Saturday, May 1, 2010

Mengiring isteri ke puncak Kinabalu


PENULIS (depan) bersama isteri yang turut serta dalam pendakian ke puncak Kinabalu.


"…melihat tumbuh-tumbuhan itu hidup sihat dan subur sungguh mengasyikkan dan tidak akan saya lupakan - salah satu pengalaman yang kita rasai tetapi amat jarang berlaku dalam seumur hidup!.."

Begitulah pandangan Frederick William Burbidge, ahli botani Inggeris mengenai kepelbagaian flora yang begitu mengagumkan di kawasan tanah tinggi Kinabalu.

Mungkin itulah juga yang mendorong saya untuk kembali ke gunung itu.

Berikut adalah catatan pengembaraan selama dua hari satu malam di Tapak Warisan Dunia pertama negara bersama isteri, Nik Fauziah Nik Abd. Razak dan enam rakan yang lain.

Hari pertama yang indah

Hampir enam kilometer denai hutan ini kami jelajahi dari pintu masuk Mesilau Nature Resorts sejak dari pukul 10 pagi lagi. Saya berjalan paling belakang menemani isteri.

Kerap juga berhenti untuk merakamkan gambar pemandangan yang mencuri perhatian. Orkid Coelogyne spp dengan kuntuman bunga putihnya, periuk kera Nepenthes villosa dengan struktur kendinya yang kemerahan serta banyak lagi yang semuanya mempesonakan.

Denai yang kami lewati itu akhirnya bersambung dengan laluan Pintu Timpohon Gunung Kinabalu. Kami mengatur langkah untuk menempuh kawasan yang agak mencanak yang berbatu. Selang beberapa minit, hujan mula turun mencurah-curah sehingga kami basah kuyup. Hanya Tuhan yang tahu betapa azabnya berjalan dalam keadaan baju yang basah kuyup.

Keadaan menjadi lebih sengsara dengan suhu tanah tinggi yang sangat rendah dan angin bertiup kencang.

Kami singgah di Pondok Villosa dan menukar baju yang basah sementara menunggu hujan teduh. Kami suami isteri turut ditemani Zul dan dua orang penunjuk jalan.

Di samping Villosa, pondok-pondok lain yang turut dibina di sebelah sini termasuklah Mempening, Lowii dan Ubah. Bagi laluan di sebelah Mesilau pula, kami melewati pondok seperti Lompoyou, Magnolia dan Nepenthes.

Perjalanan disambung sebaik sahaja hujan berhenti. Angin kencang kadangkala menyapa haluan kami. Hari yang cerah beransur-ansur gelap dan cahaya oren yang menata horizon Barat begitu indah untuk dilepaskan.

Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa indahnya suasana alam di sebelah sini tatkala siang bertukar ke waktu malam.

Pada kira-kira pukul 7 malam, kami selamat tiba di Laban Rata. Selepas makan malam, kami meneruskan perjalanan ke arah tempat penginapan di Gunting Lagadan.

Saya dan isteri berkongsi bilik dengan Uji dan Sari. Manakala bagi Zul pula, beliau menginap bersama Mat Som, Nazri dan Asri. Kami kemudiannya cuba-cuba melelapkan mata sementara menunggu pukul 2.30 pagi untuk memulakan fasa kedua pengembaraan.

Hari kedua dibelenggu kepenatanPagi yang masih gelap itu agak sibuk dengan telatah pendaki yang bersiap untuk meneruskan pendakian ke puncak Low, puncak tertinggi di Gunung Kinabalu. Ketika jam menghampiri pukul 3 pagi, kami berlapan berkumpul di luar bangunan Gunting Lagadan, menyertai hampir 200 pendaki lain termasuk dari luar negara.

Kami kemudiannya meninggalkan tempat penginapan itu dengan penuh harapan agar impian untuk menggapai puncak gunung yang menjulang tinggi ini jadi kenyataan.

Saya dan isteri berserta Sari dan Zul mengambil masa lebih sejam untuk tiba di Sayat-Sayat yang terletak kira-kira satu kilometer dari tempat kami menginap. Rakan-rakan pendaki lain telah jauh meninggalkan kami.

Kami berhenti rehat di situ selepas petugas merekodkan maklumat peribadi. Pada paras melebihi 3,048 meter dengan ketepuan oksigen di atmosfera hanya tinggal 70 peratus, kami berasa cepat penat dan sukar berjalan cepat.

Ketika cahaya mentari pagi memancar begitu terik, kami tiba di puncak Low, titik tertinggi di Gunung Kinabalu. Ramai pendaki lain beransur-ansur meninggalkan puncak.

Walaupun dibelenggu kepenatan yang amat sangat, isteri saya semestinya berasa gembira. Cubaan pertamanya pada tahun 2001 menemui kegagalan. Kini, selepas hampir lapan tahun berlalu akhirnya kali ini membuahkan kejayaan.

Kami kemudiannya meninggalkan puncak yang mula sepi kembali selepas ditinggalkan pendaki. Puncak-puncak seperti Ugly Sister, Tuanku Abdul Rahman dan Telinga Keldai mengembalikan nostalgia kepada tanah tinggi yang menakjubkan ini

Pepohon Dacrydium dan Leptospermum dengan batang dan dahan yang bengkang-bengkok serta dipulas-pulas mendominasi dan melatari indah kawasan tanah tinggi ini.

Sementara itu, pepohon lain seperti Rhododendron dengan kuntuman rona-rona oren, merah dan kuning sentiasa mengiringi perjalanan kami dengan segala keindahannya hasil ciptaan Tuhan yang Maha Esa.

Kami kemudiannya singgah di Laban Rata untuk sarapan selepas mengemas dan menggalas beg keluar dari Gunting Lagadan. Selepas itu, kami kembali menempuh laluan Kinabalu yang tidak pernah jemu menerima tetamu.

Mereka datang dari Eropah mahupun Korea untuk menikmati keindahan alam semula jadinya. Keindahan yang melonjakkan namanya sebagai Tapak Warisan Dunia yang diterimanya sejak Disember 2000.

Cuaca agak panas tatkala kami turun dan berselisih dengan ramai pendaki yang mencuba nasib untuk menggapai puncak Gunung Kinabalu yang berketinggian kira-kira 4,101 meter.

Sesungguhnya setiap hari ada sahaja pengunjung yang datang ke sini untuk menggantikan yang telah pergi. Kami turut singgah di Pondok Mempening untuk melepaskan lelah.

Hari yang panas kini mendung dengan kabus tebal membaluti alam. Kedinginan membelenggu tubuh tatkala kami duduk berlapikkan tanah kering sambil meneguk minuman ringan menghilangkan dahaga.

Kami seterusnya menyambung perjalanan dan tiba di Timpohon Gate pada pukul 4 petang. Tamat sudah perjalanan panjang yang menjangkau hampir sembilan kilometer dari puncak Gunung Kinabalu.

Tertunai sudah hajat isteri, Sari, Uji, Nazri serta Asri untuk menjejaki puncak tertinggi negara itu buat pertama kali.

Buat diri saya, Mat Som dan Zul, kenangan menjejaki puncak Kinabalu untuk ke sekian kali puncak tetap menjadi memori indah yang kekal abadi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: