Nabil
Kebimbangan untuk mempertahankan kemenangan yang pernah diraih enam penyanyi wanita sebelum ini terjawab apabila Nabil membawa pulang dua anugerah iaitu Naib Juara Lagu Terbaik menerusi lagu Dari Jauh ciptaan Lah Ahmad dan Nabil sendiri serta anugerah Artis Asia Paling Berpotensi 2010.Dihubungi baru-baru ini, nada gembira anak muda berusia 23 tahun ini begitu jelas kedengaran di hujung talian. Katanya, dia tidak menyangka boleh membolosi saingan sengit 31 negara lain seperti Sri Lanka, Romania, Thailand, Finland, Malta, Khazakhstan, Bulgaria, China, Kanada, Australia dan banyak lagi.
“Ketika berada di sana, saya melihat kebanyakan peserta memang hebat.
Bagaimanapun saya menanamkan sikap positif dalam diri serta enggan terlalu cepat mengaku kalah. Setiap saat di sana, saya sentiasa sematkan dalam diri, Malaysia adalah yang terbaik dan tumpuan sepenuhnya saya berikan kepada pertandingan ini.
“Saya juga tidak lupa apa yang dipelajari daripada guru vokal iaitu Adnan Abu Hassan dan Dia Fadilla. Apa yang mereka ajar, amat membantu ketika pertandingan. Alhamdulillah, sikap positif yang saya tanam di dalam diri berbaloi apabila berjaya membawa pulang dua anugerah.
“Walaupun gagal membawa sebarang pingat emas, saya tetap bersyukur. Apatah lagi kata Ong Peng Chu, markah antara peserta yang berada di tangga juara dengan kami yang berada di senarai Top 10 tidak jauh beza. Perbezaan markah kami hanya setakat 0.2 peratus, tidak sampai pun satu markah,” katanya yang meletakkan nasibnya kepada dua buah lagu iaitu Dari Jauh dan sebuah lagu Inggeris, A Song For You yang pernah dipopularkan oleh Donny Hathaway.
Lebih membanggakan anak muda ini apabila lagu ciptaannya bersama Lah Ahmad, Dari Jauh memenangi tempat kedua bagi kategori Lagu Terbaik. Lagu berkenaan dipilih daripada 32 negara yang bertanding.
Tambahnya lagi, untuk meraih kemenangan itu juga bukan mudah. Ini kerana dia turut menghadapi persaingan daripada komposer terkenal terutamanya dari Filipina yang boleh dianggap seperti M Nasir di sana iaitu Vehnee Saturno.
Namun, Nabil cukup berbangga apabila lagu ciptaannya bersama Lah Ahmad itu hanya tewas satu kedudukan di belakang seorang komposer terkemuka seperti Vehnee.
Bukan itu saja, menjadi penyanyi lelaki pertama yang mewakili negara di festival berkenaan juga cukup membanggakan Nabil. Ini kerana untuk berada di senarai Top 10 juga bukanlah mudah kerana persaingan datang dari berpuluh-puluh negara yang lain.
“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur. Tanggungjawab yang saya pikul ini cukup besar dan lebih membanggakan apabila menjadi artis lelaki yang pertama bertanding di sana. Mungkin orang melihat kemenangan saya di dalam kategori Artis Asia Paling Berpotensi mudah, tetapi sebenarnya tidak kerana seperti saya katakan, saya perlu bersaing dengan 31 buah negara lain yang mana ke semuanya hebat-hebat belaka. Seperkara lagi yang cukup membanggakan saya kerana terbukti lagu kita diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Di sana mereka sangat mementingkan vokal, sebab itu saya amat menjaga vokal sepanjang berada di sana. Saya lebih banyak duduk di dalam bilik kerana cuaca di sana sejuk, untuk mengelakkan tekak kering ,” katanya.
Nabil yang dicungkil bakatnya melalui pertandingan realiti Mentor musim pertama berkata selepas kepulangan dari Beijing, dia akan memberikan tumpuan kepada dunia muzik. Katanya, tahun ini adalah tahun untuknya memperkembangkan lagi karier muziknya yang sedikit suram sebelumnya.
Langkah pertamanya untuk kembali mewarnai dunia nyanyian ialah dengan memperkenalkan single terbarunya berjudul Halimunan. Lagu berkenaan kata artis yang bernaung di bawah Alibi Music itu, sudah pun mula diputarkan di corong radio. Katanya lagi, kemenangan di Beijing juga umpama hadiah untuk membuktikan kepada peminat yang dia masih lagi wujud dalam dunia nyanyian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: