Saturday, May 22, 2010

NCER tarik pelaburan RM1.4 bilion

PIHAK Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menarik pelaburan kira-kira RM1.4 bilion untuk Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sejak Jun 2008 hingga April lalu.

REDZA...pelaburan dijangka terus meningkat
REDZA...pelaburan dijangka terus meningkat
Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq, berkata daripada jumlah itu, lebih RM800 juta pelaburan membabitkan syarikat luar negara manakala selebihnya tempatan.


Sehingga kini, katanya, 28 program dilaksanakan pihaknya di empat negeri dalam wilayah terbabit.


“Pelbagai inisiatif baru diperkenalkan antaranya kerjasama dengan syarikat multinasional di Pulau Pinang, inisiatif teknologi tinggi di Perlis dan inisiatif perladangan satelit usahawan pertanian serta inisiatif pemprosesan makanan hiliran di Kedah.


“Kami turut menjangka peningkatan jumlah pelaburan apabila Program Pembangunan Akuakultur di Perak membabitkan usaha sama dengan syarikat dari Jepun, kontrak perladangan Satelit di Pulau Pinang membabitkan Perda (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang) dan Malaysian Agrifood Corporation (MAFC) berjalan secara rasmi pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab bersama media mengenai Laporan Tiga Bulan dan Hala Tuju Baru NCIA di Petaling Jaya, semalam.


Menyentuh mengenai hala tuju baru NCIA, beliau berkata, pihaknya kini menumpukan untuk membangunkan struktur penghantaran baru, meningkatkan pembabitan bersama pemegang saham dan menyokong industri ekosistem dengan menekankan kapasiti membabitkan inisiatif pembangunan.


“Selain itu, kami memberi fokus untuk bekerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi pelbagai program antaranya Pusat Kecemerlangan NCER,” katanya.


Menurutnya, di bawah kepimpinannya, keseluruhan kerangka kerja NCER yang disemak semula merubah hala tuju NCIA ke arah baru.


“Antara hala tuju baru itu ialah bagi meningkatkan nilai tambah daripada industri yang sedia wujud, memacu strategi pembangunan serantau dalam konteks pembangunan negara, mengoptimum dan menyatukan pembangunan infrastruktur utama NCER dan menjadi katalis bagi memastikan aktiviti ekonomi terus berkekalan,” katanya.

Beliau berkata, NCIA berperanan sebagai penyedia dan fasilitator dalam memastikan pembabitan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi NCER.


“Menjadi tugas NCIA memastikan kesan positif membabitkan sosio ekonomi yang terhasil daripada pembabitan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: