Tuesday, May 18, 2010

Rentak Aq'grabin


AQ'GRABIN banyak menjayakan persembahan tarian dalam majlis-majlis tertentu di universiti.


IMPIAN Ahmad Aq'grabin Ahmad Gunter, 20, adalah untuk bekerja di awan biru. Baginya kerjaya itu sangat mencabar dan dapat memupuk sifat kepimpinan dalam diri.

Namun begitu, impiannya itu musnah apabila dia gagal melayakkan diri ke peringkat ketiga temuduga pengambilan pelatih juruterbang di sebuah syarikat penerbangan tempatan pada tahun 2008.

"Lepas sahaja tamat kolej matrikulasi di Melaka, saya terus memohon untuk menjadi pelatih juruterbang. Mungkin disebabkan tidak cukup persediaan, saya gagal melayakkan diri ke peringkat akhir pemilihan," kata Aq'grabin yang berasal dari Wangsa Melawati, Kuala Lumpur itu.

Aq'grabin yang kini mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa di Universiti Putra Malaysia (UPM), bagaimanapun tidak berputus asa untuk mencuba menjadi pelatih juruterbang jika ada pengambilan baru pada masa akan datang.

"Saya terima belajar bidang aeroangkasa kerana ia juga menerapkan mengenai ilmu penerbangan. Malah, bidang itu memberi kelebihan apabila saya juga diajar mengenai selok-belok penerbangan yang selama ini tidak saya ketahui," katanya sebelum menjawab lima soalan yang diajukan GenK.

GenK: Apakah yang anda tahu tentang tugas seorang juruterbang?

AHMAD AQ'GRABIN: Kerjaya juruterbang menuntut seseorang itu berdepan dengan cabaran teknikal dan seseorang itu perlu berkemahiran penuh untuk meluncurkan pesawat di paras tinggi. Memandu kapal terbang memerlukan pengetahuan pengendalian yang amat berbeza daripada segala aspek pengendalian kenderaan di darat. Semua itu dapat dipelajari melalui latihan khas di pusat-pusat atau sekolah-sekolah latihan penerbangan sama ada di dalam atau luar negara.

Apakah perbezaan antara kejuruteraan aeroangkasa dengan bidang penerbangan?

Walaupun kedua-duanya melibatkan pemahaman hal-hal teknikal yang tinggi, bidang penerbangan lebih tertumpu kepada konsep dan perkhidmatan pengangkutan udara termasuk aspek-aspek kendalian dan keselamatan.

Kejuruteraan aeroangkasa pula lebih menjurus kepada mekanisme di sebalik konsep penerbangan itu sendiri. Ini melibatkan rekaan enjin pesawat, penyelenggaraan pesawat dan reka bentuk pesawat.


BAGI Aq'grabin, tarian membantu daya tumpu, meningkatkan stamina dan membina keyakinan diri.


Adakah sukar untuk melayakkan diri sebagai pelatih juruterbang?

Kerjaya ini sekarang terbuka luas berikutan perkembangan pesat industri penerbangan.

Terdapat banyak syarikat penerbangan sama ada di dalam mahupun luar negara yang menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang ini.

Dari segi pendapatan, kerjaya ini menjanjikan gaji yang cukup lumayan serta ditambah dengan pelbagai insentif lain, setimpal dengan tugasnya yang cukup mencabar dan berisiko. Namun begitu, pemilihan adalah ketat dan sukar. Hanya yang benar-banar layak akan dipilih.

Selain menjadi juruterbang, apakah minat lain anda?

Saya juga minat menari. Minat menari muncul selepas saya dipaksa menyertai pertandingan menari yang dianjurkan oleh kolej matrikulasi. Kebetulan peserta tidak cukup dan guru mencadangkan saya.

Walaupun keberatan pada mulanya, tetapi selepas menang tempat kedua dalam pertandingan antara kolej-kolej matrikulasi dalam tahun 2007, minat saya terus bercambah. Di UPM juga saya menyertai banyak pertandingan menari dan mengadakan persembahan tarian jika ada majlis atau festival yang dianjurkan.

Apakah manfaat bagi mereka yang menceburkan diri dalam tarian?

Ada sesetengah individu menganggap minat ke arah bidang tarian ini tidak ada yang menariknya lantaran setakat perlu menggoyang dan melenggokkan badan.

Tetapi bagi saya, tujuan saya menceburi bidang ini bukan semata-mata minat tetapi lebih kepada meningkatkan stamina. Selain menguji tumpuan dan melatih kecekapan mengikuti rentak, menari juga boleh menyihatkan badan dan membina keyakinan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: