Thursday, May 27, 2010

Inul cuba irama pop, rock


ALBERT Brorey (kiri) menunjukkan permit penganjuran Konsert 1 Inul Daratista kepada Inul pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


IRAMA dangdut seakan-akan sudah sebati dengan jiwa Inul Daratista. Ini kerana, sejak menceburkan diri dalam bidang nyanyian pada usianya 13 tahun, dangdut merupakan genre muzik yang diketengahkannya.

Sebab itu apabila membayangkan tentang persembahan Inul, tentunya ramai yang sudah dapat membayangkan lagu dan gelek gerudi penyanyi yang berusia 31 tahun ini.

Bagaimanapun, sebagai penyanyi berbakat Inul tidak mahu statik kepada irama dangdut semata-mata, sebaliknya dia kini sedang mencuba untuk mempopularkan irama pop dan rock pada persembahan-persembahannya.

Menurut ibu kepada Yusuf Ivander Damares yang kini berusia setahun itu, dia memilih untuk mencuba irama pop dan rock bukan kerana faktor usia ataupun selepas bergelar ibu tetapi ia demi kerjayanya sebagai penyanyi.

"Ada orang kata, selepas menjadi ibu saya semakin perlahan dalam irama dangdut. Tetapi gelaran sebagai ibu tidak mempengaruhi saya untuk cuba menyanyikan lagu pop atau rock. Saya bukannya mahu buat peminat terkejut.

"Sebagai penyanyi profesional saya akan menyanyikan apa sahaja lagu yang orang minta. Malah, sebelum ini pun saya pernah menyanyikan lagu keroncong," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert 1 Inul Daratista di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Masih kental

Konsert anjuran Apex Event Network itu akan diadakan di Stadium Utama Kompleks Sukan Tawau pada 29 Mei ini, Padang Kompleks Sukan Keningau (31 Mei) dan Sunway Hotel Resort & Spa, Petaling Jaya (4 Jun).

Bukti Inul sebagai penyanyi yang versatil dan tidak hanya bergantung kepada irama dangdut dapat dilihat apabila dia muncul dengan album single terbarunya berjudul Kasih Tak Termiliki ciptaan Irwan Stinky dan David Lau.

Jelas Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokimah, biarpun mencuba menyanyi serta merakamkan album pop, namun jiwanya masih kental dengan irama dangdut yang telah mempopularkan namanya sebagai penyanyi selama hampir 20 tahun.

"Dangdut masih lagi di hati saya. Ini kerana, saya sudah lama menyanyikan irama dangdut. Cuma baru sekarang saya cuba menyanyikan irama pop dan rock. Sedangkan sebelum ini, saya sudah terlebih dulu menyanyikan lagu pop dan rock," ujarnya.

Kasih Tak Termiliki itu kata Inul, akan digunakan dalam sebuah sinetron atau drama popular di Indonesia sebagai lagu temanya di mana ia akan ditayangkan di sana tidak lama lagi.

Tidak serik

Bercerita tentang Konsert 1 Inul Daratista, penyanyi berasal dari Pasuruan, Jawa Timur itu menjelaskan, ia adalah yang terbesar pernah diadakannya di negara ini selepas konsertnya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Mei 2005.

Konsert di Tawau pada 29 Mei ini akan mengenakan tiket berharga RM35 dan RM50, konsert di Keningau (RM30) manakala konsert di Petaling Jaya pula berdasarkan jualan meja daripada RM3,000 untuk sebuah meja sehinggalah RM20,000 bagi sebuah meja.

Sebahagian tiket daripada jualan meja pada konsert di Petaling Jaya itu akan disumbangkan kepada Pertubuhan Kebajikan 1Malaysia yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Jelas Inul, dia tidak serik untuk mengadakan konsertnya di negara ini biarpun tiga konsertnya dua tahun lalu iaitu di Johor Bahru pada 19 Julai dan 27 Julai serta 27 November masing-masing di Kuala Lumpur dibatalkan kerana tiada permit.

"Saya tidak kecewa walaupun konsert saya pernah dibatalkan di Malaysia dua tahun lalu. Ramai teman yang memberi sokongan kepada saya.

"Saya anggap konsert saya di Tawau, Keningau dan Petaling Jaya itu nanti sebagai penggantinya," jelasnya.

Difahamkan Konsert 1 Inul Daratista itu yang menampilkan Hazami sebagai penyanyi undangan dan Datuk Jalaluddin Hassan sebagai pengacaranya, Inul akan mengadakan persembahan selama hampir dua jam.

Wakil Apex Event Network, Albert Brorey berkata, sambutan para peminat terutamanya di Sabah amat memberangsangkan dan ia merupakan konsert terbesar pernah diadakan oleh Indul di Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Sebelum menganjurkan konsert ini kami sudah mengadakan tinjauan di mana ramai peminat yang tidak sabar untuk menonton konsert ini. Ramai yang tidak percaya Inul akan mengadakan konsert di Sabah selepas tiga konsertnya di batal di Semenanjung dua tahun lalu.

"Untuk konsert di Sabah sebahagian jualan tiketnya akan disumbangkan kepada Rumah Anak-Anak Yatim Islam Tawau dan Rumah Anak-Anak Yatim Tambunan. Sasaran konsert Inul di Tawau ialah seramai 30,000 penonton," katanya.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket Konsert 1 Inul Daratista sila hubungi talian 03-89255159 atau layari laman sesawang mereka di www.apexevent.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: