
KERJA keras. Itu tuntutan kerjanya kali ini. Dia perlu menampilkan sosok gagah seorang putera zaman silam, bagi melakonkan watak Putera Dastan menerusi filem terbarunya, Prince of Persia: The Sands of Time.
Jake Gyllenhaal mengakui tidak pernah menjalani latihan intensif hanya untuk menukar fizikal tubuhnya.
Menurut aktor berusia 29 tahun itu, watak Putera Dastan memerlukan dirinya kelihatan hebat dari segi fizikal dan apabila dia menerima tawaran melakonkan watak tersebut, dia harus memberikan komitmen 110 peratus.
Ikuti pengalaman Jake sepanjang terbabit dengan projek filem arahan Mike Newell yang turut menampilkan lakonan Gemma Artenton, Ben Kingsley dan Aflred Molina serta bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia menjelang Khamis 27 Mei ini.
Menerusi satu temu bual dengan media Barat, Jake bercakap tentang bagaimana perasaannya melakonkan watak yang sebenarnya diadaptasi daripada permainan video itu, mempelajari loghat British dan bagaimana dia bekerja keras menjalani latihan intensif bagi mendapat sosok seorang putera yang amat gagah dari segi fizikal itu.
Adakah kamu sudah biasa dengan versi permainan video Prince of Persia sebelum terbabit dengan versi filemnya?
JAKE: Saya memang sudah biasa bermain permainan video Prince of Persia sejak saya kecil lagi. Saya banyak bermain permainan video yang asal hasil ciptaan Jordan Mechner menggunakan komputer ketika saya di sekolah rendah. Kemudian selama 20 tahun, saya tidak bermain permainan video Prince of Persia, entahlah tapi saya lebih banyak bermain permainan video lain.
Kemudian apabila saya diberikan skrip filem ini, saya berasa perlu menyahut peluang yang telah diberikan dan saya mula membuat ulang kaji terhadap permainan video Prince of Persia dan kini saya dan permainan video memiliki hubungan yang sangat intim.
Peluang melakonkan watak utama permainan video yang telah anda mainkan sejak kanak-kanak pasti menyeronokkan. Ceritakan tentang pengalamannya.
![]() |
| JAKE GYLLENHAAL kini dikenali sebagai adiwira baru bernama Putera Dastan. |
Wow, saya memang berharap untuk kembali ke zaman silam saya sendiri. Memang saya berharap kembali ke zaman ketika saya kanak-kanak berusia lapan tahun yang bermain permainan video tersebut, yang apabila 20 tahun kemudian menjadi pelakon utama filem adaptasi permainan video itu dan diterbitkan oleh penerbit filem-filem blockbuster, Jerry Bruckheimer. Ia sudah tentu sangat menyeronokkan dan itulah yang saya rasa sepanjang menjalani penggambaran filem ini. Saya rasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak saya itu. Ia sangat menyeronokkan, setiap hari berlari, melompat dan bergaduh dengan orang jahat.
Pada awal filem, watak lakonan anda merupakan seorang yang berlagak tetapi ia kemudian berubah menjadi semakin merendah diri. Jelaskan tentang transformasi sikap watak anda itu.
Saya tidak tahu adakah watak lakonan saya itu benar-benar hilang sikap berlagaknya sehingga ke akhir babak filem. Tetapi saya rasa itulah yang berlaku apabila dia menyedari tentang matlamat hidupnya, dan menyedari betapa penting nilai keluarga buat dirinya. Pada asalnya, dia anak yatim piatu yang kemudiannya diselamatkan oleh raja dan dia mempunyai potensi untuk kehilangan keluarga angkatnya yang telah memberikan kehidupan yang bermakna buatnya. Justeru, dia mula memahami pengertian hidup dan mula melihatnya dengan lebih serius. Namun, dia masih mengekalkan sifat humornya.
Berapa lama anda menjalani latihan intensif untuk mendapatkan sosok badan yang diingini bagi watak Putera Dastan? Adakah hasilnya apa yang anda jangkakan?
Saya bekerjasama dengan gimnas, dan melakukan latih tubi kardiovaskular dan yang seumpamanya serta melakukan sedikit latih tubi Parkour. Ia merupakan aktiviti sukan yang memerlukan anda bergerak dengan cepat di persekitaran berair yang dihadang dengan penghadang seperti dinding dan sebagainya, serta perlu melakukan aktiviti lompatan, misalnya di atas tangga dan antara bangunan.

Adakah anda rasa karakter lakonan anda memberi mesej positif kepada orang muda yang bakal menjadi dewasa dan mahu mengenal pasti potensi diri yang ada pada diri masing-masing ketika mereka membesar?
Ya, memang betul. Banyak benda yang mengancam kita sepanjang kehidupan ini, dan kita tidak mahu mendengar kepada bisikan hati kita, untuk membuat pilihan tentang diri kita sendiri atau tentang apa yang orang lain rasakan hebat. Moral filem ini, bagi Putera Dastan, ialah mengikut apa kata hatinya dan kemudian mempengaruhi orang di sekelilingnya, seperti adik-beradiknya, serta ahli keluarganya yang lain supaya mengikut kata hati masing-masing. Apabila itu terjadi, hasilnya adalah sesuatu yang baik. Dan, saya berharap kanak-kanak dan ahli keluarga mereka yang menonton filem ini boleh menerima mesej itu seadanya, jika mereka mendengar kepada isi hati mereka, mereka tidak akan membuat sesuatu yang salah.
Anda terkenal menerusi karakter-karakter dramatik seperti dalam The Day After Tomorrow, Brokeback Mountain dan Jarhead. Apa perbezaannya bagi anda untuk menyediakan diri bagi melakonkan watak utama filem aksi blockbuster ini?
Filem ini memerlukan kerja-kerja teknikal yang banyak digunakan dalam filem-filem lakonan saya sebelum ini, tetapi kali ini saya perlu melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah saya lakukan untuk menghidupkan karakter saya termasuk menjalani latih tubi Parkour, belajar bermain pedang dan seni pertahan diri yang mempunyai koreografi sangat kompleks. Selain daripada itu, saya juga kena belajar bercakap dalam loghat British, ia sangat menyukarkan sebenarnya.
Bila melakonkan watak hero, adakah penting untuk mempunyai watak antagonis yang hebat seperti Nizam, lakonan Ben Kingsley? Bagaimana pengalaman anda bergandingan dengan Ben?
Dalam filem ini banyak watak antagonis. Namun, ada satu yang benar-benar tidak dijangkakan. Namun, karakter lakonan Ben Kingsley, Nizam, sangat mengagumkan. Saya berbangga dapat bergandingan dengan pelakon hebat seperti Ben.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: