|
|
RAMAI daripada kita bermain golf bagi membolehkan kita bersenam sambil melakukan sesuatu yang digemari. Ini kerana dalam permainan golf, anda juga boleh bersenam kerana banyak berjalan walaupun tahap senamannya tidaklah seperti ketika kita bermain futsal, badminton dan lain-lain sukan.
Tetapi di mana hendak bermain golf? Di Kuala Lumpur, memang banyak padang-pdang golf yang kini dibuka untuk orang awam.
Salah satu yang anda boleh cuba ialah Kelab Darul Ehsan (KDE) yang terletak di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya, Ampang. Ia dikatakan antara padang golf sembilan lubang yang terkenal di negara ini.
Penulis bersama tiga rakan baru-baru ini berpeluang mencubanya buat pertama kali padang ini selepas sekian lama hanya mendengar cerita mengenainya padang golf yang dibina pada awalnya untuk penduduk perumahan di taman itu.
Padang golf ini terletak dalam sebuah kelab rekreasi yang dikelilingi kawasan perumahan. Lokasinya tidak jauh daripada jalan MRR2. Selepas bersarapan di Golfer's Terrace, kami berempat memulakan misi mencuba padang ini.
Kami dapat melihat ramai juga pemain wanita berusia yang sedang bermain dengan menarik troli dan menurut marshall mereka adalah ahli yang setiap hari akan turun bermain sebagai sebahagian daripada senaman rutin mereka.
Maka tibalah giliran kami pula untuk menunjukkan 'bakat' menguji padang yang direka oleh Kumpulan Ronald Fream dari Amerika Syarikat dan dibuka kepada awam pada 1984.
Sememangnya, apabila anda baru pertama kali mencuba mana-mana golf, maka jarak pukulan yang perlu dilakukan adalah masalah utama terutama apabila kedudukan fairway di lubang pertama adalah 'dogleg' ke kiri.
Bagaimanapun, jika pukulan anda cantik sekalipun, terdapat satu ketulan batu besar menanti anda di sebelah kanan fairway sebelum anda berjaya mendaratkan bola di green par 4 ini.
Kemudian anda dicabar dengan par-3 di lubang kedua berjarak 128 meter dan lubang 4 dengan par-4 berjarak 302 meter. Tetapi anda tidak boleh tersenyum dahulu di lubang ini apabila melihat jaraknya yang pendek. Fairwaynya yang menguncup di hujung amat mencabar bagi sesiapa yang pukulan tee off tidak menegak kerana tersalah pukulan akan mengundang OB.
Kemudian kedudukan greennya pula terletak di hujung bukit dengan dihimpit oleh tanah tinggi berbatu di sebelah kiri dan hutan gaung di sebelah kanan.
Cabaran par-3 di lubang seterusnya boleh juga menggugat jiwa anda walaupun hanya sejauh 110 meter. Pukulan yang terlebih atau terkurang akan mengganggu ketenteraman sang ikan dan kodok yang sedang berehat di dalam tasik atau semak berhampiran.
Anda kemudiannya kembali dicabar dengan par-5 lubang ke lima dan enam dengan jarak masing-masing adalah 454 dan 474 meter. Bagi yang sukakan driver jauh, anda boleh mencuba kehandalan anda tee-off sejauh mungkin bagi lubang enam tetapi berhati-hati dengan lubang lima yang mempunyai dua 'dogleg.'
Lubang ketujuh dengan par-4 tidak terlalu sukar jika anda kaki 'slice' tetapi akan terpaksa menambah denda dua pukulan jika bola hilang dalam hutang tebal yang menanti di sebelah kiri fairway.
Lubang lapan merupakan par-3 yang agak panjang dan kecil laluan fairwaynya dan kemudian anda boleh menarik nafas lega apabila berakhir di lubang 9 kerana ia agak pendek untuk par 5 kerana jaraknya hanya 431 meter. Mungkin ini peluang anda untuk membuat pukulan eagle atau sekurang-kurangnya birdie.
Jika hendak menambah lagi sembilan lubang, anda perlu mengulangi semula lubang-lubang itu dan kedudukan tee-box yang agak sedikit berbeza sahaja.
Begitulah suasana yang akan anda rasai apabila bermain di kelab golf ini yang sangat sesuai untuk mereka yang tidak terlalu gelojoh dan bercita-cita besar dengan driver mereka kerana pukulan pendek yang lurus mempunyai banyak kelebihan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: