KEMERIAHAN Syawal pastinya tidak lengkap tanpa sajian program-program istimewa dan terkini untuk santapan umum sempena menyambut lebaran.
Semestinya himpunan pelbagai genre seperti persembahan muzikal, dokumentari terbaik, filem popular, siri komedi dan animasi menjadi sasaran penonton.
Untuk itu, rangkaian televisyen Media Prima yang merangkumi TV3, ntv7, 8TV dan TV9 menyediakan pelbagai program menarik dari dalam dan luar negara yang bakal disiarkan sepanjang bulan Ogos (Ramadan) dan September (Syawal).
Ketua Pegawai Eksekutif rangkaian televisyen tersebut, Datuk Seri Farid Ridzuan berkata, program kempen TV Raya merupakan salah satu agenda yang dinanti-nantikan oleh penonton setia.
"Kami menitikberatkan maklum balas penonton serta susunan mantap rancangan istimewa supaya waktu tayangan dan siaran menepati kelompok penonton yang disasarkan," katanya semasa pembentangan Media Prima TV Networks Raya Screenings 2010 yang bertemakan Rasa Sayang Raya baru-baru ini.
Sepanjang bulan puasa, TV3 dan TV9 menyajikan program seperti Jejak Rasul musim ke-16 yang pernah memenangi anugerah dokumentari terbaik, Sirah Nabi, Dari Masjid ke Masjid dan Kalamullah.
Selain itu, para penonton berpeluang menonton program hebat seperti Insyaf, Resipi Istana, Tazkirah Ramadan, Pewaris, Perjalananku dan Kuih Raya Chef Wan.
Lain-lain program menarik termasuklah Shamsul @ Bazaar Ramadhan, Jom Berbuka Puasa, Singgah Sahur, Bubur Lambuk dan Moreh.
Dalam pada itu, keriangan Syawal diserikan lagi dengan filem-filem hebat seperti Cicakman 2, Jin Notti, Senario Episod 1, Brainscan, Jangan Pandang Belakang Congkak, Syurga Cinta, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang, Saus Kacang, Chermin dan Bicara Dari Tuhan.
Sambutan Rasa Sayang Raya terus diceriakan dengan gelak ketawa apabila menonton sitkom-sitkom pilihan seperti Senario 003, Bas Raya dan Hikayat.
Jangan lepaskan peluang untuk beraya bersama artis-artis kesayangan anda di dalam rancangan hiburan khas seperti Stylistika Siti, Akustika 2010, Faizal & Friends, Perang Lawak, Di Hati Siti, Alahai Nak Raya, Idola Kecil Idola Besar, Cerita Malam Hantu Raya, Hip TV Raya, Alahai Fafau Beraya, Galaksi Aidilfitri dan Geng Aizat.
Sementara itu, TV3 dan TV9 juga bakal menyiarkan rancangan berbentuk majalah dan dokumentari. Antaranya, Manikam Kalbu, Madrasah di Pinggir Syurga, Raya Pertamaku, Sepuluh Jari Kecil, Eid Seantero dan Ketupat Rendang Kopi O.
Bagi penonton cilik, saksikanlah Upin Ipin Raya, Masked Rider Den-O dan Power Rangers Jungle Fury.
Selain dari TV3 dan TV9, penonton juga berpeluang menikmati kemeriahan Syawal dengan pelbagai rancangan hiburan Cina dan urban yang menarik dan terbaik hanya di ntv7 dan 8TV.
Ntv7 menyediakan Nite of Soulful Stars "Cinta", Talian Hayat, Raya Edition, e7 Raya Special, Space Chimps, Women's Zone Raya Special, Master of Illusion dan Impossible Magic.
Saluran ceria anda itu juga menayangkan filem-filem hebat seperti Divergence, Mr Funny Bones Strikes Back dan Robin Hood: Prince of Thieves.
Sementara itu, 8TV tidak ketinggalan menghiburkan anda semua dengan rancangan-rancangan yang penuh aksi, hiburan dan tentunya menyeronokkan.
Antara rancangan menarik termasuk 2010 MTV Movie Awards, 52nd Annual Grammy Awards, Shout! Awards 2009, 8TV Quickie Raya Special - the Homecoming, Selamat Quickie Raya dan dokumentari khas, Muslim in China.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan bintang-bintang Hong Kong dan Taiwan dalam Countdown Concert Live in Taiwan 2010 dan filem-filem menarik seperti Twins Mission, Men Suddenly In Black 2 dan Legend of Star - Bang Bang.
Hangatkan lagi kemeriahan Rasa Sayang Raya kali ini menerusi rancangan hebat dan terbaik Ramadan dan Syawal 1431 yang bakal tiba menerusi TV3, TV9, ntv7 dan 8TV.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: