Tuesday, May 25, 2010

Komposer KEYNOTE


DARI kiri: Wakil syarikat Alibi Muzik, Amin Hussain, Erwin Azizi, rakan kongsi Ajai dan Ajai.


SELEPAS kebanjiran program realiti nyanyian, kemudian lakonan, kini muncul pula program realiti baru yang bakal melahirkan komposer dan penerbit muda di dalam program yang diberi nama KEYNOTE. Program yang kali pertama wujud di Malaysia itu merupakan hasil buah fikiran komposer terkenal tanah air iaitu Ajai atau nama sebenarnya Faizal Maas yang bertindak sebagai Dekan Akademi KEYNOTE.

Pemilihannya sebagai dekan tidak boleh disangkal memandangkan Ajai mempunyai pengalaman selama 20 tahun sebagai komposer, penerbit album dan penyanyi.

Menurut Ajai pada majlis sidang media program tersebut baru-baru ini, program realiti TV yang bakal ke udara pada Jun ini bakal mencari komposer baru yang berbakat seiring dengan trend muzik semasa.

"KEYNOTE mempunyai misi mencari bakat-bakat muda dalam bidang penciptaan lagu dan sekali gus berkaliber menjadi seorang penerbit. Bukan itu sahaja mereka juga akan dibimbing di bawah beberapa komposer dan penulis lirik yang sudah berpengalaman antaranya Aidit Alfian dan Ad Samad.

"Proses ini yang akan diperoleh oleh peserta-peserta yang terpilih untuk KEYNOTE dalam tempoh tiga bulan pembelajaran di Akademi KEYNOTE," jelasnya.

Tambahnya lagi, bakat-bakat muda yang dicungkil daripada program itu akan menjadi pelapis bagi industri muzik tanah air malah, pada persembahan mingguan lagu-lagu yang dicipta mereka akan dinyanyikan oleh penyanyi yang terkenal.

"Ini merupakan platform kepada mereka untuk menonjolkan bakat terpendam dan apa yang mereka pelajari di pusat pengajian tinggi dan juga bakat semulajadi yang dimiliki.

"Menerusi program ini, setiap komposer akan melahirkan sebuah lagu baru setiap minggu. Ini bermakna industri muzik kita akan mempunyai sekurang-kurangnya 12 lagu baru setiap minggu sekali gus merancakkan lagi industri muzik kita yang mempunyai masalah untuk mencari lagu-lagu baru yang bagus.

"Lagu yang terpilih sebagai pemenang setiap minggu boleh dimuat turun oleh penonton dan ini akan terus memberi pendapatan dari segi royalti kepada komposer muda tersebut meskipun ketika itu dia masih di dalam akademi," ujarnya.

Ajai bersama rakan kongsi Erwin Azizi telah menubuhkan E&A Production sebagai platform kepada semua peserta yang bakal bersaing di dalam program KEYNOTE untuk merealisasikan minat serta cita-cita mereka bergelar komposer setelah keluar daripada Akademi KEYNOTE kelak.

Para peserta akan menerima tugasan pada setiap minggu dengan genre muzik yang berbeza seperti pop, rock,'world music' dan sebagainya.

"Kita mahu mencari komposer yang versetail dan berbakat menulis dalam kesemua genre muzik dan tidak hingga tertumpu kepada satu genre muzik sahaja," jelasnya.

KEYNOTE terbuka kepada semua yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun dan tidak terpengaruh dengan dadah dan kesalahan jenayah.

Semasa sesi uji bakat bakal peserta harus membawa gambar berukuran 4R, demo lagu-lagu ciptaan asal, boleh menyanyikan lagu sendiri atau membawa penyanyi sendiri dengan alunan gitar atau keyboard.

Sesi uji bakat KEYNOTE akan berlangsung di tiga buah lokasi iaitu pada 23 Mei di Wisma Bentley, Damansara, 27 Mei di Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya dan 5 Jun di Institusi Seni Sabah (SIA), Kota Kinabalu. Bagi keterangan lanjut, anda boleh layari www.facebook.com/keynote.com.my.

Program KEYNOTE yang dikendalikan oleh dua pengacara Yasmin Hani dan Farish Aziz itu bakal bersiaran di Astro Ria, Saluran 104 bermula 15 Jun, pukul 10 malam. Program itu akan bersiaran sebanyak 13 episod termasuk episod ZON KEYNOTE.

Juara KEYNOTE akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tempat kedua RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000 berserta kontrak komposer/penerbit di bawah naungan E&A Production dan Wake The Baby Records Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: