Thursday, May 27, 2010

Laba Proton RM285 juta

SELEPAS mencatat kerugian sebelum cukai RM319 juta sebelum ini, Proton Holdings Berhad (Proton), memperoleh prestasi membanggakan apabila merekod keuntungan sebelum cukai RM285 juta bagi tahun kewangan keseluruhan berakhir 31 Mac 2010, meningkat lebih 150 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

MOHD NADZMI...prestasi cemerlang
MOHD NADZMI...prestasi cemerlang
Pengerusinya, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata perolehan kasar terkumpul syarikat sehingga 31 Mac lalu meningkat 27 peratus kepada RM8.23 bilion berbanding RM6.49 bilion yang dicatat bagi tempoh sama tahun kewangan sebelum ini.


Katanya, prestasi cemerlang itu disokong pelbagai inisiatif yang diperkenalkan pengurusan Proton sejak beberapa tahun kebelakangan ini antaranya melebarkan portfolio produk, mengecilkan kos pengurusan, memastikan keberkesanan pengilangan dan memperbaiki kualiti serta mengukuhkan ekosistem automotif menerusi gabungan inisiatif wakil pengedar dan vendor.


“Prestasi cemerlang ini terhasil berikutan jualan memberangsangkan tiga model utama kami iaitu Saga, Persona dan Exora.


“Walaupun Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) tempatan menguncup sebanyak dua peratus pada kalendar 2009, Proton mencapai pertumbuhan lapan peratus bagi jualan domestik. Ini membolehkan kami meningkatkan kepentingan dalam pasaran domestik daripada 26 kepada 28 peratus,” katanya ketika mengumumkan Prestasi Kewangan Proton Bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Mac 2010 di Subang Jaya, semalam.


Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Kewangannya, Azhar Othman.


Mengulas lanjut, Mohd Nadzmi berkata, bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu, Proton merekod keuntungan sebelum cukai RM37 juta.


“Angka ini 55 peratus kurang berbanding suku ketiga tahun kewangan sama yang mencatat RM83 juta. Bagaimanapun, ia disebabkan tambahan pendapatan RM44 juta hasil penerimaan geran R&D,” katanya.


Berbanding suku keempat tahun kewangan sebelum ini, beliau berkata, pencapaian RM37 juta berkenaan menunjukkan peningkatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: