LINCAH ibu jelita ini melayan kerenah dua zuriat comelnya. Biarpun Nur Aina Farhana, 23 bulan, agresif berlari ke sana sini dan sesekali meragam kerana mahu menagih lebih perhatian lantaran cemburukan si adik, Nur Aina Faznesya, 6 bulan, aktres ini tetap sabar memujuk. Sambil ketawa kecil, dia mengusap lembut pipi puteri sulungnya itu.
Tidak perlu menunggu lama, dengan sedikit suntikan suasana humor, si kecil itu ketawa riang dan mula selesa beraksi depan kamera di samping Faznesya dan ibu tercinta.
Aura bahagia Lis jelas terpancar di mata dan senyumannya. Sungguh, tiga tahun melayari bahtera rumah tangga bersama aktor Fauzi Nawawi cukup membahagiakan. Biarpun tidak sunyi diuji pelbagai kontroversi, ia sedikitpun tidak menggugat cinta pasangan romantik ini.
"Dunia saya kini adalah Fauzi dan anak-anak. Merekalah anugerah terindah daripada Ilahi serta nadi hidup saya," katanya sambil mengucup mesra dahi dua anaknya.
Memahami tujuan kedatangan Selebriti ke kediamannya, Lis terbuka menjelaskan tuduhan-tuduhan liar yang dilemparkan kepada keluarganya. Tiada rahsia dan apa yang diungkapkan jujur dari hati. Itu luahnya dan berharap penjelasan ini dapat menutup segala kontroversi berkenaan.
"Sudahlah... jangan tabur fitnah yang bukan-bukan lagi. Saya dan Fauzi bahagia, rumah tangga kami tidak ada masalah. Jika mahu porak perandakan hubungan kami, hentikanlah niat itu. Kami berkahwin atas dasar cinta dan perasaan itu masih subur hingga ke saat ini.
"Paling menyedihkan bila orang tuding jari tanpa bukti munasabah. Macam-macam cerita mereka tabur tapi saya dan Fauzi tak ambil pusing. Saya percayakan Fauzi dan akan terus setia bersamanya. Allah Maha Adil, setiap isteri diberikan gerak hati. Jika suami berlaku curang, pasti hati isteri 'memberitahu'. Sepanjang berkahwin dengan Fauzi, tidak pernah terdetik perasaan itu.
"Ada yang cakap saya pandai sembunyi kisah rumah tangga dengan berlakon bahagia. Dalam bab hati dan perasaan mana boleh sembunyi, berlagaklah riang macam mana pun, orang berpengalaman akan tahu kita tak bahagia.
"Hakikatnya, dari hari pertama bergelar suami isteri, Fauzi yang saya kenal tak pernah berubah. Kasih sayang terhadap saya dan anak-anak melimpah ruah, tak pernah berkurang.
"Ada seketika kami bermuzakarah mengenai isu-isu yang dibangkitkan. Hasil perbualan, kami dapat satu kesimpulan mungkin orang tidak senang melihat kebahagiaan kami. Sebab itulah bila ada gosip keluar dan orang bertanya mengenai perkara itu saya gelak. Bayangkanlah antara kami tak ada apa-apa, tiba-tiba keluar cerita bukan-bukan. Mengarut sungguh," kata Lis yang manis bersolek nipis.
Sambungnya, seperti pasangan suami isteri normal lain, bohonglah jika tiada perbalahan antaranya dan suami tetapi sekadar 'manja-manja' dan tidaklah berpanjangan. Biasanya ia berpunca daripada hal remeh harian dan tidak berkait langsung dengan apa yang digembar-gemburkan di media.
"Bak lagu Tan Sri P Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Setakat merajuk atau berselisih pendapat perkara biasa. Mana-mana suami isteri pun pasti berdepan dengan situasi ini, itukan resam berkeluarga. Biasanya saya dan Fauzi tidak suka pendam apa yang kami rasa, kalau ada yang kurang menyenangkan kami berterus-terang dan menerimanya dengan terbuka. Kalau bergaduh pun sekejap saja.
"Saya tak pernah curiga dengan Fauzi kerana tahu siapa kawannya dan tak pernah halang dia berjumpa dengan sesiapa pun. Begitu juga dengan dia kerana masing-masing tahu had yang perlu dijaga. Lagipun kalau berjumpa bukan suka-suka tetapi atas sebab kerja.
"Baru-baru ini, ada orang kirimkan SMS semoga tabah dengan anak-anak kepada saya. Bila saya cuba hubungi nombor itu tak berangkat pula. Kelakar sungguh, kalau dia prihatin, kenapa perlu takut? Inilah yang namanya tak ada kerja cari kerja. Kejadian ini bukan yang pertama, sebelum ini pun ada yang tiba-tiba cakap kasihan dengan saya. Untuk apa? Saya dan Fauzi bahagia, kenapa perlu kasihankan saya.
"Untuk pengetahuan semua, selepas berpantang anak kedua, saya dah suami selalu habiskan masa bersama. Di mana ada Fauzi, di situlah ada saya malah kami sama-sama terbabit dengan empat drama. Dia selalu ada depan mata saya, jadi macam mana boleh timbul tuduhan merepek yang kononnya suami saya liar dan cuba menggoda pelakon serta gadis lain," katanya yang cekap menguruskan keperluan suami dan anak biarpun kembali sibuk dengan penggambaran.
Perbualan semakin rancak apabila Fauzi turut serta dalam sesi temu bual ini. Tenang mengatur bicara, aktor yang mahir dengan lagak aksi ngeri ini meluahkan rasa kecewa apabila keharmonian rumah tangganya diperkotak-katikkan.
Luahnya, sebelum berkahwin dengan Lis, bakatnya tidak pernah dipandang malah kerja kerasnya tidak mendapat liputan media. Sekalipun hadir ke majlis sidang media, tidak ada media yang mendekati sebaliknya lebih berminat menemu bual pelakon baru.
"Saya tidak pernah ambil hati sebab saya bukanlah pelakon popular. Senario itu bagaimanapun berubah apabila saya bergelar suami Lis. Tempias populariti Lis menjadikan nama saya 'panas'. Tiba-tiba keluar istilah 'playboy', buaya darat dan macam-macam lagi sedangkan semua itu tak pernah timbul sebelum berkahwin.
"Lebih kelakar bila keluar saja gosip mengenai pasangan pelakon, orang ingat kami. Ramai yang bertanya betul ke pasangan yang diperkatakan itu saya dan Lis? Perlu diingat, bukan kami satu-satunya pasangan pelakon, ada ramai lagi.
"Saya suka orang tulis terang-terang. Kalau benar orang yang diperkatakan itu saya, tulis saja nama, di mana kejadian dan apa yang saya dah buat. Tak perlu bagi gambaran samar-samar kerana akan muncul macam-macam persepsi negatif. Bila tulis nama saya juga yang senang, boleh makan duit saman.
"Jujur, saya letih dengan semua ini. Bila ada yang tak kena, orang fikir itu kami, padahal saya dan Lis bahagia. Sudah puas kami jelaskan perkara ini tapi ia tetap berulang. Saya kasihankan Lis, walaupun dia tidak ambil kisah jauh di lubuk hatinya saya tahu pasti terdetik rasa sedih. Cukup-cukuplah ganggu kami," katanya memohon pengertian.
Pelakon bertubuh tegap ini mengakui punya ramai kenalan lelaki dan wanita malah apabila bergelar pengarah, dia sering berkomunikasi dengan ramai pelakon. Pun begitu, bagi mengelakkan fitnah dia sentiasa beringat dan memilih tempat terbuka untuk berurusan.
"Apabila sering menjadi bahan fitnah, saya lebih berhati-hati. Itupun masih ada yang salah sangka bila lihat saya duduk bersebelahan dengan wanita di tempat terbuka, padahal kami berbincang mengenai kerja. Lis tahu dengan siapa saya berurusan dan di mana saya berada. Teknologi telefon sekarang boleh mengesan di mana pasangan berada dan jika Lis menghubungi saya melalui telefon, tak pernah saya mengelak.
"Terbaru, ada keluar cerita yang kononnya saya bawa perempuan membeli-belah, padahal wanita yang berkepit dengan saya itu adalah Lis. Barangkali orang tak perasan penampilan baru Lis dan ingat wanita lain. Apa lagi yang perlu saya buat bila keluar dengan isteri sendiri pun kena fitnah? Inilah dugaan paling perit untuk suami yang bergelar pelakon.
"Saya sudah berjanji dengan Allah dan diri sendiri sebelum akad nikah, Lis adalah isteri terakhir saya. Allah menganugerahkan saya isteri yang cukup sempurna. Lis cantik, baik, memahami dan punya semua ciri-ciri wanita idaman saya. Bodohlah jika saya sia-siakan anugerah tidak ternilai ini.
"Kepada mereka yang mahu mengganggu kebahagiaan kami, lupakan saja kerana hanya maut yang dapat memisahkan saya dan Lis," katanya.
Beralih ke perihal kerjaya, Lis melafazkan syukur berulang kali kerana sejak bergelar ibu, dia berpeluang membawa watak yang lebih mencabar, berani dan seksi. Selain sibuk di lokasi penggambaran, Lis turut terikat dengan promosi Johnson & Johnson dan Slim World.
"Jika perhatikan watak saya dalam beberapa drama kebelakangan ini lebih 'daring' dan seksi. Jangan salah faham, seksi yang saya maksudkan bukan pada penampilan tetapi cara pembawaannya. Ia sekali gus menjadikan profil saya lebih berwarna-warni.
"Saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang. Ikut perjanjian, kontrak dengan Slim World akan tamat April depan dan disusuli dengan Johnson & Johnson dua bulan kemudian. Sebagai duta produk, saya cukup komited dengan program yang diatur.
"Ada juga yang berminat tawarkan watak kepada Farhana tetapi kami tidak galakkan anak-anak berlakon. Biarlah mereka ceburi bidang lain seperti pendidikan atau yang berkaitan dengan motivasi. Namun, jika mereka nekad memilih bidang ini satu hari nanti, kami tidak menghalang asalkan mereka pandai jaga diri," katanya sambil dipersetujui suami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: