|
|
PHOENIX 30 April - Penyanyi terkenal dari Colombia, Shakira melawat bandar ini semalam dan mengadakan pertemuan dengan ketua polis serta Datuk Bandar, berhubung kebimbangan mengenai undang-undang baru membanteras pendatang haram akan membawa kepada isu perkauman.
Pemenang Anugerah Grammy itu menyatakan hasrat untuk mengetahui lebih lanjut bagaimana undang-undang itu akan dilaksanakan bila ia mula dikuatkuasakan pada musim panas ini, selain bertemu dengan komuniti Latin di Phoenix.
"Saya mendengar mengenainya dalam siaran berita dan saya fikir ia tidak adil dan tidak berperikemanusiaan, selain melanggar hak asasi dan sivil penduduk berketurunan Latin... Ia menentang maruah manusia serta prinsip kebanyakan rakyat Amerika yang saya kenali," katanya.
Undang-undang yang ditandatangani Gabenor Jan Brewer daripada Parti Republikan hari ini, dilihat sebagai yang paling tegas dalam membanteras pendatang haram, selain menerima kritikan Presiden Barack Obama sendiri.
Ia menjadikan kehadiran pendatang secara haram di AS sebagai jenayah dan mengarahkan polis menyoal sesiapa yang diragui status mereka.
"Saya bukan pakar Perlembagaan, namun saya tahu ia wujud untuk melindungi manusia, hak menetap di sesuatu negara dengan atau tanpa dokumen. Kita bercakap mengenai manusia di sini," ujar Shakira.
Dia turut singgah di bangunan badan perundangan negeri, di tengah Phoenix dan memberitahu beratus-ratus komuniti di situ bahawa sekiranya undang-undang itu dikuatkuasakan, dia sendiri akan ditangkap kerana tidak membawa lesen memandu ke Arizona.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: