SETELAH bergelut enam jam dengan pembelajaran di salah sebuah sekolah rendah di Korea Selatan, Ho You Jin, 8, pulang menuju ke rumahnya tetapi bukan untuk berehat.
Sejurus tiba di kediamannya, pelajar tersebut meluangkan masa lebih kurang lima hingga enam jam lagi untuk menelaah buku teks sekolah harian awam dan juga dari sekolah swasta atau hagwon.
"Situasi ini amat memenatkan kerana bukan sahaja perlu menghabiskan kerja rumah sekolah awam, malah banyak masa digunakan untuk mengikuti silibus hagwon," katanya.
Jadual harian pelajar itu adalah satu perkara biasa di negara tersebut yang disamakan dengan sistem pendidikan yang terlampau. Semua itu didesak faktor persaingan tinggi dalam peperiksaan kemasukan universiti.
Bahkan, Institut Bahasa Asing di Seoul pernah menyatakan bahawa demam pendidikan menjadi satu gejala baru dalam sistem sosial dan ekonomi Korea Selatan.
Gejala baru ini telah memberikan kesan sehingga menyebabkan bebanan hutang yang tinggi di kalangan ibu bapa seterusnya menambahkan tekanan kepada generasi muda.
Menurut data yang dikeluarkan kerajaan, seramai 50 juta ibu bapa menyumbang hampir 21.6 trilion won (RM60.8 juta) untuk pendidikan persendirian ini walaupun dalam situasi keadaan ekonomi yang merosot.
Bank Negara Korea Selatan mendakwa perbelanjaan isi rumah yang tinggi itu telah menghalang usaha kepada peningkatan pendapatan isi rumah seterusnya perkembangan ekonomi negara tersebut.
Perdana Menteri, Lee Myung-Bak menjelaskan kerajaan telah melancarkan kempen untuk mengawal operasi pendidikan swasta itu. Namun, terdapat sesetengah golongan guru dan ibu bapa yang mempersoalkan tentang langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Menurut ibu You Jin, Woo Soo-Young, kandungan atau corak pembelajaran yang diajar di sekolah awam sekarang terlalu mudah dan dianggap tidak lagi efektif kepada kanak-kanak. Situasi sebegini tidak memberi manfaat dalam meningkatkan kreativiti mereka.
"Mustahil bagi mereka untuk mendapat keputusan yang tinggi sekiranya berhadapan dengan ujian peperiksaan yang sukar," kata Woo.
Pandangan tersebut turut diakui You Jin sendiri dengan menyatakan bahawa tiada sebarang ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam pendidikan sekolah awam.
Sementara itu, Myung-Bak menegaskan tindakan pembaharuan yang dilaksanakannya itu adalah untuk menjelaskan bahawa para pelajar masih mampu ke institut pengajian tinggi tanpa pendidikan persendirian.
"Saya berasa bimbang terhadap masa depan Korea Selatan sekiranya tiada sebarang usaha pemulihan dalam sistem pendidikan ini," jelasnya yang mengetuai sebuah mesyuarat dalam meningkatkan mutu pendidikan awam.
Reformasi pendidikan
|
|
Tambah Myung-Bak, satu reformasi harus dilakukan bersesuaian dengan persekitaran abad ke-21 seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara itu.
Dalam memastikan kejayaan tersebut, satu corak sistem penyiaran pendidikan (EBS) telah diwujudkan dengan menawarkan pendidikan percuma melalui saluran televisyen dan Internet. Tindakan itu telah menyebabkan aktiviti muat turun EBS meningkat dua kali ganda selepas diumumkan.
"Kami akan meningkatkan lagi kualiti pembelajaran di ruang itu agar kelihatan lebih efektif bagi menarik lebih ramai pelajar," kata pengawai perkhidmatan rancangan tersebut.
Sejajar dengan kejayaan tersebut, Kementerian Pendidikan Korea Selatan menyatakan akan mengambil hampir 70 peratus dari kandungan siaran itu untuk soalan ujian kelayakan memasuki institut pengajian tinggi.
"Melalui EBS, kami sedaya upaya mahu mengurangkan pergantungan terhadap pendidikan swasta di kalangan ibu bapa," kata Menteri Pendidikannya, Ahn Byong-Man.
Sehubungan itu, kerajaan telah mengarahkan semua pendidikan hagwon harus ditutup pada pukul 10 malam. Bagi meningkatkan keberkesanan arahan tersebut, ganjaran juga diberikan kepada sesiapa yang melaporkan kedegilan pengusaha dalam menurutinya.
Selain itu, Pejabat Pendidikan Seoul menyatakan bahawa sebanyak 2,600 atau sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan hagwon di bandar itu telah ditutup akibat keingkaran mereka dan juga kerana kelembapan ekonomi.
Namun demikian, hasil penyelidikan yang dilakukan oleh pihak kerajaan tempatan mendapati bahawa pada bulan lepas, setiap keluarga di Seoul masih membelanjakan purata 580,000 won (RM1,632) sebulan untuk pendidikan swasta. Perbelanjaan itu adalah hampir 16 peratus daripada pendapatan mereka
Pakar berpendapat, persepsi masyarakat tentang trend memasuki universiti terkenal adalah penentu kejayaan hidup perlu diubah.
"Pemikiran sebegini harus dikikis terutama di kalangan golongan ibu bapa yang menganggap dengan menghantar anak mereka ke hagwon lebih baik dan selamat daripada ke sekolah awam," kata jurucakap Persatuan Persekutuan Guru-guru Korea, Kim Dong-Seok.
Selain hagwon, kebanyakan keluarga di negara ini menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan universiti luar negara. Tindakan itu bertujuan memberikan mereka satu permulaan yang lebih cerah untuk masa depan. Lazimnya, mereka akan ditemani ibu mereka.
Malah, ada bapa yang dilabelkan sebagai 'bapa angsa liar' (merujuk kepada fitrah burung yang berhijrah mengikut musim) kerana sanggup berulang- alik dari Korea ke luar negara bagi melihat perkembangan keluarganya.
Sementara itu, terdapat beberapa guru yang meragukan keadaan ini antaranya Jurucakap Kesatuan Guru dan Pendidikan Pekerja Korea Selatan, Um Min-Young menyatakan para pelajar seharusnya perlu fokus pada kurikulum sekolah dan menggunakan EBS sebagai wadah tambahan pendidikan mereka.
"Sikap ketidakpuasan terhadap pendidikan negara terutama di sekolah awam oleh segelintir masyarakat menjadi penyebab pendidikan swasta masih wujud.
"Dengan itu, kita seharusnya meningkatkan lagi kualiti pembelajaran di samping mengambil kira perbezaan peringkat setiap kelas berdasarkan kemampuan para pelajar," jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: