Saturday, May 8, 2010

Mahu bertemu Brad Pitt




UKURAN populariti aktres Hong Kong, Charmaine Sheh Sze Man boleh dilakukan apabila figura itu menghadiri satu sidang media untuk memperkenalkan dirinya sebagai duta baru kepada produk kecantikan, Skinnz Infinite di ibu kota baru-baru ini.

Selain lautan media yang hadir, sidang media tersebut hanya berlangsung selama lima minit. Bagi industri drama Hong Kong, Charmaine merupakan antara aset utama kepada stesen TV, TVB.

Menjadi antara pelakon TV termahal Hong Kong, nilai beritanya juga lebih hangat dan menjadi rebutan ramai. Maka, apabila diberikan peluang untuk menemu bual aktres itu sebelum dia bergegas untuk bertemu dengan peminatnya, masa digunakan dengan sebaiknya.

Bekas ratu cantik Hong Kong pada tahun 1997 itu tidak pernah membayangkan dirinya akan berada di posisinya sekarang. Lemah lembut, pelakon berusia 34 tahun itu memulakan bicara.

“Saat saya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga pertandingan itu, saya sudah tahu hidup saya akan berubah. Jurang saya antara keluarga, kehidupan peribadi saya serta perjalanan karier saya berubah sekelip mata.”

Mencuba produk Skinz Infinite sebelum bersetuju menjadi jurucakapnya, Charmaine juga pernah melalui fasa dikritik apabila dia dikatakan terlalu kaku dalam lakonan. Hanya selepas drama Return of the Cuckoo (2000), kredibiliti pelakon itu terbukti.


CHARMAINE menolak untuk berlakon menjadi tua dalam filem kerana bimbang solekan tersebut akan melekat di wajahnya.


Kelihatan muda dengan rambut pendek, Charmaine turut popular dengan lakonannya dalam drama seperti Perish in the Name of Love, Angels of Mission, War and Beauty, The Drive of Life, Maidens' Vow dan Beyond the Realm of Conscience.

Meminati kereta Mercedes-Benz SLR serta mahu bertemu dengan Brad Pitt, Charmaine berkongsi sedikit pengalaman hidup serta kariernya.

Selalu menjayakan watak sebagai wanita cantik, pernahkah anda terfikir untuk memegang watak hodoh?

CHARMAINE: Semuanya kena bergantung kepada skrip. Jangan sampai sengaja memburukkan wajah tanpa sebab. Saya tidak kisah jika anda menyuruh saya untuk memakai sut menggemukkan badan. Tapi jika anda suruh saya menjadi orang tua, saya akan menolak.

Bayangkan saya pernah disolek menjadi tua untuk satu babak drama dan kedutan itu tidak hilang selama enam jam. Bagaimana kalau saya perlu memegang watak orang tua untuk sebuah filem? Saya tidak berani kerana saya takut kedutan itu akan kekal selama-lamanya.

Filem terbaru anda, 72 Tenants of Prosperity diminati ramai. Adakah anda akan terlibat dalam lebih banyak filem selepas ini?

Memang saya selalu mahu berlakon dalam filem tetapi jadual untuk produksi drama TVB amat padat. Seperti filem 72 Tenants, saya menikmati prosesnya kerana menjayakan watak komedi yang jarang disaksikan penonton.


CHARMAINE bercuti sepanjang Mei ini untuk menghabiskan masa bersama ibunya.


Anda lebih menyukai produksi filem atau drama?

Filem dan drama adalah berbeza. Penghasilan filem memerlukan persediaan lebih mendalam. Manakala pembikinan drama pula selalunya dijalankan dalam studio. Namun, karier di TV yang membantu melonjakkan nama saya. Industri perfileman pula agak mahal di Hong Kong. Jadi tidak ramai penaja yang mahukan pelakon drama untuk terlibat dalam filem mereka. Tunggulah jika saya berpeluang nanti.

Melihat jadual kerja anda yang padat, bagaimana anda berdepan dengan tekanan kerja?

Sejak berkecimpung dalam dunia hiburan 12 tahun lalu, saya bekerja 16 jam sehari tanpa henti. Nasib baik saya tahu cara untuk merehatkan badan serta minda saya.

Mendengar muzik, melakukan spa serta banyak senyum merupakan cara terbaik untuk melepaskan tekanan. Saya juga seorang yang senang berpuas hati. Saya bukannya seperti pelakon lain yang mahukan anugerah setiap tahun. Ia satu tekanan yang tidak berbaloi.

Sibuk dengan karier, bagaimana anda meluangkan masa dengan keluarga anda?

Sepanjang bulan Mei ini, saya akan mengambil cuti selama sebulan untuk menemani ibu saya bercuti. Ia akan menjadi percutian sempena Hari Ibu. Buat masa ini, kami belum memikirkan destinasi perlancongannya tetapi hanya di negara-negara Asia kerana ibu saya tidak suka berada di dalam kapal terbang untuk jangka masa panjang. Kawan-kawan saya pula selalu menyesuaikan masa lapang saya untuk keluar bersama.


SELAIN terkenal sebagai pelakon, wajah cantik Charmaine sering menjadi rebutan pelbagai produk.


Adakah anda merasakan diri anda sudah cukup popular?

Kalau di India, mungkin mereka tidak mengenali siapa saya. Sebenarnya ia bergantung kepada betapa popular anda inginkan. Tapi pada saya, apa yang utama adalah kegembiraan. Memiliki karier, keluarga dan kawan lebih penting daripada populariti. Apa gunanya anda popular tetapi tidak mengecapi kegembiraan?

Karier sebagai pelakon memerlukan anda mengorbankan ruang peribadi anda. Bagaimana anda menangani tekanan laporan media yang negatif?

Pada permulaannya, saya selalu bersedih selepas membaca laporan buruk mengenai saya. Namun, selepas tiga tahun, saya sudah belajar cara untuk berdepan dengan semua itu. Hakikatnya, saya tidak boleh menahan mereka daripada menulis. Apa yang boleh saya lakukan adalah mengawal emosi saya. Jika laporan itu tidak terlalu melampau, saya akan biarkan sahaja.

Baru-baru ini anda dilihat meraikan hari jadi Moses Chan. Adakah anda sedang bercinta dengannya?

Saya sendiri berharap untuk memiliki teman lelaki. Pekerjaan saya telah membataskan masa saya. Percintaan memerlukan ruang untuk berkembang serta saling mengenali. Selalu dalam jangka masa itu, banyak laporan akan ditulis sehingga mewujudkan perasaan tidak selesa. Jadi sebagai seorang artis, adalah sukar bagi kami untuk mengekalkan sesebuah perhubungan.

Memandangkan anda mempunyai begitu ramai peminat, pernahkah anda bertemu dengan peminat yang 'gila'?

Ramai yang bertindak di luar jangkaan sebenarnya. Ada yang menaiki tren dari Mongolia untuk berjumpa dengan saya. Ada yang menggubah lirik lagu khas untuk saya. Mereka suka buat saya menangis kerana terharu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: