|
|
MELIHAT raut wajahnya pasti tidak percaya bahawa hatinya masih belum dimiliki. Benar, kesempurnaan yang ada pada wajah dan tubuh langsingnya menafikan kecacatan serta kekurangan bagi mempersoalkan perkara itu. Sekali gus menutup bicara. Mana tidaknya, Faezah Elai yang dilahirkan tanpa sedikit pun cacat cela itu masih berstatus bujang dan boleh dimiliki. Pada hal umurnya kini sudah menjangkau ke angka 28 tahun.
Reda dengan ketentuan yang tertulis di azali, anak kelahiran Pulau Pinang ini tidak pernah menyesali suratan. Malah, tidak sesekali juga dia kalut membilang hari untuk bergelar anak dara lanjut usia (andalusia) atau anak dara tua (andartu).
Baginya, subjek perkahwinan kerap kali ditanyakan ke halwa telinganya dan bukan perkara yang baru. Ia turut dialami oleh wanita bujang sepertinya. Topik itu seakan-akan perkara wajib yang ditanyakan oleh golongan orang tua.
Sejujurnya, topik berkenaan kadang kala merimaskan dan menyemakkan fikiran. Telahan Faezah, bukan dia yang tidak mahu berkahwin tetapi masih belum bertemu dengan lelaki yang sesuai.
''Benar, kalau boleh Faezah mahu berkahwin sekarang. Dalam masa terdekat ini. Umur pun dah banyak tetapi masih belum berkahwin. Hendak buat macam mana. Masih tak berjumpa dengan calon yang sesuai. Tak kanlah kita berkahwin main tangkap muat sahaja,'' katanya dalam nada ceria pada pertemuan baru-baru ini.
Bagi Faezah, dia cukup terbuka soal perkahwinan. Diringkaskan cerita, heroin Adik Manja The Return ini memang sudah bersedia untuk menerima cinta dari mana-mana lelaki. Wanita ini juga tidak cerewet mengenai persoalan berhubung impiannya itu.
Prinsip hidupnya mudah. Si dia perlu sanggup susah senang sepanjang melayari bahtera perkahwinan bersamanya. Dia juga tidak semestinya terlalu kacak dan kaya. Cukuplah sekiranya mempunyai pendidikan agama dan menerima Faezah seadanya.
Justeru, anak sulung dari tiga beradik ini juga tidak menetapkan syarat yang terlalu besar untuk lelaki mendampinginya. Baginya, kedua-dua syarat berkenaan sudah memadai.
Bagi wanita ketinggian 5'6 inci ini, dia banyak mendengar cerita tentang lelaki kaya, penampilan menarik dan penuh kepura-puraan untuk menawan hati wanita pada zaman moden ini. Ada kalanya didapati menerusi pengalaman rakan-rakan dan orang lebih tua. Rasa trauma dan menjadikan pemilik nama penuh Noorfaezah ini lebih berhati-hati.
Azamnya, dia tidak menjadi sebahagian daripada statistik yang mencatatkan kes-kes seumpama itu. Biarlah dia memilih sang arjuna yang sederhana sesuai untuk membelai jiwa buat selama-lamanya.
Namun, tanpa disedari sebenarnya Faezah lebih menyenangi lelaki yang berlainan bidang daripadanya. Dalam kata mudah, bukan dalam industri seni tempatan.
Telahan Faezah, perkara tersebut sebenarnya lebih melancarkan proses komunikasi. Tidak tepu dan bosan terlalu apabila kerap bersemuka dan berbual dalam bidang yang sama.
''Semasa menjadi pramugari, Faezah sering kali mendengar kisah percintaan di kalangan kakitangan satu tempat kerja. Tidak kira, pramugara bercinta dengan pramugari, pramugari dan juruterbang.
''Ada yang berjaya ke jinjang pelamin dan ada yang tidak. Tapi kebanyakannya tidak menjadi. Itu yang membuatkan Faezah banyak berfikir,'' terang bintang filem Cun ini.
Wanita berbintang Leo ini mengakui, pada awalnya dia mengidamkan tarikh 11 November 2011 untuk melangsungkan hari bersejarah itu. Tarikh yang cukup simbolik untuk diabadikan buat bakal pengantin muda sepertinya.
Faezah gagal untuk mencapai sasaran tarikh 10 Oktober 2010. Satu angka yang mustahil untuk dicapai dalam tempoh lima bulan dari sekarang. Banyak perkara dan persiapan yang perlu dibuat. Apatah lagi selepas persoalan utama Faezah belum berjawab - tidak mempunyai teman lelaki.
Ceritanya, dia pernah gagal bercinta dengan seorang lelaki selepas berkenalan hampir dua tahun. Pada mulanya dia merasakan lelaki di kalangan 'orang biasa' itu adalah pilihan yang tepat. Puas juga mencari keserasian bagaimanapun tidak ditemui.
Bohonglah sekiranya dikata dia tidak kecewa tetapi wanita ini tidak dapat menipu diri sendiri. Bisik hatinya, 'biarlah, itu bukan jodoh aku'.
Kini, apa yang diharapkan agar satu hari dapat bertemu dengan pasangan jiwanya. Pada masa yang sama, bakal kekasihnya itu dapat menerima dirinya seadanya dan menghormati bapa, Mohd. Elai Fazil Elai, 54, serta ibu, Fazilah Ariffin, 50.
Memang mulut celupar
Menyingkap cerita lalu model ini, Faezah sebenarnya seorang yang suka berterus terang. Tidak boleh melihat sesuatu yang salah di hadapan mata. Sekiranya ada pasti mulutnya lancang berbicara.
Baginya, tidak salah sekiranya dia menegur. Lagi pun dia bukan jenis yang boleh kontrol. Akibatnya, dia pernah ditegur oleh beberapa artis yang lebih senior daripadanya.
Kata artis berkenaan, dia perlu belajar menjadi hipokrit. Itu pun sekiranya Faezah mahu kekal dalam industri ini. Tidak boleh berkata 'tidak' kepada orang lain. Perlu terima apa sahaja kehendak daripada orang lain. Sudah pasti, dasar tersebut bertentangan dengan prinsip yang diamalkan selama ini.
''Faezah marah apabila terpaksa hidup dalam lingkungan kepura-puraan semasa berada di industri. Namun lama kemudian, barulah Faezah akui. Memang kita perlu menjadi orang lain kalau mahu lama bertapak dalam industri ini. Itulah hakikatnya.
''Faezah sendiri pernah terkena. Jadi, Faezah ambil pendekatan untuk menguncikan mulut. Sekarang ini, kalau Faezah tidak gembira, Faezah akan senyap. Tidak perlu bercakap lebih-lebih. Nanti orang kata Faezah bermulut celupar pula,'' katanya.
Faezah pula jenis yang tidak mahu terlalu berkongsi cerita peribadi dengan khalayak. Baginya, itu sahaja cebisan privasi yang ada. Seboleh-bolehnya, dia mahu menyimpan apa sahaja cerita oeribadi dari pengetahuan umum.
Faezah juga pernah terjebak dalam kontroversi melibatkan kisah peribadinya. Antaranya adalah cerita kurang enak melibatkan penyebaran gambar seksinya. Namun, Faezah tidak pernah tampil ke hadapan untuk mengulas berhubung perkara itu.
Baginya, tidak ada apa yang perlu diperjelasnya. Kesemua gambar berkenaan diambil semasa dia belum popular lagi. Lagi pun, semakin banyak Faezah mengulas, pasti mengundang spekulasi.
Tadika dan Pulau Pinang
Ditanya tentang rancangan masa depan Faezah, tiba-tiba wajahnya bertukar kemerah-merahan. Bisik Faezah ke telinga saya, dia mahu pulang ke Pulau Mutiara selepas mendirikan rumah tangga.
Terang Faezah, dia lebih selesa dan tenang sekiranya dapat tinggal di tempat kelahiran sendiri.
''Faezah merancang untuk membuka taman bimbingan kanak-kanak sendiri. Yelah, meskipun wajah Faezah nampak ganas tetapi sebenarnya Faezah sukakan kanak-kanak.
''Jadi, Faezah mendambakan kehidupan lebih baik selepas berumah tangga nanti. Isikan masa bersama keluarga dan perniagaan yang bakal diceburi. Itulah impian Faezah,'' celoteh bintang utama drama Tun Fatimah ini.
Bercerita lanjut mengenai impiannya itu, Faezah memberitahu, ia masih berada perancangan. Apa yang menjadi sasarannya sekarang adalah memastikan apa yang direncanakan itu menjadi kenyataan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: