"SUNGGUH tidak percaya Malaysia mempunyai barisan pelapis yang berbakat dan handal yang mampu digilap dan diketengahkan di persada antarabangsa."
Itulah ulasan dan pujian yang diberikan oleh bekas penjaga gol Manchester United dan Denmark, Peter Schemeichel yang menjadi duta Tiger pada majlis program realiti TV, Tiger Futbol Starz.
Menurut Schemeichel, sepanjang beliau di Malaysia dan mengikuti kempen tersebut mendapati terdapat empat atau lima pemain mempunyai tahap permainan yang menarik dan bakal menjadi nadi penting dalam kemajuan bola sepak negara.
Pengarah Urusan Kraft Malaysia dan Singapura, Dieter Schulz, menjelaskan pemilihan Schemeichel itu bertepatan dengan pengaruhnya yang luas dalam bola sepak. Pengalaman itu mampu dijadikan inspirasi kepada pemain muda negara ini.
"Peter adalah antara 10 penjaga gol terbaik yang pernah dilahirkan dalam sejarah bola sepak pada kurun ke-20. Malah, ketangkasannya menjaga gawang membolehkannya mendapat jolokan The Great Dane sehingga tersenarai antara 125 pemain bola sepak terhebat dunia oleh Persekutuan bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Inspirasi hebat
"Beliau merupakan model yang terbaik di kalangan para pemuda hari ini. Kami menggalakkan kanak-kanak terutama di negara ini untuk mengikuti jejaknya dalam menunjukkan semangat berpasukan dan keadilan dalam sukan," kata Schulz.
Schulz menjelaskan sukan bola sepak adalah sukan yang paling digemari oleh masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia. Program seperti itu adalah platform kepada kanak-kanak dalam merealisasikan impian mereka.
Tambah Schulz, program tersebut secara tidak langsung membantu penjanaan program pembangunan bola sepak Malaysia dalam melahirkan lebih ramai barisan pemain muda yang bermutu dan berkaliber.
Tiger Futbol Starz adalah program realiti yang menghimpunkan barisan kanak-kanak yang berumur di antara 7 hingga 12 tahun yang kini disiarkan di saluran 104 Astro Ria.
|
|
Sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biar daripada rebungnya, program itu tertumpu pada usaha melengkapkan kanak-kanak dengan asas yang kukuh dalam kemahiran bola sepak. mereka juga dididik dengan semangat kerjasama di antara ahli pasukan dan membentuk sikap kepimpinan dalam sesebuah pasukan bola sepak.
Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, Muhammad Yaqqinuddin Bahanordin, 13, ialah antara peserta program itu yang menyifatkan ia peluang keemasan untuk meningkatkan lagi kemahirannya dalam bola sepak.
"Bukan senang mahu menimba ilmu dengan jurulatih yang kesemuanya merupakan bekas pemain kebangsaan. Pengalaman mereka mengenai bola sepak adalah luas. Sumbangan mereka dalam kancah bola sepak negara memang terbukti.
"Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memantapkan lagi teknik hantaran bola sama ada melalui tendangan terus dan menyilang. Hantaran yang kemas dan mengelirukan pihak lawan boleh membuka peluang kepada rakan-rakan untuk menjaringkan gol," kata pelajar Sekolah Sukan Negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa, Kuala Lumpur ini.
Yaqqinuddin yang bermain di posisi sayap kiri amat meminati kelab Manchester United di samping menjadikan David Beckham sebagai idolanya.
Tambahnya, pemain itu mempunyai karisma yang tinggi dan sering mencipta peluang kepada rakan-rakan sepasukan menjaringkan gol. Ditambah pula dengan sepakan percumanya yang dilihat antara paling digeruni pihak lawan.
Skil penyerang
Bagi Muhammad Ilham Hakimi Zaidi, 13, Tiger Futbol Starz adalah kesempatan buatnya merealisasikan impiannya untuk menjadi penyerang yang disegani satu hari nanti seperti Fernando Torres.
"Peluang sebegini tidak hadir selalu dalam hidup. Kesempatan dalam program ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh saya dalam meningkatkan lagi tahap kecergasan dan kecerdasan. Itu adalah elemen penting buat seseorang di posisi penyerang.
"Dengan mempunyai kelebihan itu, kita akan bijak mencari kelemahan pihak lawan. Ditambah lagi dengan keinginan yang tinggi untuk menang, semangat itu mampu memberikan tekanan kepada pihak lawan.
"Penyerang yang berjaya hendaklah licik membawa dan mengawal bola bagi menembusi benteng pertahanan lawan. Walau bagaimanapun, sokongan dan kerjasama daripada ahli pasukan amat perlu kerana kemahiran perseorangan tidak semestinya dapat memenangi perlawanan," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh itu.
Berbeza dengan kembarnya, Muhammad Imran Halimi Hakimi Zaidi, 13, program realiti itu memberikannya gambaran yang lebih jelas terutama posisinya di bahagian tengah.
"Kebiasannya pemain tengah ini adalah playmaker. Mereka menjadi tunjang utama dalam mengatur serangan. Lihat saja kehebatan Cesc Febregas, Steven Gerrad dan Zinedine Zidane yang bijak mengawal bola terutama di kawasan tengah. Jadi mereka lebih banyak mempengaruhi sesuatu keputusan perlawanan.
"Daya kreativiti, kawalan bola yang mengagumkan di samping pemerhatian yang tinggi terhadap kelemahan pihak lawan amat dititik beratkan dalam posisi ini. Ini kerana posisi itu bertindak membantu barisan serangan dan pertahanan," katanya yang amat meminati gaya permainan Xavi Hernadez dan pasukan Liverpool.
Ilmu berguna
Schemeichel yang begitu teruja dengan peranannya sebagai duta Tiger menjelaskan aktiviti seperti bola sepak boleh memupuk nilai-nilai penting selain kerja berpasukan iaitu keyakinan, disiplin, rasa hormat dan ketabahan kepada kanak-kanak tersebut.
Dalam masa yang sama, golongan itu juga akan terdedah dengan konsep menang dan kalah serta memahami terdapat detik-detik yang berlainan dalam kehidupan kita terutama bagi atlet sukan.
"Tidak semestinya kita akan sentiasa berada di puncak kegemilangan. Namun, aktiviti bersukan adalah contoh dalam memupuk nilai-nilai murni dalam diri seseorangt," ujar pemain yang pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara ini.
Dalam mencari bakat yang terpendam itu, pemilihan telah dilakukan di beberapa lokasi di bandar-bandar utama seluruh negara sejak tahun lepas.
Lokasi yang terpilih ialah Padang Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur (31 Oktober), Padang Merdeka Perbandaran Berjaya, Kota Kinabalu, Sabah (7 November), dan Dataran Merdeka Kuching, Sarawak (14 November).
Turut disenarai sebagai lokasi adalah Padang Kolej Sultan Abdul Hamid Alor Setar, Kedah (21 November), Padang Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang (22 November) dan Dataran Johor Bahru, Johor (28 November).
Seramai 21 pemain yang berbakat akan dipilih melalui proses saringan yang dikendalikan oleh tiga orang jurulatih yang juga bekas pemain kebangsaan iaitu Leong Hong Seng, K. Sambagamaran dan Azlan Johari.
Mereka akan menerima latihan intensif di Majlis Sukan Negara selama dua minggu yang meliputi kemahiran menggelecek, hantaran bola, sepakan penalti, tendangan sudut dan latihan stamina serta perancangan strategi permainan.
Sepanjang latihan itu, tiga pemain yang terbaik akan dipilih dan bakal diberikan peluang mengasah potensi mereka serta dimasukkan ke sekolah sukan berprestij negara iaitu Sekolah Sukan Bandar Penawar di samping menerima habuan sebanyak RM10,000 seorang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: