|
|
BIMBANG bercampur gembira. Itulah yang digambarkan Faizal Tahir saat diajak berbicara tentang album keduanya, Adrenalin yang sudah pun berada di pasaran sejak 11 Mac lalu.
Faizal mempunyai seribu satu sebab untuk berasa teruja dengan Adrenalin kerana selepas dua tahun tanpa album baru, akhirnya album itu muncul juga dan mengubat kerinduan peminatnya.
Penghasilan album Adrenalin sememangnya cukup mencabar dan menguji kredibilitinya sebagai seorang penyanyi serta komposer.
Manakan tidak. Sepanjang tempoh penghasilan album Adrenalin, dia berdepan dengan kesulitan yang membabitkan kesihatan dirinya.
Semuanya gara-gara penyakit trombosis pembuluh darah (DVT) yang dihidapinya sehingga album yang sepatutnya dilancarkan tahun lalu itu tergendala seketika.
Dalam masa yang sama, Faizal juga tidak mampu menyembunyikan kebimbangannya terhadap penerimaan peminat pada album terbarunya itu.
Ini kerana jelas penyanyi dan komposer berusia 31 tahun itu lagi, Adrenalin merupakan sebuah album yang jauh berbeza dengan apa yang telah dilakukannya menerusi album pertamanya, Aku.Muzik.Kamu.
"Untuk album ini, saya memberi nuansa yang baru serta muzik yang begitu jauh ke hadapan dan ternyata telahan saya tidak silap.
"Saya telah menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat tentang album Adrenalin di mana ada yang mengatakan album ini agak berat dari segi muzik dan lagunya.
"Kata mereka juga, album ini tidak memiliki lagu-lagu yang mudah menangkap telinga seperti Mahakarya Cinta, Sampai Syurga, Cuba dan Gemuruh.
"Namun, sebagai seorang pengkarya, saya tidak boleh berterusan menghasilkan muzik dan menerapkan formula yang sama seperti yang telah saya lakukan," jelasnya memberikan pandangan peribadinya terhadap album Adrenalin.
Biarpun menerima reaksi yang berbeza terhadap Adrenalin, Faizal kini mampu menarik nafas lega dan tersenyum bangga apabila penjualan albumnya kini mencecah 7,000 salinan.
Manakala, rangkuman penjualan album Aku.Muzik.Kamu secara fizikal dan digital pula mencatatkan jumlah sebanyak 15,000 unit.
Album Adrenalin terbitan Monkey Bone itu memuatkan sembilan buah lagu iaitu Adrenalin, Superhero, Selamat Malam, Karma, Hanyut, Bencinta, Muzik, Semesta serta lagu Hanyut dalam versi akustik.
Masih lagi mengekalkan penerbit dan komposer terkenal, Audi Mok mengepalai penerbitan album terbarunya, Faizal percaya album berkenaan mampu melekat di hati peminat dan pencinta muzik secara amnya.
Untuk itu, dia harus berterima kasih kepada Audi yang menyakinkan dirinya terhadap Adrenalin biarpun dia berasa bimbang dengan kelahiran album keduanya itu.
Sudah menjadi resmi untuk setiap penyanyi yang melahirkan album, bukan mudah untuk sesebuah album itu diterima dengan baik dan meluas dalam tempoh yang singkat.
Kerana itu, baginya apa yang penting adalah untuk setiap album itu diberikan pendedahan yang sewajarnya.
Dalam masa yang sama, Faizal tidak faham dengan segelintir pihak yang cuba mempertikaikan album Adrenalin apabila berjaya dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) yang akan berlangsung pada 2 Mei (esok).
Jelasnya, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sebelum Adrenalin diterbitkan dalam bentuk fizikal, ia terlebih dahulu sudah dijual secara digital.
Dan, syarat baru kelayakan menyertai AIM juga membenarkan album yang dipasarkan secara digital menyertai anugerah itu asalkan ia mengandungi lima buah lagu.
"Adrenalin sepatutnya dilancarkan tahun lepas tetapi kerana keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan, maka ia terpaksa dianjakkan ke tahun ini.
"Selepas berbincang dengan syarikat rakaman, kami memutuskan untuk menjualnya secara digital terlebih dahulu agar Adrenalin dapat menyertai AIM.
"Bohong kalau saya kata kami tidak mengejar tempoh kelayakan AIM kerana saya mahu melihat album ini menyertai AIM selepas dua tahun tidak berbuat demikian," jelasnya yang meminta agar isu kelayakan albumnya itu tidak lagi dipanjangkan.
Untuk itu, Adrenalin berjaya mendapat tiga pencalonan dalam AIM17 iaitu Album Rock Terbaik dan juga Lagu Rock Terbaik untuk lagu Bencinta.
Faizal turut menerima pencalonan menerusi lagu yang sama bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Lelaki Di Dalam Lagu dan bersaing hebat bersama Hazami, Jamal Abdillah, Riz dan Vince Chong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: