PADA awalnya, Marilyn berhajat nak tengok siaran langsung Anugerah Industri Muzik edisi ke-17 (AIM17) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur Ahad lalu dari rumah saja memandangkan malas nak melawa. Iyalah, tak yakin diri rasanya nak datang majlis berprestij macam itu dengan berpakaian serba sederhana.
Tapi gara-gara dipaksa kakak angkat, Reena Deen, mahu tak mahu, datang jugalah Marilyn yang sempat melaram dengan gaun meleret rona hijau. Sampai saja di sana, kami terus cari tempat duduk yang disediakan pihak penganjur. Dengan perasaan teruja, Marilyn tak sabar-sabar nak tengok keseluruhan anugerah gah itu.
Beberapa minit AIM17 memulakan pelayaran, Marilyn terlihat kelibat seorang pelakon dan hos wanita popular muncul bersama temannya terkocoh-kocoh cari tempat duduk. Kalau tak silap Marilyn, dia memang tahu di mana tempat duduknya. Selebriti berdarah kacukan itu sepatutnya ditempatkan di sebelah teman rapatnya yang juga penyanyi bersuara lunak.
Malang sekali apabila tempat duduknya diambil oleh empat tetamu yang datang lebih awal. Artis yang kelam-kabut itu bagaimanapun dilihat bercakap secara baik sambil menerangkan tempat tersebut merupakan kepunyaannya. Agaknya tetamu-tetamu itu juga keras kepala, artis yang dah tak larat nak bergaduh itu terus berlalu dengan muka geram dan tak puas hati.
Rasanya hampir 20 minit dia terpaksa berdiri di tepi laluan masuk bersama dua atau tiga krew produksi AIM17. Tidak lama kemudian, artis yang menyarungkan gaun pendek warna hitam itu diberi kerusi lain oleh salah seorang petugas AIM17. Tempat duduk barunya hanya selang dua baris daripada kerusi asal.
Nak dijadikan cerita, dalam sibuk nak berjalan ke tempat duduknya di celah-celah penonton lain, artis jelita tu sempat merenung tajam beberapa kali tetamu yang buat muka selamba ambil tempat duduknya. Terkejut betul Marilyn tengok wajah bengis selebriti yang selalunya peramah dan bermulut becok itu. Tak sangka jugalah, dalam lemah-lembutnya, baru ternampak sisi lain dia.
Marilyn sebenarnya tak salahkan artis berkenaan dalam soal ni sebab ia melibatkan hak. Marilyn juga manusia biasa yang boleh naik hantu kalau apa yang jadi milik kita, diambil oleh orang lain. Tapi Marilyn cuma nak nasihatkan kepada selebriti itu agar jangan ulangi sikapnya kerana bimbang ia boleh buatkan orang lain tersalah faham.
Nasib baik Marilyn dan teman-teman wartawan yang tak sengaja lihat situasi itu. Kalau peminat yang tengok, alamatnya bermacam-macam tanggapan dihadapkan pada diri awak yang selalu lakonkan karakter wanita manis dan sopan-santun dalam filem atau drama. Suka atau tidak, kena jugalah kawal tingkah laku kita depan khalayak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: