Thursday, May 27, 2010

Kembara ke Pagoh, Labis


TENGKU Khalidah Tengku Bidin (tiga dari kanan) dan Abdul Razak Jamhury (dua dari kanan) memberi taklimat kepada para peserta Kembara Mingguan Malaysia sebelum mereka berlepas ke Pagoh dan Labis dari ibu pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEMBARA Mingguan Malaysia yang bertujuan menjalin hubungan, permuafakatan serta kerjasama dengan masyarakat setempat diteruskan untuk siri kedua dengan memilih Pagoh dan Labis di Johor sebagai destinasinya selama sehari pada Sabtu lalu.

Program anjuran akhbar Mingguan Malaysia dengan kerjasama EDLife Sdn. Bhd. itu bermula 2 Mei lalu di Negeri Sembilan membabitkan pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan dengan golongan artis sebagai penggerak acaranya.

Pengurus Projek Kembara Mingguan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sokongan berterusan di kalangan pembaca akhbar itu menyebabkan pihaknya yang terdiri daripada para wartawan dan artis tampil menemui mereka yang telah banyak memberi sokongan.

"Selain mempromosikan Mingguan Malaysia, kembara ini juga akan mengadakan kerja-kerja sosial di kalangan masyarakat yang kami kunjungi dengan bantuan daripada golongan artis seperti penyanyi dan pelakon popular tanah air.

"Kami tidak mahu terlalu terhad kepada sesuatu aktiviti kemasyarakatan sahaja, tetapi skopnya luas meliputi kerjasama para pemimpin setempat, media massa dan artis," katanya kepada Hits sebelum berlepas bersama konvoi kembara itu dari pejabat Utusan Melayu (M) Berhad.

Pada konvoi Kembara Mingguan Malaysia kali ini yang mendapat kerjasama Kelab Honda Odyssey Malaysia dan para penyampai radio Suria FM. Sebanyak 10 buah kereta, 10 artis tanah air serta kira-kira 10 ahli kelab itu menyertainya.

Para artis yang terbabit dalam program yang menjadikan Suria FM radio rasmi, URTV (majalah rasmi) dan Mangga Onlie (portal rasmi) itu terdiri daripada Intan Ladyana, Kamal Adli, Jehan Miskin, Roslan Shah, Sheila (One In A Million), Razali Hussain, Sheila Abdul dan Syed Ali.

Menurut Tengku Khalidah, siri kedua Kembara Mingguan Malaysia itu juga akan melakukan kerja-kerja amal membersihkan kawasan perkuburan Kampung Panjang Sari di Pagoh dan melawat Pusat Dalam Komuniti di Labis.

Katanya yang juga Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, kembara anjuran akhbar itu yang kini mempunyai edaran mencecah 500,000 naskhah akan menganjurkan satu perlawanan futsal bersama para penduduk di Taman Muhibbah, Labis pada sebelah petangnya.

"Pada 29 dan 30 Mei ini pula Mingguan Malaysia akan menganjurkan Karnival Suara Malaysia 2010 di Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru yang menyediakan jualan, pameran dan Konsert Mini Pancaindera," ujarnya.

Antara artis yang dijangka akan menjayakan Konsert Mini Pancaindera itu ialah Jay Jay, Zamani, Hattan, Amylea AF, Jehan Miskin, Roslan Shah, Sheila (One In A Million), Zarina AF serta dua penyanyi dari Singapura iaitu Imran Ajmain dan Maya Rahman.

Hadir sama pada majlis pelepasan konvoi Kembara Mingguan Malaysia ke Labis dan Pagoh itu ialah Presiden Kelab Honda Odyssey Malaysia, Abdul Razak Jamhury, 45, bersama hampir 10 ahli kelab itu yang ditubuhkan pada Oktober 2008 di mana ia kini mempunyai 200 ahli.

aktiviti bermanfaat

Menurut Abdul Razak, dia terpanggil menyertai kembara itu kerana ia boleh dijadikan aktiviti bermanfaat pada hujung minggu buat ahli-ahli kelab di bawah naungannya itu.

"Saya anggap kembara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kelab ini tetapi juga kepada masyarakat yang lain.

"Melalui aktiviti riadah seperti ini kami didedahkan dengan pelbagai kerja-kerja sosial yang sepatutnya dilibatkan juga kepada segenap lapisan masyarakat. Cara itu juga dapat mengeratkan kita dengan ahli-ahli masyarakat yang lain," katanya.

Iesha iaitu pengacara rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM turut bersetuju menyertai Kembara Mingguan Malaysia kerana aktiviti seperti itu akan memberi pendedahan lebih luas dalam kerjayanya pada masa depan.

Katanya, menerusi aktiviti kemasyarakatan itu, dia akan lebih memahami keadaan hidup masyarakat setempat selain meluaskan lagi pandangan dan rasa keprihatinannya sebagai penyampai rancangan televisyen di TV1 RTM tersebut.

"Aktiviti seperti ini banyak memberi faedah kepada saya untuk menimba pengalaman di mana apa yang saya lalui itu mungkin dapat digunakan dalam karier saya sebagai penyampai televisyen. Saya bukan setakat bersiaran di studio tetapi kali ini saya rasa lebih dekat dengan masyarakat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: