|
|
SIRI popular, Sex and the City (SATC) sememangnya berjaya meraih perhatian dan cukup meluas sejak mula ditayangkan di saluran Home Box Office atau HBO pada tahun 1998.
Berjaya bertahan sehingga enam musim, SATC telah meninggalkan impak yang bukan kecil sebaik sahaja melabuhkan tirainya pada tahun 2004.
Bukan sahaja popular, tetapi SATC juga meraih pelbagai pengiktirafan dan anugerah yang meletakkan siri itu sebagai antara siri televisyen yang terbaik pernah dihasilkan oleh HBO.
Menyedari populariti dan kehangatan SATC masih belum kebah, HBO menerusi HBO Films dengan kerjasama New Line Cinema melangsungkan kisah empat wanita sofistikated ke dalam versi filem pula.
Lalu, pada tahun 2008, muncullah filem SATC yang telah mencetuskan kembali fenomena yang pernah tercetus sebelum ini.
Biarpun berdepan dengan pelbagai kritikan, kehebatan SATC memang tidak dapat disangkal lagi apabila kutipan untuk filem berkenaan mencecah RM1.3 billion di seluruh dunia.
Sememangnya peminat SATC masih lagi mendambakan kisah-kisah menarik yang dilalui oleh Carrie Bradshaw yang dilakonkan oleh Sarah Jessica Parker, Samantha Jones (Kim Cattrall), Miranda Hobbes (Cynthia Nixon) dan Charlotte York Goldenblatt (Kristin Davis).
Selepas dua tahun, kini SATC kembali menerusi filem susulannya, SATC2 yang akan mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 3 Jun ini.
Pastinya, SATC2 merupakan filem yang paling ditunggu-tunggu tahun ini khususnya peminat SATC yang mahu melihat apakah kesudahan kisah yang berlaku antara empat watak tersebut.
Bagi meraikan kedatangan SATC2 ke pawagam, saluran E! Entertainment Television (saluran 712, Astro) akan menayangkan sebuah episod istimewa tentang SATC2 bermula pukul 7.50 malam ini.
Menerusi program E! News Asia yang dihoskan oleh Marion Caunter itu, peminat dan penonton akan dibawa menjelajah Manhattan serta dunia glamor Carrie yang menjadi igauan dan mimpi ramai pihak.
Tidak cukup dengan itu, audiens juga diberi peluang untuk melihat sendiri dengan lebih dekat pembikinan filem sekuel tersebut yang diarahkan oleh Michael Patrick King itu.
Sudah pasti, Marion akan dicemburui ramai orang selepas ini apabila episod itu juga akan menyelitkan temu bual eksklusif antara Marion bersama empat aktres utama filem tersebut.
Mereka akan membicarakan tentang perjalanan dan pengalaman selama membintangi SATC baik sewaktu versi televisyen mahupun filem selain daripada dunia fesyen SATC yang sering kali menjadi sebutan ramai.
Bagi peminat fanatik SATC, pastikan anda membuat temu janji dengan saluran E! Entertainment Television (saluran 712, Astro) pada 7.50 malam untuk menyaksikan episod istimewa ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: