BAITULMUQADDIS - Moshe Hirsch yang merupakan seorang rabai Yahudi berfahaman anti-Zionis dan rakan karib kepada bekas pemimpin Palestin, Allahyarham Yasser Arafat, meninggal dunia di sini kelmarin semasa berusia 86 tahun, kata satu kumpulan Yahudi ortodoks semalam
Semasa hayatnya, Hirsch terkenal sebagai pemimpin kumpulan ortodoks, Neturei Karta yang menentang kewujudan Israel sebagai negara Yahudi selain persahabatan beliau dengan musuh Zionis iaitu Palestin.
Yasser yang meninggal dunia pada 2004 pernah melantik Hirsch sebagai penasihatnya berhubung hal ehwal kaum Yahudi.
Kumpulan Neturei Karta dikenali di peringkat antarabangsa selepas beberapa pemimpinnya berkunjung ke Iran pada 2006 bagi memberi sokongan kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad dalam satu persidangan bagi menyangkal peristiwa penghapusan kaum Yahudi yang dilakukan rejim Nazi semasa Perang Dunia Kedua.
Hubungan rapat kumpulan itu dengan pentadbiran Palestin termasuk Hamas di Gaza, bagaimanapun, dikritik hebat oleh beberapa kumpulan anti-Zionis lain.
Sementara itu, penasihat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Hatem Abdel Qader berkata, beliau akan menyertai satu delegasi Palestin bagi memberikan penghormatan terakhir kepada rabai berkenaan.
"Kami mengganggap Rabai Hirsch seperti saudara kami sendiri (penduduk Palestin). Hubungan erat ini membuktikan bahawa kami bukan memusuhi agama Yahudi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: