|
|
SEJARAH tidak boleh diubah. Sejarah akan terus kekal buat selama-lamanya. Kerana sejarah jugalah membuatkan penulis terpanggil untuk menyelak nostalgia silam seorang personaliti yang pernah memainkan peranan penting dalam kehidupan sebahagian besar kaum ibu di negara ini.
Semuanya bermula sekitar tahun 1974 apabila stesen radio RTM memperkenalkan segmen drama radio 15 minit.
Drama yang dimaksudkan ialah Nombor 5 Persiaran Satu menerusi Rangkaian Nasional.
Kalau RTM yang memulakannya pastinya ia mencatat sejarah. Drama berkenaan mencatat sejarah kerana bersiaran selama 13 tahun di stesen radio berkenaan.
Selama tempoh itu juga, suara Fatimah Yassin menemani kaum ibu pada setiap pagi.
Bukan saja kaum ibu, bahkan ramai juga kaum bapa yang menjadikan drama Nombor 5 Persiaran Satu sebagai siaran wajib dengar!
Selain Fatimah, drama berkenaan turut menampilkan Atan Wahab, Zuraida Musib (Amiza), Che Om Dahari (Amran) dan Amir.
Diingatan mereka yang setia dengan drama radio berkenaan, pasti tidak akan mudah melupakan dialog yang cukup sinonim dengan drama itu iaitu: "Di mana Rumah Nombor 5, Persiaran Satu?"...."Oh rumah kembar dua tingkat tu? Di belakang masjid, di depannya mini market."
Sehingga kini, penangan Nombor 5 Persiaran Satu yang begitu menitik beratkan tema kekeluargaan tidak dapat diatasi oleh mana-mana karya.
Di samping menekankan nilai-nilai murni dalam membentuk keluarga bahagia, drama tersebut juga banyak menjentik nasihat dan motivasi kepada para pelajar yang kecewa untuk terus belajar.
Kepada peminat setia drama itu, andai sehari tidak mendengarnya kisah keluarga bahagia Encik Aman (Atan Wahab) dan Cik Yam (Fatimah Yassin), ia seperti tidak lengkap kehidupan harian suri rumah.
Nombor 5 Persiaran Satu ke udara pukul 9 pagi lima hari seminggu mulai hari Isnin hingga Jumaat dan diterbitkan oleh Mahani Ujang, Norela Samad dan Ishak.
Kini setelah 23 tahun berlalu, pendokong utama drama berkenaan, Fatimah yang membawa watak Cik Yam bukan sahaja rindukan 'keluarga' dalam drama itu bahkan tidak pernah menyangka dia masih dikenali setiap kali muncul di khalayak.
Bukan itu sahaja, malah ada kaum ibu yang seusianya tidak segan silu memanggilnya Cik Yam jika terserempak di mana sahaja.
"Saya pun tak sangka masih ada yang kenal saya. Kalau nak dibandingkan drama radio dan televisyen, mestilah televisyen lebih glamor. Tetapi ketika itu drama Nombor 5 Persiaran Satu memang popular.
"Drama itu bukan sahaja telah mendekatkan kami para pelakon dengan pendengar malah sejak itu saya juga mula mendapat tawaran berlakon drama televisyen dan filem," kata wanita yang sudah mencapai usia 71 tahun dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur minggu lalu.
Mengimbas sejarah pembabitan Fatimah dalam gelanggang seni, balu kepada Allahyarham Kamaruddin Ahmad dan ibu kepada dua orang anak Nordiba Akmal, 40, dan Ahmad Fazwan, 38, itu menceburi bidang lakonan ketika berusia belasan tahun di Singapura.
Dramatis berasal dari Chencery Land, Singapura (sekampung dengan aktres Rubiah Suparman) itu mula mencipta nama sebagai pelakon dalam drama pentas Ribut yang diadaptasi dari drama Cina, Thunderstorm pada tahun 1960-an.
Ribut bukan sahaja mencatat drama paling panjang yang pernah dipentaskan di Victoria Theatre Singapura iaitu selama empat jam, malah dipentaskan tanpa henti dan pernah dipentaskan di DBKL yang dibawa oleh MCA pada era yang sama.
Ribut yang dilakonkan oleh Allahyarham Salim Bachik, Maniseh Haji Sirat, Zana Ismail, Atan Wahab memberi peluang Fatimah membawakan watak utama sebagai May Fan.
Menurut Fatimah, semasa di Singapura. sebelum berlakon drama pentas dia harus berlakon tablo (berlakon menggunakan gerak bibir) untuk mengukur kemampuan dan selain memastikan kemahiran seseorang dalam bidang lakonan.
"Saya masih ingat lagi, pada tahun 1958 sebelum berlakon drama pentas saya diwajibkan berlakon tablo iaitu kita berlakon tetapi dialog diucapkan oleh orang lain.
"Sebagai pelakon gerak bibir kita mesti selari dengan dialog yang diucapkan oleh pelakon lain di belakang pentas. Nampak macam senang, hakikatnya sangat susah. Ia saling tidak ubah seperti penyanyi miming ketika di pentas," cerita Fatimah sambil ketawa.
Setelah menunjukkan kemampuan dalam tablo barulah Fatimah berpeluang berlakon Ribut.
Selain Ribut, Fatimah telah berlakon lebih 100 drama di Radio Televisyen Singapura yang kebanyakannya diarahkan oleh Allahyarham Zain Mahmud.
Barangkali juga, ramai yang tidak tahu, sebelum aktif berlakon teater dan drama, Fatimah merupakan seorang guru bahasa Melayu di Sekolah Convent of The Holy Infant Jesus, Singapura (1954 -1957).
Ketika itu, dia harus membahagikan waktu siang mengajar dan sebelah petang pula terpaksa mengikuti pengajian bahasa Melayu di Teacher's Training College untuk melengkapkan dirinya menjadi guru bahasa Melayu bertauliah.
"Waktu malam pula saya berlatih berlakon teater bersama Persatuan Sriwana yang memang cukup popular di Singapura.
"Ketika itu, kami memang tidak dibayar walau sesen kerana tujuan pementasan adalah untuk amal dan persatuan. Tetapi kami rasa seronok dapat menyumbangkan tenaga untuk persatuan walaupun upahnya hanya nasi bungkus dan makan sate di Beach Road," katanya menyelak kembali lembaran sejarah silam kerjaya seninya.
Bagaimanapun, kata Fatimah, setelah mencipta nama di Singapura, dia kemudiannya nekad meninggalkan Singapura pada akhir tahun 1966 selepas mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham suaminya.
Penghijrahan wanita ini ke Kuala Lumpur membuka ruang yang lebih luas kepadanya untuk melebarkan sayap seninya.
Atap Genting Atap Rumbia arahan Allahyarham Roslee Jalil merupakan drama pentas pertama lakonannya yang dibawa terus ke kaca televisyen.
Menyusul selepas itu, satu demi satu drama televisyen yang dilakonkan antaranya PJ Holdings, Rempah Ribu dan Idaman yang mencecah hingga ratusan episod.
Walaupun dalam drama itu, Fatimah dibayar gaji bulanan sebanyak RM10,000 namun PJ Holdings terbitan RTM benar-benar meletakkan mercu tanda dalam sejarah penglibatannya dalam bidang lakonan.
Drama PJ Holdings yang lahir di tengah-tengah kegilaan penonton Melayu mengikuti drama bersiri Hollywood, Dallas membuatkan mereka yang terlibat dalam drama itu diletakkan dalam standard yang tersendiri.
Selain Fatimah, PJ Holings drama Melayu ala siri Dallas turut dilakonkan oleh Osman Zailani, Datuk Aziz Singah, Datuk Yusof Haslam, Azmil Mustafa dan Melissa Saila.
Menurut Fatimah, selain sibuk di lokasi penggambaran drama dia juga tidak terkecuali daripada tugasnya sebagai juruhebah (deejay) FM Stereo yang cukup popular dengan rancangan Oldies, Melodi Indah, Sound Of Strings dan Rampai Selera pada tahun 1970-an.
Kemudian pada tahun 1990-an, Fatimah berhijrah ke Rangkaian Nasional sehinggalah bersara pada tahun 1999.
Fatimah juga berbakat dalam bidang penulisan.
Buku Wanita Ideal hasil tulisan Fatimah Yassin yang diterbitkan pada tahun 1980-an memberi panduan adab sopan ketika di meja makan majlis-majlis khas terutama kepada kaum wanita.
Buku yang pernah diulang cetak beberapa kali sehingga tahun 2003 dikatakan telah terjual lebih daripada 10,000 naskah.
Kini, setelah bersara selain duduk di rumah bermanja dengan tiga orang cucu-cucunya ; Arif Iskandar, 9, Aiman Majid, 6, dan Nurfateha, 3, Fatimah lebih banyak menumpukan perhatian pada kerja-kerja amal dan belajar mengaji dengan Datuk Julie Sudiro.
Menyentuh mengenai impiannya kini, Fatimah yang akan muncul dengan buku Tribute To Fatimah hasil nukilan kawan baiknya berkata: "Memang dalam usia sekarang saya tidak larat berlakon lagi. Saya seronok dapat membuat amal untuk pertubuhan ibu-ibu tunggal.
"Tetapi saya tidak akan menolak andai Nombor 5 Persiaran Satu akan diterbitkan semula demi untuk para pendengar radio.
"Drama ini mempunyai nilai sentimental yang tersendiri dan saya tidak dapat bayangkan betapa sayunya hati tatkala melihat air mata Norela Samad menitik satu demi satu tatkala drama itu dihentikan," katanya yang cuba menyembunyikan air mata daripada jatuh berlinang sebelum kami menoktahkan perbualan tempoh hari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: