Friday, May 21, 2010

'Pegawai’ penyamun

KUALA TERENGGANU: Selepas kejadian bekas pegawai pencegah maksiat sukarela yang didapati menyamar sebagai penguat kuasa sebelum merogol siswi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Oktober tahun lalu, satu lagi kes membabitkan modus operandi hampir sama dilaporkan 7 Mei lalu.

Bezanya, kes terdahulu membabitkan maruah wanita manakala kejadian kali ini hanya membabitkan kerugian harta benda selepas penyamar hanya menyamun dan melarikan wang tunai serta telefon bimbit mangsa sebelum dia ditahan di rumahnya, 17 Mei lalu.


Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, berdasarkan laporan diterima, suspek seorang buruh berusia 25 tahun dipercayai melakukan perbuatan itu di taman rekreasi berdekatan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung, Kuala Ibai, di sini.


Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi selepas suspek memperkenalkan diri sebagai pencegah maksiat ketika menghampiri mangsa yang sebelum itu bertemu teman wanitanya di kawasan berkenaan.


“Berikutan itu, mangsa minta lelaki berkenaan menunjukkan kad kuasa, tetapi permintaan dibalas dengan satu tumbukan di muka sebelum poketnya diseluk dan telefon bimbit serta dompet dikeluarkan penjenayah itu.


“Ketika itu, suspek cuba melawan menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia merampas kembali dompetnya namun telefon bimbitnya berjaya dilarikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: