|
|
KONSERT All I Ever Wanted 2010 oleh penyanyi kelahiran program realiti, Kelly Clarkson khusus untuk peminat Malaysia pada malam Ahad lalu berakhir dengan cemerlang. Cukup sempurna dan memuaskan sama ada dipihak penonton mahu pun Clarkson sendiri.
Secara dasarnya, sang juara American Idol musim pertama pada 2002 ini tidak menyangka bahawa penampilan kali pertamanya di Malaysia diterima baik sekali. Saling responsif dan menjalinkan jaringan komunikasi antara dua pihak dengan lancar.
Pendek kata, apa sahaja ayat mahu pun nyanyian yang terkeluar dari mulut pemilik nama Kelly Brianne Clarkson itu disambut baik.
Debaran yang berkocak di dada wanita yang memulakan persembahan tepat pukul 8.40 malam itu akhirnya terburai setelah melihat wajah peminat yang tidak henti-henti menyorak namanya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Memakai baju serba hitam dan sopan menggambarkan seolah-olah Clarkson sudah dimaklumkan tentang etika pemakaian penyanyi antarabangsa yang perlu dipatuhi sebelum membuat persembahan di negara ini. Mungkin juga dia tidak mahu sebarang kekecohan atau imej seksi bukan dirinya.
Semuanya dipatuhi oleh anak kelahiran Fort Worth, Texas, Amerika Syarikat ini. Sebab itu, tiada aksi ghairah atau terkinja-kinja yang berlebihan melainkan ekspresi yang hadir semasa penyampaian lagu. Tiada juga koreografi dan penari yang menyertai nyanyian Clarkson.
Kegembiraan jelas terpancar dalam hati pemenang Grammy Awards menerusi album keduanya, Breakaway pada tahun 2004 tidak berakhir selepas itu sahaja.
Sebenarnya, Clarkson mengalami keterujaan sehari sebelum dia membuat persembahan di hadapan kira-kira 15,000 penonton di stadium berkenaan.
Anak bongsu dari tiga beradik ini menyambut hari jadinya ke-28 buat pertama kalinya di sini. Tarikh 24 April mencatat satu kenangan terindah buat diri penyanyi Because Of You ini.
Benar, Clarkson tidak sangka majlis hari jadi yang bertemakan bunga matahari itu disambut di Malaysia. Tidak terfikir dalam kotak pemikirannya dia meraikan hari bersejarah di negara yang pertama kali dijejakinya
''Saya terperanjat apabila bangkit dari tidur pada pagi itu (24 April) dan ada kad ucapan hari jadi yang ditandatangani oleh rakan-rakan dan para peminat. Ia benar-benar cool dan saya sangat menghargainya.
''Sudah pasti saya sangat terharu kerana ini kali pertama saya datang ke Malaysia dan menyambut hari jadi di sini. Terima kasih kepada semua ucapan,'' katanya menerusi klip video ringkas yang dimuat turun dalam blog rasmi Clarkson.
Wanita itu mengambil semangat yang dihembuskan oleh para peminatnya pada hari ulang tahunnya itu untuk dibawa pada keesokan harinya.
Memulakan persembahan dengan mengambil lagu tema All I Ever Wanted dilihat begitu rancak dan benar-benar menghiburkan. Ia disusuli dengan lagu Miss Independent yang diberi nafas baru dan diikuti dengan I Do Not Hook Up. Clarkson bijak membuat pemilihan lagu dan turutan lagu dari empat albumnya.
Tiada patah perkataan yang meleret sepanjang persembahan selama satu jam setengah itu malah Clarkson bijak memanfaatkan masa tersebut. Misinya hanya satu, iaitu memuaskan hati para peminatnya.
Selain itu, Clarkson turut menyampaikan lagu Impossible, That I Would Be Good, Breakaway, If I Can't Have You, Never Again, Lies, Tonight I Want To Cry, Accoustic Medley, Hazel Eyes, Cry, I Want You dan Don't Let Me Stop You.
Ia diikuti dengan lagu popularnya, Becouse Of You, Maybe, Walkaway, Since You Been Gone, Already Gone, Seven Nation Army dan My Life Would Suck Without You.
''Sungguh panas di sini tetapi saya gembira. Saya tidak pernah berpeluh dengan rasa enjoy sebegini ketika membuat persembahan,'' katanya ringkas.
Clarkson perlu mencari satu ramuan atau resipi yang berbeza agar rasanya berbeza pada setiap persembahan konsert. Misalnya, Konsert Kelly Indonesia yang diadakan di Tennis Indoors Senayan Jakarta, Indonesia pada 29 April lalu pasti berbeza.
Ini kerana ruang cakupan dan sudah pasti sesuatu yang berbeza dinanti untuk audien di sana. Ada satu cerita yang menarik tentang wanita ini. Ini kerana dia hampir-hampir membatalkan konsert di negara jiran kerana tidak bersetuju dengan penajaan daripada sebuah syarikat rokok.
''Saya tidak tahu dan tidak mahu terlibat sebagai duta kepada perokok muda. Sebab saya bukan perokok dan tidak pernah merokok. Malangnya, saya tidak punya pilihan melainkan membatalkan siri konsert ini. Bagaimanapun, saya tidak terdaya untuk melakukannya demi peminat,'' katanya yang dipetik dalam blog pada 21 April lalu.
Namun, semua permasalahan sudah berakhir. Semua penajaan untuk konsert Clarkson sudah ditarik balik dan penyanyi ini tetap akan beraksi di sana mengikut jadual ditetapkan.
Konsert siri jelajah All I Ever Wanted 2010 negara Asia Clarkson kemudiannya diteruskan di Manila, Filipina pada 1 Mei di Araneta Coliseum.
Ia diikuti di Olympic Hall of Olympic Park di Seoul Korea Selatan pada 4 Mei ini, Taipei, Taiwan (6 Mei) dan Macau, China (8 Mei).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: