![]() |
| MISHA OMAR |
NASKHAH Sasterawan Negara, Datuk Usman Awang tidak dinafikan sering diekspresi menggunakan beberapa perlambangan. Bulan sebagai harapan atau rahsia, kolam umpama lambang mencurah perasaan dan suara burung pungguk ibarat kesayuan dan rintihan.
Sementara dalam karya Uda Dan Dara, pemilik nama lengkap Wan Osman Wan Awang yang menggunakan nama pena Tongkat Warrant menggambarkan personaliti dan sosok Uda sebagai lelaki Melayu sarat sikap kekampungan. Itu simbol sebenar si Uda.
Justeru, untuk memunculkan semula teater muzikal tersebut selepas kali pertama dipentaskan 38 tahun lalu, ia menjadi cabaran terbesar buat sang pengarah, Datuk Rahim Razali. Mencari calon sesuai menerajui roh Uda di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 10 hingga 20 Julai ini, hakikatnya bukan dianggap perkara mudah.
Menurut Rahim yang bekerjasama dengan rumah produksi UA Enterprises Sdn. Bhd. yang dianggotai oleh waris-waris Usman Awang, dia harus mengambil waktu panjang menjalankan sesi uji bakat mencari pelakon lelaki sesuai melakonkan karakter Uda.
"Sebelum ini Tony Eusoff pernah datang uji bakat. Benar, saya begitu kagum melihat bakatnya yang boleh berlakon, menyanyi dan menari dengan baik. Tetapi sayangnya, wajah dia kurang ciri Melayu.
"Sama halnya dengan Rashidi Ishak. Dia punya muka Melayu sejati, boleh berlakon dan menari. Cuma vokalnya pula tidak mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu lama," katanya ketika ditemui pada sidang media teater berkenaan di Istana Budaya, Kuala Lumpur minggu lalu.
Umum mengetahui, Rahim merupakan individu cukup sinonim dengan naskhah Uda dan Dara. Selain pernah mengarahkan teater tersebut, dia juga pernah memegang watak Uda dalam drama televisyen sewaktu zaman kegemilangannya.
"Saya agak cerewet ditambah teater ini akan dipertontonkan di dewan berprestij ibarat Istana Budaya. Jadi, saya kena pastikan perjalanan Uda Dan Dara sempurna dalam pelbagai aspek termasuk mencari pelakon benar-benar berkelayakan.
"Dalam fikiran sebelum ini pernah hendak mengambil Remy Ishak membintangi karakter Uda. Tetapi, jadual lakonannya padat sehingga hujung tahun ini. Nampaknya saya terpaksa membatalkan hasrat untuk menggandingkan Remy dan beberapa pelakon Uda Dan Dara.
"Kalau tidak bertemu juga dengan pelakon pilihan hati, saya bersedia beri ruang kepada bakat baru. Ramai juga anak muda berbakat besar yang sedang menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan sekolah lakonan lain.
"Soal keserasian dengan pelakon wanita yang menjadi Dara rasanya tidak menjadi masalah. Saya percaya, setiap pelakon sudah ada cara sendiri mewujudkan persefahaman dengan orang di sekeliling terutama watak gandingannya," ujar Rahim yang teruja dapat mengarah karya terbilang itu.
Misha gementar
Mengetahui bukan senang menjalankan tanggungjawab di kerusi tuan pengarah, Rahim bagaimanapun menebal dengan pendirian sendiri agar naskhah digarap secara muzikal itu tidak diubah sesuka hati mengikut kemahuannya.
"Ada sedikit pembaharuan akan dilaksanakan nanti. Tetapi saya percaya ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita yang sudah diketahui peminat. Kalau ingin tahu, kena saksikan sendiri tidak lama lagi," terangnya yang bakal mengadakan sedikit penambahan pada pengakhiran teater muzikal berkenaan.
Meneraju watak Dara, Misha yang menghadiri uji bakat pada Februari lalu meluah keterujaan berlakon sebagai peranan utama dalam karya yang berkisar romantisme yang menuntut sepenuh perhatian dan perasaan.
"Sewaktu terdengar tentang uji bakat dilakukan, dalam hati ini terdetik impian memegang peranan Dara. Ditambah Muzikal Uda Dan Dara merupakan naskhah besar dan dikagumi ramai, ia dilihat sebagai landasan terbaik meningkatkan profil kerjaya seni sendiri.
"Ini semua melibatkan keberanian. Kalau saya tidak cuba pada masa ini, bila lagi mahu menyahut cabaran mendatang. Justeru, saya hendak berusaha sedaya upaya supaya dapat realisasikan watak ini dengan jayanya tanpa menoleh ke belakang lagi.
"Insya-Allah, saya akan jalani latihan koreografi terlebih dulu sebelum meneruskan lakonan bersama pelakon lain selama dua bulan mulai Jun ini," jelasnya yang sebelum ini mengetahui sedikit sebanyak pengkisahan Uda Dan Dara menerusi puisi dilagukan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dalam riak kegembiraan, Misha tidak ketinggalan meluah debaran menanti sang jejaka bernama Uda yang bakal berdampingan dengan dirinya sambil melafaz janji-janji romantis sepanjang pelayaran teater muzikal berkenaan.
"Pada mulanya, saya rasa lega dapat tahu Remy Ishak bakal meneraju karakter Uda selepas dia melakukan yang terbaik dalam pementasan Natrah. Namun, selepas diberitahu semula Remy terikat dengan komitmen lakonan dalam tempoh panjang membuatkan saya jadi gementar.
"Tertanya juga dalam hati ini boleh ke saya hendak bergandingan dengan orang lain ditambah memikirkan keserasian kami nanti di atas pentas," luah Misha yang bakal melantunkan vokal gemersiknya dengan lagu-lagu berirama kontemporari.
Tanpa berselindung, wanita berusia 28 tahun itu sempat berkongsi cerita bakal membuka pendakap besi yang rapi memeluk giginya sejak awal tahun 2007. Demi memperlihat sisi luaran Dara, dia sanggup berkorban apa sahaja biarpun ada harga perlu dilunaskan.
"Saya tidak kisah walaupun doktor yang merawat terkejut dengan keputusan tersebut. Puas hati sebenarnya dapat lakukan pengorbanan. Pendakap gigi ini sepatutnya ditanggalkan selewat-lewatnya awal tahun depan. Tetapi, saya tetap berkeras mahu buka sebelum Julai ini.
"Jika kondisi gigi sudah okey dan tersusun cantik seperti diingini, nampaknya saya terus buka untuk selama-lamanya. Tengoklah macam mana doktor dapat sesuaikan dengan keadaan ini kelak. Kalau kena pasang semula selepas pementasan, saya terima saja," jawabnya yang tidak sabar hendak berkolaborasi dengan penggiat teater prolifik bernama Rahim Razali.
Memainkan peranan Dara - wanita Melayu desa yang lemah lembut perilaku dengan santun tutur kata, beritahu Misha, ia menjadi cabaran terbesar sementelah dirinya di alam realiti sedikit bertentangan dengan sifat- sifat tersebut.
"Kalau orang tidak kenal rapat, mereka boleh anggap saya kasar. Sekarang saya sedang belajar menyusun langkah dan bicara dengan lebih baik berbanding hari-hari biasa," ujarnya yang turut berdepan kesulitan mempelajari bahasa Melayu lama dengan bunyinya terlalu halus pada pendengaran kasar.
Selain Misha, Muzikal Uda Dan Dara yang diangkat terus relevan dengan semua zaman itu turut dibintangi oleh 12 pelakon lain antaranya ialah Aishah yang membawakan karakter ibu Uda, Mazlan Tahir (Alang Bakhil), Radhi Khalid (Pak Long), Khir Rahman (Utih) dengan dibantu seramai 40 penari.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: