Tuesday, May 4, 2010

Platform muzik Indie


AHMAD SHABERY amat prihatin dengan fenomena yang sedang berlaku dalam dunia muzik remaja tempatan.


SEIRING dengan perkembangan muzik indie yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan melalui menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek memandang serius fenomena yang sedang berlaku dalam dunia muzik remaja tempatan.

Sehubungan dengan itu kementerian bersama Pertubuhan Pembangunan Belia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (YOUTH), telah melancarkan program Indie Band & Clash Of The Band di dataran Maybank, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini sempena dengan sambutan Hari Belia Negara yang berlangsung pada bulan Mei setiap tahun.

Menurut Ahmad Shabery, beliau melalui kementerian memberi sokongan padu kepada aktiviti orang muda yang disifatkan sebagai satu aktiviti yang berfaedah.

“Pihak kementerian melihat muzik indie salah satu cara untuk anak muda ekspresikan apa yang terpendam dalam jiwa mereka secara kreatif.

“Memang banyak band indie yang wujud dan kita membantu mereka dengan memberi platform seperti program Indie Band & Clash Of The Band. Jika mereka mempunyai daya kreativiti yang tinggi serta kesungguhan, tidak mustahil mereka akan menjadi band yang terkenal di Malaysia pada masa depan,” ujarnya.


ANTARA remaja yang bakal bertanding dalam Clash of The Band.


Tambahnya lagi, selain menyediakan platform persembahan dan pertandingan program tersebut mampu membuka mata khalayak tentang perkembangan muzik Malaysia kepada orang luar dan rakyat Malaysia sendiri.

“Kebanyakan remaja yang berminat dalam muzik, mereka tidak ada tempat untuk menunjukkan bakat serta kreativiti yang mereka miliki.

“Bagi saya, program ini sangat bertepatan dengan waktu dan kumpulan sasarannya. Saya juga berharap apa yang kementerian usahakan akan diteruskan pada masa depan tetapi dengan kerjasama lebih banyak pihak supaya program seperti ini menjadi satu program yang besar,” katanya lagi.

Program yang bakal berlangsung pada 14 hingga 16 Mei di Presint 3, Putrajaya itu merupakan salah satu daripada 88 program yang dianjurkan sempena Hari Belia Negara.

Beritahu Ahmad Shabery lagi, program Indie Band bakal menyaksikan 12 band indie membuat persembahan sewaktu sambutan Hari Belia Negara yang berlangsung selama tiga hari di Putrajaya.


AHMAD SHABERY turun padang untuk lebih memahami tentang dunia anak muda.


Sementara, program Clash Of The Band merupakan satu pertandingan yang melibatkan lebih kurang 30 buah band yang bakal berentap bagi merebut gelaran juara.

Penyertaan untuk pertandingan itu masih dibuka dengan yuran pendaftaran sebanyak RM50 bagi setiap band yang ingin bertanding.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: