Saturday, May 8, 2010

PIBG rayu baiki segera kerosakan


SATU daripada bilik darjah yang mengalami kerosakan bumbung akibat dilanda ribut ketika tinjauan di SK St. Gabriel, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran diminta segera menyalurkan peruntukan bagi membaiki bumbung bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Gabriel, Jalan Kampung Pandan di sini yang rosak sejak dua bulan lalu akibat dilanda ribut.

Kerosakan bumbung tersebut menyebabkan murid-murid dari lima bilik darjah terpaksa dipindahkan ke surau, makmal sains dan dewan sekolah untuk belajar.

Selain itu, bumbung di blok bersebelahan yang dijadikan kelas pemulihan turut diterbangkan angin.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Samshor Baharin Shahmin berkata, keadaan bangunan sekolah tanpa bumbung itu terbiar sejak 1 Mac lalu dan tiada kerja-kerja baik pulih dijalankan kerana ketiadaan peruntukan.

"Saya diberitahu oleh Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) bahawa hanya pihak Kementerian Pelajaran yang boleh meluluskan peruntukan tersebut.

"Justeru, saya berharap sangat kepada kementerian agar mempercepatkan proses baik pulih bumbung demi keselesaan murid dan guru," katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: