Friday, May 14, 2010

Rehat berteater sibuk berdrama

LIMA tahun lalu, dia ingin menjadi penyanyi apabila menyertai program realiti TV popular, Akademi Fantasia 4 (AF4). Namun, sekadar berentap di Konsert Prelude, Rosliza Rosli atau Leez kecundang, tetapi itu bukan noktah pada perjalanan seninya.

MAKIN DIKENALI...teater muzikal Sri Mersing membantu menonjolkan  bakat lakonan Leez.
MAKIN DIKENALI...teater muzikal Sri Mersing membantu menonjolkan bakat lakonan Leez.

TAK FIKIR CINTA...Leez selesa solo  dan sibuk dengan karier. LEEZ...mahu beri tumpuan berlakon drama dan telefilem.


TAK FIKIR CINTA...Leez selesa solo dan sibuk dengan karier.
Nyata tuahnya bukan dalam nyanyian, tetapi langkah pertamanya di pentas lakonan membuahkan hasil. Bermula daripada watak kecil, kini Leez mampu tersenyum apabila bakatnya semakin bersinar.


Dirinya bukan saja menjadi pilihan penerbit drama malah menjayakan pementasan teater untuk dua teater muzikal yang diadakan di Istana Budaya baru-baru ini.

Bermula dengan Sri Mersing sebagai Sri Melati kemudian Teratak Minang (Siti Nurhalisa) yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya. Tidak pernah disangka Leez, percaturan dilakukannya itu tepat dalam membantu kariernya.


Leez berkata, dia sangat bersyukur dengan apa yang diperolehnya sekarang. Katanya, kalau dulu bakat lakonannya kurang dilihat penonton, kini nampaknya ada perubahan kerana tawaran diterima tak putus. Cuma, baginya tidak perlu tamak membuat keputusan.


"Selepas teater muzikal Teratak Minang selesai, saya terima pula tawaran menjayakan Kita- The Musical. Bagaimanapun, saya terpaksa menolak kerana mahu memberikan tumpuan kepada berlakon drama dan telefilem. Sudah empat bulan saya tak ke lokasi.


"Jadi, sudah masanya saya mahu aktif berlakon semula kerana sepanjang terbabit dengan teater banyak juga tawaran ditolak. Bukan watak biasa atau pembantu, tetapi peranan utama. Oleh itu, sekarang biarlah saya berehat untuk teater dan sibuk dengan drama.


"Alhamdulillah, kini saya terbabit dalam penggambaran telefilem Poyo untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM). Sudah lama tak turun ke lokasi, memang teruja dan seronok. Ini kerana, jadual kerja saya kembali ketat dan pengurusan masa tidak menentu.


"Apapun, saya selesa kerana memang minat menjadi pelakon. Cuma, jika berlakon teater kehidupan lebih teratur. Jadualnya, pergi latihan dan selepas itu balik ke rumah untuk berehat. Berlakon drama pula, jadual penggambaran tak tetap," katanya.


Berusia 23 tahun, Leez juga mengakui turut aktif menyanyi. Katanya, undangan persembahan masih diterima, namun dia tak terfikir untuk serius. Ujar Leez, sekarang dia mahu menumpukan sepenuhnya pada lakonan kerana itu lebih sesuai untuk masa depan.

"Dalam soal ini, biarlah saya fokus pada satu karier dulu hingga berjaya. Ini kerana, saya tidak mahu yang dikejar tak dapat, dikendong berciciran. Nanti, siapa yang rugi kalau bukan diri sendiri. Lagipun, rezeki berlakon masih banyak sekarang.


"Peluang yang ada ini tidak boleh saya sia-siakan. Bagi saya, ini masa membuktikan bakat dan kemampuan diri. Saya mahu menjadi artis yang berjaya. Oleh itu, untuk memperolehnya saya perlu giat berusaha serta jangan sesekali lepaskan peluang yang ada.


"Termasuk percintaan. Cukuplah kegagalan cinta lalu dan sekarang tak terlintas pun di hati dan fikiran saya untuk berkasih lagi. Saya tidak serik, tetapi sekadar belajar daripada kesilapan supaya mana yang kurang diperbaiki," katanya.


Mengakui hatinya tidak dihuni sesiapa dan kosong, ujar Leez, sekarang dia sangat berhati-hati untuk bercinta selepas kegagalan cintanya dengan Zizan Raja Lawak. Katanya, apa yang berlaku dulu sudah membuka matanya untuk memilih calon sesuai yang boleh menjaga dan memberi perlindungan diperlukan."Tak perlulah saya mengungkit kisah lama, tetapi cukup sekadar memaklumkan diri ini tidak lagi memikirkan soal cinta. Buat masa ini, perasaan cinta saya tolak ke tepi kerana mahu berjaya dalam karier. Bagi saya, cinta masih terlalu jauh.


"Saya masih muda dan buat apa hendak mengejar cinta. Biarlah, soal jodoh ini ditentukan Tuhan. Kalau ada jodoh, pasti tak ke mana. Sebagai manusia biasa, penting dalam diri saya sekarang untuk maju dalam karier dan cita-cita," katanya.


Menurut Leez, seawal pembabitannya sebagai anak seni, dia sekadar suam-suam kuku saja. Bukan tidak dikenali, tetapi bakatnya kurang dipandang. Namun, sekarang Leez yakin dia mampu berdiri di atas namanya sendiri asalkan terus gigih berusaha.


"Pembabitan saya dalam teater Sri Mersing dan Teratak Minang memang langkah yang tepat. Sekarang, saya semakin bersedia untuk berlakon. Diharapkan penonton menerima lakonan saya," katanya mengakui belum mendapat tawaran berlakon filem.

>PROFIL
NAMA: Rosliza Rosli
PANGGILAN KOMERSIAL: Leez
TARIKH LAHIR: 12 November 1987
USIA: 23 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon dan penyanyi
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
DRAMA: Sudah membintangi puluhan drama, antaranya Sembilu Kasih, Di Bawah Ketiak Isteri, Setulus Kasih, Wasiat Anak Dara, Aku Untukmu dan Cubit-Cubit Sayang
TEATER: Sri Mersing dan Teratak Minang
MINAT: Main boling dan karaoke
HOBI: Memandu kereta bersendirian

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: