Friday, May 14, 2010

Tuah imej 'orang kampung'

Mas Idayu, Shaq muncul dalam pertarungan kumpulan A konsert Mentor

PERTARUNGAN kumpulan A, program realiti Mentor, Ahad lalu menyaksikan permulaan yang baik buat Mas Idayu dan protegenya Shaq apabila mereka muncul juara dengan jumlah markah sebanyak 42 peratus.Imej ‘orang kampung’ dan keadaan kesihatan Shaq yang tidak mengizinkan mungkin amat pantas mengundang simpati penonton untuk mengundi. Bagaimanapun Shaq membuktikan walaupun masih baru, dia sudah mempunyai peminat tersendiri yang membanjiri Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Berada di tangga pertama bagaimanapun masih belum membolehkan mentornya Mas Idayu menghela nafas lega. Walaupun sudah membuktikan berjaya melahirkan seorang juara tahun lalu iaitu Black, Mas Idayu berkata dia masih perlu bekerja keras untuk Shaq.

Keadaan kesihatan anak didiknya yang masih belum pulih adalah perkara yang paling merisaukannya. Oleh kerana tidak mampu mengikut saranan doktor yang menyarankan Shaq berehat antara enam hingga 12 minggu, Mas Idayu memastikan Shaq diberikan pengawasan yang rapi.

Bukan saja berkorban masa mencurahkan ilmu untuk Shaq, Mas Idayu turut menjaga Shaq seperti anaknya sendiri apabila memastikan Shaq mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya. Malah Mas Idayu juga memasak sendiri untuk Shaq kerana protegenya masih belum boleh mengunyah makanan yang keras.

“Saya tak boleh berasa selesa dengan apa yang kami dapat malam ini. Walaupun Shaq ada kedudukan pada minggu ini kami masih perlu bekerja keras. Ini kerana keadaan kesihatannya masih lagi tak mengizinkan, kalau ikutkan saya memang terganggu dengan keadaan kesihatannya kerana masalah ini timbul di awal pertandingan.
“Waktu saya ambil Shaq dulu, keadaan kesihatannya baik tetapi apabila bersama dengan saya, jadi begini pula. Manalah saya tidak sedih, saya bertambah sedih apabila dia berjaya membawakan lagu Teratai dengan baik walaupun dalam keadaannya yang begitu. Dia sepatutnya tak boleh menyanyi tetapi dia berjaya membuatkan saya bangga.

“Ketika di pentas lagi saya beritahu dia, markah kita minggu ini mesti paling rendah kerana saya tahu keadaan anak saya. Alhamdulillah segala telahan saya itu salah, saya berharap Shaq dapat bertahan lama supaya dia boleh menunjukkan vokalnya yang sebenar. Shaq memiliki nada suara yang lain dari lain dan saya percaya dia boleh membawakan lebih warna kepada dunia nyanyian tempatan,” kata Mas Idayu.

Pada konsert pertama kumpulan A yang diadili dua juri profesional Zainal Abidin dan Helen Yap, setiap protege dikehendaki mendendangkan sebuah lagu secara solo dan juga duet bersama mentor masing-masing. Format pemarkahan melalui tiga bahagian iaitu 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus lagi juri awam.

Shaq yang turut mendendangkan lagu Madu dan Cinta Sabun Mandi hanya mengutip sebanyak 13 markah dari juri awam. Sementara itu, berada di tangga kedua ialah Joe Flizzow dan protegenya Ila. Walaupun berjaya mencuri hati juri awam yang memberikannya sebanyak 20 markah, Ila bagaimanapun tewas kepada Shaq apabila hanya berjaya mengumpul sebanyak 33 markah keseluruhan. Manakala di tempat ketiga ialah Azmeer dan anak didiknya Nani yang mengumpul sebanyak 25 markah.

Joe pula yang ditemui sebaik selesai program yang disiarkan secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9 malam pula reda berada di tempat kedua. Katanya, mungkin strategi menyanyikan lagu Killing Me Softly silap. Justeru dia akan berusaha memilih lagu yang bersesuaian pada konsert akan datang.

“Saya mengakui tersilap taktik apabila memilih lagu Killing Me Softly, tetapi saya amat berbangga dengan Ila kerana dia pandai mengawal keadaan. Ketika membuat persembahan secara solo, Ila ada membuat kesilapan tetapi dia meneruskan juga persembahannya dan berjaya menyorokkan kesilapan itu.

“Pada persembahan yang kedua, saya tengok Ila lebih relaks. Mungkin selepas ini saya akan cuba genre yang berbeza pula untuk Ila, biasalah saya paling muda dan tidak pernah terbabit dalam program seperti ini. Saya harap dapat memperbaiki lagi kekurangan kami dan berharap peminat dapat menerima penampilan kami,” katanya.

Jika Joe merancang untuk mengubah strategi, komposer dan juga mentor Azmeer juga mempunyai usaha serupa. Kelonggaran diberikan kepada protegenya kerana kesibukannya sebagai pelajar nampaknya tidak menjadi.

Katanya, kebebasan yang diberikan kepada protegenya dek kesibukan Azmeer sendiri yang masih menuntut di Universiti Sains Malaysia ternyata tidak menjadi. Nampaknya selepas ini kata Azmeer, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada Nani.

Nani yang mendendangkan lagu secara solo Gemilang, Srikandi Cintaku, Madah Berhelah, Kekasih Awal dan Akhir, Gerimis Mengundang dan berduet bersama mentornya menerusi lagu Kamelia, masih mempunyai masalah kawalan nada.

“Mujur Mentor mengetengahkan perlawanan secara liga. Ini bermakna kami masih mempunyai dua peluang lagi untuk memperbaiki kesilapan. Pada konsert pertama ini saya lihat Nani melakukan kesilapan dari segi pitching, tersilap satu dua nada. Saya akui ia kesilapan saya kerana tidak memberikan latihan intensif kerana saya sendiri terikat dengan peperiksaan.

“Sebelum ini saya memberi kelonggaran kepada Nani untuk beri idea tetapi disebabkan idea itu tidak berjaya, selepas ini saya akan memberikan kawalan yang lebih kepada Nani,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: