Friday, May 21, 2010

Perkasa jenama 1Malaysia Best

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangka dapat memberi kelulusan penggunaan jenama 1Malaysia Best kepada sekurang-kurangnya 1,000 produk berasaskan pertanian yang diusahakan 200 usahawan menjelang Jun ini.

LANCAR...Noh melancarkan jenama 1Malaysia Best sambil disaksikan  Rohani dan Badruddin.
LANCAR...Noh melancarkan jenama 1Malaysia Best sambil disaksikan Rohani dan Badruddin.
Ketika ini, kira-kira 600 produk yang diusahakan 138 usahawan sudah memperoleh kelulusan menggunakan jenama itu yang dilancarkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi Fama, Datuk Badruddin Amiruldin, berkata menerusi penggunaan jenama itu, usahawan berpeluang melangkah lebih jauh sekali gus meneroka pasaran tempatan dan antarabangsa dengan lebih mudah serta memperoleh pelbagai insentif kerajaan.

“Antaranya peluang mengadakan promosi sekali gus membuka peluang niaga untuk mereka di luar negara.
“Bagi memperkasa jenama 1Malaysia Best ini, kami akan mengadakan aktiviti pengiklanan dan promosi berterusan melalui Kempen Kesedaran Jenama di media cetak serta elektronik.

“Promosi juga diadakan di pasar raya besar, pasar raya, pasar tani, cawangan Fama dan pelbagai program pameran di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jenama 1 Malaysia Best di Subang Jaya, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin.

Sementara itu, Noh berkata, kementerian memperkenalkan jenama 1Malaysia Best untuk membantu meningkatkan taraf dan mempromosikan produk berasaskan pertanian keluaran tempatan terutama di pasaran antarabangsa dan mewujudkan kestabilan ekonomi kepada pengusaha.“Jika sebelum ini pengusaha hendak promosi produk di luar negara terpaksa pergi sendiri, tetapi dengan jenama 1Malaysia Best ini, kita boleh bawa semua sekali bawah satu jenama dengan perbelanjaan ditanggung kerajaan. Kita memang diberi peruntukan untuk mempromosikan produk seperti ini.


“Selain itu, kementerian akan menanggung 50 peratus daripada kos pengiklanan produk jenama ini bagi tujuan promosi di televisyen atau saluran media lain,” katanya.

Menurutnya, kementerian sedang menimbang meluaskan penggunaan jenama 1Malaysia Best bagi produk makanan bukan berasaskan pertanian pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: