|
|
KESELAMATAN ketika berada di dasar laut merupakan antara perkara yang paling ditakuti bagi mereka yang ingin menceburi dunia selam skuba.
Namun inovasi dan perkembangan teknologi peralatan skuba yang semakin canggih telah membuktikan aktiviti itu semakin selamat untuk dilakukan.
Sejak penciptaan pengawal atur (regulator) oleh Jacques Cousteau pada 1942, antara peralatan skuba terpenting yang dihasilkan manusia adalah komputer selam.
Keperluannya adalah seperti memiliki sebuah kompas ketika di dalam hutan malah bagi yang memahami ketelitian undang-undang selam skuba, alat itu boleh diibaratkan sebagai 'nyawa' setiap kali turun menyelam.
Kelebihan alat yang dipakai seperti jam tangan itu adalah keupayaannya melakukan pengiraan nyah-mampat (decompression) secara automatik yang menggantikan pengiraan cara manual menggunakan jadual selam.
Status nyah-mampat semasa menyelam dipengaruhi oleh dua faktor iaitu kedalaman dan tempoh selaman. Secara umumnya, semakin dalam seseorang itu menyelam maka semakin singkat waktu selaman.
Kegagalan mematuhi peraturan berkaitan dua faktor itu boleh menyebabkan penyelam mengalami penyakit nyah-mampat (DCS) akibat kandungan nitrogen yang berlebihan di dalam badan.
Keselamatan ketika melakukan selam skuba sebenarnya sangat bergantung kepada pengiraan nyah-mampat seperti yang digariskan mengikut piawaian antarabangsa.
Melalui paparan maklumat yang dikemaskini sepanjang selaman pada skrin komputer selam, penyelam mampu mengawasi dan mematuhi peraturan dengan lebih tepat tanpa risiko kesilapan pengiraan secara manual.
Komputer selam atau dive com melakukan pengiraan dengan memantau tempoh selaman, kedalaman dan kedua-duanya sekali melalui kaedah pengiraan yang dinamik. Ia membantu meningkatkan keupayaan penyelam menyelam dengan lebih selamat, selesa dan lebih lama.
Dengan mengira pergerakan pelbagai peringkat kedalaman, pengiraan efisien secara langsung memaksimumkan masa di dalam air. Dalam kata lain, pengguna komputer selam mempunyai lebih masa menyelam berbanding pengiraan manual.
Ketika melakukan hentian keselamatan (safety stop), ia memberitahu penyelam paras kedalaman dan tempoh masa yang sepatutnya. Jika terlupa atau melebihi paras sepatutnya, alat ini akan mengeluarkan bunyi sebagai peringatan.
Di darat pula, pengiraan automatiknya menyatakan waktu selang di darat (surface interval) sebelum penyelam boleh melakukan selaman seterusnya.
Dengan alat itu juga, penyelam tidak perlu bersusah-payah mencatat kedalaman, tempoh selaman, waktu serta bilangan selaman yang telah dilakukan kerana semua data telah tersimpan di dalamnya.
Selain kelebihan yang dinyatakan di sini, komputer selam juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi penting yang biasanya ada pada jam tangan.
Bagi yang merancang untuk turun ke laut pada musim cuti akan datang fikirkan keselamatan anda ketika menyelam. Komputer selam adalah alat pertama yang harus dimiliki sebelum melabur untuk kelengkapan selam yang lain.
Suunto sebagai pengeluar alat perincian prestasi sukan berketepatan tinggi menawarkan pelbagai pilihan komputer selam yang menjadikannya antara jenama paling popular di negara ini.
Dengan penampilan bergaya kasual seperti jam tangan, D4 adalah model popular dan paling banyak terlilit di tangan penyelam dengan fungsi yang mudah dioperasikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: