|
|
BERKISAR tentang cerita di sebalik sebuah rumah pelacuran dan kehidupan lelaki di sekelilingnya, teater Selamat Jalan Anak Kafir arahan Hairunazwan Rodzy membuka mata semua pihak terhadap gejala sosial yang melanda kini.
Ditambah dengan 'munculnya' kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi, ia menjadi penyebab bagi Jarilima Production untuk membawa karya yang berasal dari Indonesia itu bagi dipentaskan di gelanggang tempatan sejak 30 April hingga 2 Mei ini.
Bertempat di Stor Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Selamat Jalan Anak Kafir, karya asal Utuy Tatang Sontani, punyai keunikan tersendiri yang jelas memperlihatkan kepelbagaian 'wajah' manusia terutamanya golongan lelaki.
Wajah-wajah lelaki itu dijelaskan dengan perlambangan watak seperti Baju Belang, Tukang Beca, Celana Yengki, Kacamata, Baju Batik, Si Gemuk dan Pakaian Cantik.
Baju Belang, adalah seorang lelaki yang hadir di rumah pelacuran hanya untuk berbual-bual dengan pelacur dan begitu juga Kacamata yang digambarkan sebagai lelaki pemalas.
Sememangnya, dalam banyak karya oleh Utuy Tatang, beliau gemar menggunakan perlambangan ini untuk menggambarkan sesuatu watak atau keadaan.
Selamat Jalan Anak Kafir yang dihasilkan sekitar 1950-an dengan judul asal dalam bahasa Indonesia iaitu Selamat Jalan Anak Kufur memperlihatkan bahawa di sebalik dirinya sebagai pelacur, Tuti menjadi wanita pilihan si Tukang Beca.
Tukang Beca cuba berkorban untuk menerima Tuti sebagai suri hidupnya namun timbul konflik apabila Tuti diberi pilihan iaitu terus menjadi pelacur atau keluar daripada kancah jijik itu.
Menurut Hairunazwan, Selamat Tinggal Anak Kafir turut memaparkan sikap individualistik si ibu lakonan Tania Zainal yang mahu menjadikan Tuti sebagai pelacur sepertinya.
Jelasnya, karya ini begitu dekat dengan latar masyarakat kini yang berhadapan masalah seksual atau pelacuran.
"Soal lelaki-lelaki yang tidak bertanggungjawab juga dipaparkan dalam karya berkenaan.
"Sebab itulah kami tertarik untuk mementaskan karya ini biarpun terdapat pelbagai kritikan mengenainya.
"Di pihak Indonesia, mereka mendakwa kami cuba mencuri karya ini manakala di pihak tempatan, kami didakwa cuba mengagungkan karya luar.
"Bukan niat kami untuk mencuri atau mengagungkan karya itu tetapi ia sekadar mahu menghargai karya Utuy Tatang yang penuh mesej bermakna,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pementasan Selamat Jalan Anak Kafir mendapat kerjasama DBP sendiri dengan beberapa tajaan seperti Restoran Ooh Cha Tai, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia dan orang perseorangan termasuk barisan artis seperti Datuk Rahim Razali, Fahrin Ahmad, Nasha Aziz serta Haeriyanto Hassan.
Selain Tania, Selamat Jalan Anak Kafir dibarisi pelakon seperti Zulin Aziz sebagai Tuti; Haeriyanto (Baju Belang); Taiyuddin Bakar (Tukang Beca); Along Eyzandy (Celana Yengki); Keroz Nazri (Kacamata); Ku Yusri Ku Rahman (Baju Batik); Jart Hassan (Si Gemuk) dan Anuwra Abdullah (Pakaian Cantik).
Kata Hairunazwan, Selamat Jalan Anak Kafir turut diselitkan unsur-unsur humor agar ia tidak nampak sebagai sebuah teater yang terlalu serius.
"Kami masih mengekalkan skrip asal karya tersebut. Tetapi, ia menggunakan bahasa Indonesia yang tidak terlalu pekat untuk kemudahan penonton memahaminya.
"Jalan cerita masih sama. Pementasan teater ini berlangsung lebih satu jam dengan set yang akan menampakkan kehidupan sekitar 1950-an.
"Kami mulakan latihan sekitar bulan lalu dan teater ini hanya sebabak sahaja,'' ujarnya.
Mengenai pengertian 'anak kafir' yang terdapat dalam judul teater, Hairunazwan menjelaskan ia membawa makna seorang pelacur itu perlu melakukan kerjanya sebagai seorang pelacur.
"Mereka akan dianggap 'anak kafir' jika tidak lagi bergelar pelacur atau perempuan sewaan. Begitulah perumpamaannya,'' kata Hairunazwan yang pernah mengarahkan teater muzikal Uda dan Dara, No Exit serta Romeo dan Juliet.
Cuba hayati watak pelacur
Sementara itu, bagi Tania pula, menghayati watak sebagai pelacur adalah satu cabaran yang besar buat dirinya.
Pelakon yang pernah membintangi teater Ibu Zain dan Nyonya ini berkata, untuk itu, dia perlu melakukan kajian sendiri bagi membolehkan watak berkenaan dapat dibawakan dengan baik.
"Tetapi, sebagai wanita, naluri saya dapat membayangkan bagaimana untuk membawakan watak tersebut,'' tambahnya.
Selain di pentas teater, Tania pernah berlakon dalam Rona Roni Makaroni, Merah Putih, Sindarela, Anak Pontianak dan Rendang Tok Wan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: