Saturday, May 22, 2010

Alasan tak masuk akal

TINDAKAN pemain badminton negara mengheret media sebagai antara punca kegagalan Malaysia merangkul Piala Thomas yang kali terakhir dimenangi pada 1992, membuatkan bekas bintang negara, Jalani Sidek, tergelak.

Jalani Sidek
Jalani Sidek
Namun dia berasa jelek apabila Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd Nadzmi Salleh turut mengiyakan alasan itu apabila mengatakan media yang membuat liputan harian memberi tekanan memuncak kepada pemain sehingga mengganggu mental pemain mereka menyebabkan kegagalan beraksi baik.


Jalani berkata entah mengapa Nadzmi boleh menerima alasan pemain itu biarpun ada juga yang mengaku gagal beraksi baik di atas gelanggang, sedangkan presiden itu sebelum ini mengesahkan pemain sudah menjalani persiapan dengan cukup sempurna.


“Saya tidak faham mengapa Nadzmi boleh menerima alasan sebegitu daripada pemain. Adakah beliau tidak pernah tahu mengenai sukan badminton yang sememangnya mendapat liputan media. Sebenarnya Nadzmi yang memberi tekanan kepada pemain pada hari-hari terakhir sebelum kejohanan apabila beliau sendiri membuat kenyataan media yang skuad negara tidak akan menang.


“Malah, Nadzmi juga tiada keyakinan dalam menetapkan sasaran sama ada skuad negara mampu ke final atau hanya ke separuh akhir. Jika beliau tetapkan sasaran ke separuh akhir, beliau sepatutnya beritahu media sasaran itu berjaya dicapai. Kalau sasaran ke final, mengaku sajalah skuad negara gagal,” kata Jalani yang tidak faham dengan tindak-tanduk Nadzmi yang disifatkannya semakin mengarut.


Menurutnya lagi, selama ini juga Nadzmi sering menyalahkan pemain kerana tidak berdisiplin dan suka keluar malam di depan media tapi mengapa tidak mengatakannya terus kepada pemain.


“Jika benar BAM serius mahu mendisiplinkan pemain, mereka sepatutnya meletakkan kem komandan menjaga asrama atau menetapkan peraturan pemain tidak boleh pulang lewat ke asrama dalam tempoh tertentu,” kata Jalani berang.


Apa yang dikatakan Jalani ada benarnya kerana semalam dalam sidang media selepas Nadzmi bertemu jurulatih, presiden itu menyalahkan pemain kerana tiada keinginan untuk menang setiap perlawanan.


Jalani juga menempelak tindakan Nadzmi menyalahkan jurulatih apabila pemain mengalami kecederaan ketika berada dalam kem motivasi.

“Saya hairan mengapa Nadzmi melatah meletakkan kesalahan bulat-bulat ke atas jurulatih selepas Lydia Cheah mengalami kecederaan dalam kem motivasi.


“Adakah beliau tidak tahu program itu diuruskan Institut Sukan Negara (ISN)? Mengapa beliau tidak salahkan ISN, mungkin juga Majlis Sukan Negara (MSN),” kata Jalani yang mengakui Nadzmi dan BAM tidak akan mengaku mereka juga pernah melakukan kesilapan.


Katanya Nadzmi yang sudah tiga penggal mengepalai BAM langsung tidak membawa apa-apa perubahan, baik di segi kejayaan mahupun menyediakan program latihan lebih baik.


Malah, katanya Nadzmi sendiri tidak mengenali pemain, terutamanya pelapis dan remaja, tetapi asyik mengatakan ketandusan bakat.“Kita ada ramai bakat di peringkat remaja yang tidak putus-putus mencipta kejayaan peringkat umur di kejohanan antarabangsa. Setiap tahun, kita ada juara remaja Asia dan Dunia, mengapa dia tidak pernah mahu menonjolkan pemain dengan memberi pendedahan ini lebih awal. Dia sebenarnya tidak tahu-menahu.


“Dalam isu pemecatan Ganga juga bagi saya, beliau tidak profesional biarpun dia seorang ahli perniagaan. Memang betul beliau ada hak memecat dan melantik, tapi mengikut akta Pesuruhjaya Sukan, seseorang presiden tetap perlu merujuk kepada ahli majlis.


“Saya juga hairan mengapa dia boleh mendengar cakap- cakap yang mengatakan Ganga akan menggulingkannya sedangkan Ganga sendiri membawanya masuk ke dalam BAM,” katanya.


Bagaimanapun, persoalan utama yang kerap bermain di fikiran Jalani ialah hingga bila Nadzmi mahu memegang jawatan Presiden BAM?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: