|
|
NEW YORK - Pihak berkuasa New York kini sedang giat memburu seorang lelaki kulit putih berusia 40-an dan berkepala botak yang dilihat menanggalkan baju berhampiran sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang sarat dengan bom, lapor sebuah akhbar semalam.
Rakaman video pengawasan polis menunjukkan lelaki itu berjalan di lorong yang hampir dengan Times Square sebelum dia menanggalkan baju pada Sabtu lalu.
Dalam klip video sama, lelaki itu dilihat memandang ke arah SUV yang sedang berasap dan meletakkan baju yang ditanggalnya tadi ke dalam sebuah beg.
Para detektif sedang menyiasat persamaan antara bom di dalam kenderaan itu di Times Square dengan dua bom kereta yang diletakkan oleh pengganas Al-Qaeda di luar kelab malam Tiger Tiger di London tiga tahun lalu.
Dalam kedua-dua kes itu, bahan letupan tersebut terdiri daripada tangki gas propana dan petrol yang akan diletupkan dengan menggunakan peledak elektronik.
Kereta yang mengandungi tangki propana, mercun dan minyak petrol itu akan meletup dengan kuat serta membunuh sejumlah pejalan kaki.
Letupan berkenaan akan menyebabkan kemusnahan di jalan paling sibuk di Amerika Syarikat (AS) yang dipenuhi dengan teater-teater Broadway dan restoran.
Pada malam Sabtu lalu, keadaan kenderaan yang mencurigakan itu membuatkan dua orang peniaga iaitu Lance Orton dan Duane Jackson membuat laporan kepada polis. Mereka berdua merupakan askar veteran perang Vietnam.
Sementara itu, dalam satu video berdurasi seminit, kumpulan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan yang gagal itu.
Namun, seorang pegawai polis Ray Kelly dan Datuk Bandar New York, Micheal Bloomberg menyatakan polis tidak mempunyai sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: