Wednesday, May 26, 2010

Hukuman mati mandatori



KOTA BHARU - Seorang mekanik berumur 27 tahun dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam, atas kesalahan mengedar methamphetamine (pil kuda), dua tahun lalu.

Hakim, Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian setelah meneliti keseluruhan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Ahmad Zaidi semasa membacakan penghakimannya berkata, bagi kesalahan mengedar dadah, hanya ada satu hukuman sekiranya mahkamah mendapati tertuduh bersalah.

“Dalam kes ini, berdasarkan keterangan secara keseluruhan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan pengetahuan tertuduh terhadap dadah tersebut.

“Setelah meneliti secara mendalam, mahkamah tidak dapat menerima pembelaan tertuduh sebagai pembelaan yang benar,” katanya.

Menurutnya, tertuduh gagal menimbulkan keraguan dan menyangkal inti pati pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 39B dan mahkamah mendapati tertuduh disabitkan bersalah atas pertuduhan itu,” katanya.

Shah Rizan Sulung, 27, didapati bersalah mengedar 17,769 biji pil kuda seberat 240.83 gram yang disorokkan di dalam sebuah kotak dan dimasukkan ke dalam sebuah beg lalu diletakkan di bawah sebuah almari perhiasan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu ketika ditahan di rumahnya di Taman Lati, Jalan Repek, Pasir Mas, dekat sini, kira-kira jam 2 petang, pada 20 Mei 2008.

Shah Rizan didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Dalam prosiding semalam, peguam, Amir Syafiq Venkadesh Narayanan, memohon hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azimah Yaacob memohon mahkamah mengenakan hukuman seperti diperuntukkan undang-undang terhadap tertuduh.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira dadah musuh nombor satu negara dan punca keruntuhan akhlak anak muda zaman sekarang, selain mengambil kira kepentingan awam dalam kes ini,” katanya.

Ahmad Zaidi memutuskan mahkamah tiada pilihan selain menjatuhkan hukuman mandatori gantung sampai mati.

“Tarikh dan masa pelaksanaan hukuman akan ditetapkan pihak berkuasa berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: