![]() |
| |
PADA 22 April lalu, saya memenuhi pelawaan Wan Nawawi Wan Hashim untuk sama-sama memeriahkan majlis pernikahan anak tunggalnya generasi ketujuh Mahsuri, Wan Aishah di Kampung Tambon Kamala, Phuket, Thailand.
Pemergian saya ke sana bersama jurugambar Noor Baini Masri tanpa ditemani Rosli Azmi Eksekutif Pentadbiran Jabatan Pengarang yang selalu bersama saya apabila bertemu Wan Aishah.
Saya dan Noor Baini tiba di lapangan terbang Phuket kira-kira pukul 2 petang waktu Thailand. Kami dijemput oleh Abang Samart seorang kenalan yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang di sana.
Pukul 4 petang kami ke rumah Wan Aishah yang letaknya lebih kurang 15 kilometer dari resort tempat kami tinggal.
Bimbang juga saya kalau keluarga Wan Aishah tidak kenal lagi setelah empat tahun tidak bertemu selepas Wan Aishah kembali melanjutkan pelajaran di Universiti Ramkamheng, Bangkok.
Namun sebaik keluar dari kereta dua ibu saudara Wan Aishah, Wan Dara dan Wan Na bingkas bangun dan menerpa ke arah kami. Lama kami bersalaman dan berpelukan sambil bertanya khabar. Wan Dara fasih bercakap Melayu.
Masuk ke rumah Wan Aishah yang telah berubah wajah, saya berhenti melangkah. Sumaini Karim, ibu Wan Aishah seperti tergamam. Awet mudanya menyerlah.
Lama dia merenung saya. Kami menangis sambil berpelukan mungkin kerana lama tidak bertemu.
"Aishah sedang bersolek," kata Sumaini dalam bahasa Thai.
Di ruang tamu ramai lagi saudara mara Wan Aishah yang saya kenal, Kak Fatimah dan anaknya Farida, Azizah Samat serta Tok Wan Karim bapa Sumaini yang masih sihat walaupun telah berusia lebih 70 tahun.
Bapa Wan Aishah, Wan Nawawi muncul 10 minit kemudian. Lima belas minit kemudian terdengar suara manja Wan Aishah berlari anak turun dari tangga.
"How are you makcik?," sapanya sambil mendepa tangan memeluk saya. Wajahnya tampak manis, cantik dan ayu seperti dulu.
Rambutnya diikat kemas dengan kesan solekan yang masih belum selesai.
Wan Dara dan Wan Na pula sibuk menyediakan makanan tengah hari untuk kami walaupun berkali-kali saya menolak.
Nasi putih, tomyam udang, ikan masin, sambal belacan dan telur goreng menjadi menu makan tengah hari kami di rumah Wan Aishah.
Menjelang Maghrib suasana makin meriah kerana majlis pernikahan Wan Aishah akan berlangsung.
"Kami tidak ada hantaran mahupun batal air sembahyang atau sarung cincin," kata Wan Dara kepada saya.
Selesai Isyak, Alee Tongyun lelaki bertuah yang tenang wajahnya sah menjadi suami kepada Wan Aishah. Semuanya berlangsung dalam suasana sederhana. Sebak juga apabila terkenangkan budak perempuan yang saya jumpa semasa berusia 12 tahun itu kini sudah menjadi isteri orang.
Hampir pagi baru kami pulang ke resort.
Jumaat 23 April saya dan Noor Baini ke perkarangan Masjid Kampung Tambon Kamala, Phuket. Saya ikut sama bergotong royong membuat persiapan hidangan hari persandingan Wan Aishah dan Alee.
Mudah saja menu mereka sayur kangkung, lobak, kacang panjang, kacang parang, ulam-ulaman, sup daging, kerabu kacang, cendawan dan kuih muih tradisi seperti tapai, kuih koci dan kuih lapis serta sejenis kuih yang dikatakan membawa rahmat buat pengantin dikenali sebagai Tongyad yang bermaksud emas.
Majlis persandingan pada 24 April berlangsung dalam suasana meriah dan gemilang. Iringan Kumpulan Gendang Peribumi dari Kota Mahsuri seramai 30 orang yang dibawa khas dari Pulau Langkawi diketuai oleh Ismail Hanapiah atau Cikgu Mail memeriahkan suasana.
Dengan berpakaian kebaya moden rona putih ditabur batu swarozsky senada dengan tudung, Wan Aishah tampil anggun di sisi Alee yang berkot serba putih.
Mereka diarak dengan bunga manggar, bunga emas dan sirih junjung dari rumah Wan Aishah sejauh 500 meter ke perkarangan masjid Kampung Tambon Kamala.
Tidak ada persandingan rasmi pengantin sekadar duduk di pentas yang menyerupai pelamin untuk bersalaman dan bergambar dengan tetamu.
Tuan rumah membawa dulang berisi buah tangan untuk menemui setiap tetamu yang kemudian akan meletakkan sampul surat berisi wang ke dalam dulang. Sebagai terima kasih mereka akan diberi cenderamata.
Pengalaman menyaksikan persandingan Wan Aishah adalah satu kenangan manis yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila.
Pertama kali bertemu Wan Aishah telah saya sematkan di hati, sekiranya saya menjadi orang yang pertama memperkenalkan Wan Aishah kepada pembaca saya juga berdoa agar apabila Wan Aishah berkahwin, saya dapat menulis tentang perkahwinan itu untuk tatapan pembaca.
Alhamdulillah! Hajat saya dimakbulkan Tuhan.
Meninggalkan Kampung Tambon Kamala dan Phuket sesuatu yang menjadikan saya tiba-tiba merasa amat sedih, sayu rasanya hati. Entah bila akan kembali lagi.
Lalu terkenang saya pada cerita ibu Wan Aishah yang bermimpi bulan jatuh ke ribanya semasa mengandungkan puterinya itu pada pertemuan pertama kami 11 tahun lalu.
Pesanan dan harapan saya, dapatkan majalah WANITA keluaran Jun 2010 yang akan berada di pasaran pada 15 Mei ini, anda akan terhibur dengan gambar-gambar eklusif perkahwinan Wan Aishah. Selamat Pengantin Baru Wan Aishah, Alee! Salam.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: