
MENGANJURKAN konsert pada malam Sabtu lalu mungkin bukan satu pilihan tepat buat kumpulan dari Indonesia, Ungu. Bukannya mereka tidak layak untuk beraksi di sini tetapi pada masa yang sama, dua lagi konsert skala besar dijalankan di ibu kota.
Seperti yang sedia maklum, Konsert Double Trouble yang menyaksikan gabungan Search dan Wings berjaya menarik lebih 18,000 hadirin. Sementara, persembahan kumpulan dari Jerman, Tokio Hotel di One Utama pula memukau lebih 2,000 peminat.
Jadi apabila dua persembahan itu sudah memecahkan jumlah audiens, tidak hairan jika Konsert Mega Ungu Malaysia 2010 yang pertama kalinya berlangsung di Malaysia hanya mencatat sekitar 2,000 penonton. Namun, 'kekurangan' sokongan dari bawah pentas itu tidak mematahkan semangat penghiburnya.
Terdiri daripada vokalis Pasha, pemain bass, Makki, pemain gitar, Onci dan Eda serta pemain dram, Rowman, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1996 itu muncul di atas pentas sekitar pukul 9 malam. Memilih stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai lokasi, lagu Bayang Semu dialunkan sebagai pembukaan.
![]() |
| VOKALIS Ungu, Pasha, bijak berkomunikasi dengan peminat. |
"Apa khabar semua? Diharap anda semua baik sahaja. Saya dapat melihat lebih ramai wanita yang hadir malam ini. Pastikan anda semua berhibur malam ini kerana Ungu akan memberikan satu persembahan luar biasa kepada anda," kata Pasha.
Menghadiahkan senarai lagu seperti Ciuman Pertama, Kekasih Gelap, Seperti Yang Dulu, Dilema Cinta dan Berikan Aku Cinta, Ungu popular bukan sahaja kerana muzik pop rock mereka tetapi juga lagu-lagu berunsur keagamaan yang dihasilkan dalam irama melankolik.
"Penonton di Malaysia tidak pernah mengecewakan Ungu. Tidak sia-sia kami datang jauh untuk menjayakan konsert pertama kami di sini. Itulah sebabnya mengapa Ungu tidak pernah bosan datang ke Malaysia," ujar Pasha lagi.
Meneruskan persembahan dengan seleksi lagu Andai Ku Tahu, Surgamu, Denganmu, Tercipta Untukku dan Sesaat Indah, gabungan energi, penata bunyi serta cahaya lampu membuatkan keseluruhan stadium seperti diisi dengan 20,000 penonton.
Tanpa segan, audiens menari serta menyanyi di bawah pentas yang diserikan dengan latar belakang imej elektonik berwarna-warni yang dihasilkan oleh pihak profesional dari Indonesia.
![]() |
| WALAU mengutip penonton yang tidak ramai, namun Ungu tetap memberi persembahan yang terbaik. |
Lagu Ku Ingin Selamanya, Cinta Dalam Hati, Untukmu Selamanya, Cinta Gila dan Sampai Hatiku berjaya membuatkan penonton dibuai dengan melodi cinta yang mengasyikkan.
"Ia satu penghargaan kerana anda memilih untuk meluangkan masa di sini. Diharap anda semua menyukai persembahan kami," tambah Pasha sebelum menyampaikan lagu terakhir, Demi Waktu.
Berlangsung selama dua jam, konsert itu merupakan idea daripada kumpulan Ungu itu sendiri apabila persembahan mereka di Planet Hollywood pada tahun 2006 dan Ruums, Life Center, tiga tahun lalu menerima sambutan memberangsangkan.
Ternyata tidak menghampakan peminatnya yang hadir, kerja keras Ungu sejak Mac lalu berbaloi dengan sokongan padu peminatnya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: