AKADEMI FANTASIA musim kelapan (AF8) meninggalkan kaca TV dengan catatan pelbagai warna, sedikit mendukacitakan, bukan warna-warna ceria yang ingin diperhatikan sebaliknya warna-warna hitam, kelabu dan suram yang mendominasi keadaan.
Tidak habis-habis dengan omongan bahawa AF8 menjunam dari segi jumlah tontonan begitu juga dengan undian, ia juga didakwa gagal kekal bertakhta sebagai program realiti No. 1 di Malaysia dan diakui sedang menempuh era yang tenat.
Selain buat pertama kalinya peserta yang diserap masuk menerusi Afundi Masuk, Shahir yang diangkat sebagai juara masih bermain di bibir peminat, monopoli jenama KRU terhadap kesemua lima karya baru finalis AF8 menjadi persoalan.
Bukan itu sahaja, tujuh lagi single baru untuk tujuh peserta yang tersingkir juga dibikin atas jenama KRU, menjadikan Edry Abdul Halim sebagai satu-satunya komposer paling berpengaruh dalam susunan karya AF8 tahun ini. Orang paling dekat dalam gelanggang itu ialah Norman Abdul Halim sendiri.
Meskipun ada pembuat keputusan lain di belakang tabir, sebagai pengetua AF8, Norman dilihat menjadi pengadil utama yang menentukan sepakan penalti atau tendangan percuma untuk pemainnya.
Apabila KRU bolot semua single baru bintang AF8, ia seperti memecah tradisi AF sebelum ini yang membuka peluang komposer baru dan lama untuk sama-sama menyumbang lagu baru?
Sejujurnya, itulah antara pembaharuan yang cuba saya lakukan dalam AF sejak awal perbincangan bersama pihak Astro. Bukan tidak buka peluang kepada komposer lain, ada sekitar 30 buah lagu semuanya tetapi ada lagu sekadar demo, melodi tanpa lirik dan banyak yang tidak lengkap.
Edry pula ada kelebihan yang tidak perlu dipertikaikan dan saya sendiri ada bercakap tentang genre muzik setiap pelajar.
Apabila harus membikin lagu dan video klip pelajar AF8, kita terpaksa memikirkan soal privasi kerana itu format AF8. Jadi, banyak perkara harus difikirkan melibatkan rakaman audio dan video.
Ada komposer yang menghantar lagu tetapi mahu rakaman dilakukan di studio masing-masing, itu juga menimbulkan masalah.
Saya pula ada infrastruktur, ada kapasiti dan kemampuan untuk melakukan perkara itu secara efektif.
Bayangkan 12 single hanya dirakamkan dalam tempoh dua minggu dan tujuh video klip pula disiapkan dalam tempoh 10 hari.
Bagaimana pemilihan dilakukan?
Saya terlibat dalam panel yang terdiri daripada lapan orang yang dipengerusikan oleh orang kuat Astro sendiri. Tapi dalam soal pemilihan ia dibuat berdasarkan kesesuaian lagu.
Ia berlaku secara kebetulan. Saya sendiri tiada kata putus terhadap pemilihan lagu berkenaan tetapi pandangan saya diambil kira.
Asalnya, hanya sembilan lagu Edry yang terpilih untuk dirakamkan sebagai single baru AF8 tetapi pihak Astro meminta tiga lagu tambahan daripada Edry untuk disatukan di bawah satu penerbitan. Jadi tidak wujud isu pilih kasih.
Ada pihak yang mempersoalkan adilkah begitu?
Isu adil tidak wujud dan saya tidak perlu rasa bersalah kerana tidak ambil lagu komposer lain atas dasar tidak sampai hati. Saya harap pihak luar dan komposer lain akan berfikiran terbuka.
Ini baru single pertama AF8, untuk single kedua dan album penuh studio Shahir yang pertama nanti, saya sudah berbincang dengan beberapa komposer.
Bahkan saya turun padang ke Bengkel Cipta Ekspres di Port Dickson, Rabu lalu semata-mata untuk mencari material baru album Shahir dan bintang AF8 yang lain.
Sebaik sahaja AF8 tamat, strategi bisnes KRU sangat menonjol dan bijak memanipulasi peluang AF8?
Memang saya orang bisnes tapi kecintaan itu yang lebih penting. Sudah 18 tahun dalam industri, kalau sekadar fikir bisnes, saya tak buat single untuk pelajar pertama yang tersingkir. Tapi saya tidak mahu tiada peserta yang tercicir dan beri peluang sama rata kepada semua.
Sebenarnya, silap kami sendiri tidak mengumumkan tentang perjanjian KRU bersama Astro. Sebenarnya selain bertindak sebagai Pengetua, saya juga Pengarah A&R (Artist & Reportoire) kepada pelajar AF8.
Untuk AF8 juga, KRU ada perjanjian bersama sebagai pelabur, penerbit album dan rakan kongsi.
Semasa AF8 banyak tekanan dihadapi dan sekarang, isu lagu pula memberi tekanan, anda menyesal?
Tidak langsung malah sangat berpuas hati dan kalau diberi peluang untuk ubah keadaan, sedikit pun tidak akan saya ubah sebab yakin dengan strategi yang telah dilakukan dalam AF8 adalah yang terbaik dan harus diteruskan jika AF berterusan ke musim kesembilan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: