LAGU Separuh Jiwaku Pergi pernah menampakkan kekecewaan Anang Hermansyah apabila berpisah dengan bekas isterinya, Krisdayanti (KD). Kembali lagi ke Kuala Lumpur, Anang kini tidak lagi sendirian kerana membawa bersamanya seorang wanita yang seksi, Syahrini.
Anang mahupun Syahrini sedar, kemesraan mereka mula diperkatakan di Indonesia dan kini di Malaysia memandangkan seorang berstatus duda dan seorang lagi wanita solo.
"Dia memang tampan, berbakat, istimewa, menyenangkan dan berdisiplin. Bergandingan bersama seorang penyanyi berpengalaman dan terkenal seperti Anang membuat saya lebih yakin," kata Syahrini.
Menerusi album Jangan Memilih Aku, kedua-dua mereka bergabung dalam menzahirkan lagu yang menarik untuk hiburan pendengar. Mereka berdua bertandang ke Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi mempromosikan album itu.
Majlis pelancaran album duet mereka yang turut memuatkan lagu Cinta Terakhir itu berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.
Album itu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan sejak pertemuan pertama mereka pada Disember tahun lalu.
Ini juga album kedua Anang dalam tempoh lapan bulan sejak melancarkan album solo, Separuh Jiwaku Pergi sebaik berpisah dengan KD, Ogos lalu.
Syahrini pernah menghasilkan album pertamanya, My Lovely pada 2008 di bawah Trinity Optima Records dan popular melalui single Bohong. Dia juga pernah membintangi filem komedi seram Indonesia, The Maling Kuburans.
Anang berkata, dia memilih Syahrini sejak bertentang mata ketika menjayakan satu program televisyen di Semarang, Jawa Tengah, Disember lalu.
"Syahrini memiliki pakej dimahukan sebagai pilihan duet. Orangnya cantik serta baik dan suaranya bagus. Saya harap segala-galanya dipermudahkan Allah kerana kami ada 'chemistry' sebagai pasangan duet."Saya selesa bekerjasama dengan Syahrinia. Dia ada profesionalisme yang tinggi dalam menjadi penyanyi," kata Anang yang bercadang menyiapkan pula album duet bersama Syahrini untuk Ramadan akan datang.
Bagi Syahrini, 27, idea menghasilkan duet datang daripada Anang sendiri.
"Ketika itu, saya mahu menyiapkan album kedua saya tapi sejak kami bertemu, Anang akui suara saya sesuai dengan lagu duet yang mahu dinyanyikannya.
"Lalu lahirlah lagu duet kami yang diberi judul Jangan Memilih Aku. Saya bangga kerana dapat berduet dengan penyanyi yang sudah ada nama besar. Saya harap kolaborasi ini akan membolehkan saya menghasilkan album kedua sebelum penghujung tahun ini," kata Syahrini.Ditanya mengenai perasaan terhadap dua anak Anang dan ketentuan jodoh, Syahrini berkata: "Saya sangat sayangkan dua anak Mas Anang iaitu Titania Aurelie, 12 (Loli), dan Azriel Akbar Hermansyah, 10. Mereka sangat pintar, bijak dan ceria "Saya hanya berkesempatan keluar dengan Loli sewaktu kami menyaksikan konsert Kelly Clarkson di Jakarta, baru baru ini. Mereka menerima saya dengan baik dan saya sayang mereka.
"Mengenai jodoh, semuanya ketentuan Ilahi. Mungkin jodoh saya di sini (Malaysia), mungkin di juga sana, mungkin dengan orang itu dan mungkin orang ini. Buat masa ini, saya masih solo dan belum memikirkan mengenai perkahwinan. Kalau hendak mendirikan rumah tangga pun, saya harap sekitar 2011.
"Buat masa ini fokus utama saya masih kepada karier nyanyian," ujarnya.
Menariknya, Anang sempat mendoakan kejayaan KD.
"Saya doakan KD bertemu jodoh yang sesuai dan baik. Jika dia ditemukan jodoh dengan orang berpangkat, saya juga tidak kisah. Hidup ini mesti diteruskan dengan gembira," katanya. Mereka bercerai Ogos tahun lalu selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga. Anang dan KD pernah menghasilkan enam album duet iaitu Kasih, Buah Hati (1999), Makin Aku Cinta (2001), Menuju Terang (2002), Sepuluh Tahun Pertama (2006) dan terakhir, Selusin (2009).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: