080p), 1280x960, 1280x720, 1280x720 dan WVGA (848x480).

Sebagai contoh, jika anda menggunakan saiz 1280x720 dengan kadar rakaman 60fps, anda boleh memperoleh rakaman sehingga 15 minit bagi 1 gigabait (GB).

ContourHD juga memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih tetapan mana yang diingin semasa rakaman termasuk kontras, dedahan meter dan sensitiviti mikrofon.

Apa yang menarik ialah, walaupun ContourHD dilihat terlalu kecil, lensa yang dipadankan memberikan kebebasan kepada pengguna untuk merakamkan video HD dengan lebar sudut sehingga 135 darjah.

Dengan sudut ini, imej yang dihasilkan tidak herotbenyot dan hasil yang terbaik mampu diberikan.

Mungkin ada yang hairan dengan kemampuan ContourHD yang kecil dalam merakamkan aksi namun jangan terkejut kerana kamera video ini mampu merakamkan imej video berjam-jam dengan kualiti HD hanya menggunakan kad memori MicroSD.

Bagi yang mahu merakamkan video HD dengan masa yang lebih panjang, pengguna boleh menggunakan kapasiti kad memori MicroSD sehingga 16 GB.

Pasti ada yang bertanya bagaimana ContourHD akan merakamkan suara namun dengan adanya mikrofon bina dalam, ContourHD boleh merakamkan sebarang bunyi atau suara termasuk bunyi keadaan sekeliling ketika aktiviti ekstrem itu dilakukan.


Dengan saiz yang kecil, ContourHD mudah diletakkan hampir di mana-mana bagi merakamkan aksi ekstrem ketika melakukan aktiviti riadah.


Bayangkan sambil mendengar nafas mereka yang melakukan aktiviti ekstrem itu turun naik ketika adrenalin semakin bertambah, ContourHD turut boleh merakamkan bunyi keadaan sekeliling di mana aktiviti itu dilakukan.

Yang menarik, mikrofon ContourHD mampu mengurangkan bunyi angin ke tahap yang paling rendah sambil memastikan bunyi lain yang lebih penting didengari.

ContourHD boleh diletakkan di mana-mana terutama pada topi keselamatan mereka yang melakukan aktiviti ekstrem.

Malah, ia juga boleh diletakkan pada hendal basikal atau motosikal selain melekatkannya pada sisi gogal.

ContourHD ini juga dilengkapi dengan dua pengimbang laser yang boleh diubah kedudukan sehingga 180 darjah bagi memastikan rakaman dilakukan dengan seimbang.

Jika ia sesuai untuk aktiviti ekstrem, pastinya pengguna mahu tahu mengenai ketahanannya.

Jangan khuatir, kamera video ContourHD ini direka bentuk dengan bahan tahan cuaca sepanjang musim.

Malah, badan ContourHD yang diperbuat daripada aluminium sadur anod mampu menahan habuk, kotoran, selut dan salji.

Lebih menarik, ia mampu bertahan daripada sebarang gegaran, getaran dan impak.

Dengan satu cas, pengguna boleh merakamkan video HD selama tiga jam. Bateri litium ion yang dibekalkan boleh dicas semula.

ContourHD boleh dipadankan dengan pelbagai aksesori termasuk bekas kalis air sehingga 10 meter, pelekap cermin dan juga pelekap hendal.

ContourHD 720p dijual dengan harga RM980 sementara ContourHD 1080p RM1,280.

Dapatkan keterangan lanjut dengan melayari www.vholdrhd.com.my atau menghubungi 012-4942244.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: