BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam memberitahu akan mendedahkan satu pelan damai untuk menamatkan krisis yang telah berlangsung selama dua bulan dan membunuh 27 orang dengan cara mengurangkan risiko keganasan daripada penunjuk perasaan antikerajaan.
Abhisit mengumumkan pilihan raya baru akan diadakan pada 14 November depan dan Parlimen akan dibubarkan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung mengenai pelan damai bagi merungkai kemelut politik yang berlarutan selama tujuh minggu di negara ini, beliau berkata kerajaannya membuat tawaran itu dengan syarat pelan damainya tidak diganggu.
Sebelum itu, ribuan penunjuk perasaan antikerajaan yang terkenal dengan panggilan Baju Merah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan meninggalkan kawasan komersial Bangkok, selepas Abihisit memberi amaran kemungkinan pertempuran dan kerugian baru berlaku jika mereka tetap berdegil.
Bercakap di Parlimen, Abhisit dalam nada yang lebih lembut menyatakan kerajaan berharap dapat menyelesaikan konflik itu menerusi rundingan.
Sementara itu, kira-kira 1,000 orang yang membentuk pergerakan protes terbaru dan dikenali sebagai 'pelbagai warna' berarak di kawasan lama Bangkok.
Mereka mendesak Abhisit segera menamatkan protes haram kumpulan Baju Merah.
Abhisit ditekan hebat untuk menamatkan krisis yang telah melumpuhkan industri pelancongan Thailand.
Pada minggu lalu, Menteri Kewangan, Korn Chatikavanij meramalkan jika protes berlangsung sepanjang tahun, pertumbuhan ekonomi Thailand akan susut sebanyak dua peratus.
Terdiri daripada golongan bawahan, kumpulan Baju Merah yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra mendesak supaya Abhisit meletak jawatan, membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: