Friday, May 7, 2010

Pendidikan awal usia pilihan Farah Mahami


Farah Mahami Mustapha Kamal bersama kakitangannya membincangkan sesuatu mengenai arah tuju syarikatnya.


PARA bijak pandai ada menyatakan proses pembelajaran tidak pernah terhenti dari awal manusia itu dilahirkan hinggalah masa menutup mata. Sememangnya pendidikan elemen utama bagi melahirkan insan yang dinamik dalam semua aspek kehidupan apatah lagi jika ia dapat dimulakan di peringkat awal usia lagi.

Menghayati konsep itu Pengarah Eksekutif Educate To Learn (e2L) Sdn. Bhd., Farah Mahami Mustapha Kamal memilih untuk menjadikan bidang pendidikan peringkat awal sebagai kerjayanya.

''Biarpun pilihan ini tidak seperti bidang lain yang mungkin lebih glamor dan gah namun ia tetap memberi kepuasan yang tersendiri pada saya.

''Nampak mudah namun hakikatnya bidang ini perlu diberikan penekanan yang penting, kerana bermula dari peringkat asas baru boleh melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,'' ujarnya.

Membuktikan kesungguhan terhadap bidang diceburi Farah Mahami, 28, mengasaskan Institute of Early Years Development yang mengkhusus dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak.

Institut tersebut menawarkan pengajian peringkat diploma dalam dalam pendidikan awal kanak-kanak, selain kursus-kursus sampingan seperti sijil asas pengurusan, kursus kemahiran dan sijil khas untuk latihan jurulatih.

Dengan adanya institut ini beliau berharap mampu melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Baginya, pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu.

''Peringkat awal perkembangan merupakan masa paling kritikal bagi kanak-kanak membentuk identiti kendiri atau 'kesedaran kendiri'.

''Pada ketika itu otak kanak-kanak 'amat terbuka' dan mula belajar, jadi adalah penting bagi mereka diberikan persekitaran dan pemakanan yang memberangsangkan,'' ujarnya.

Katanya lagi, pada peringkat awal usia kanak-kanak memerlukan pemantauan yang serius bagi melahirkan generasi berpendidikan.

''Sebab itu, biar bidang ini mungkin dilihat sesetengah orang tidak glamor namun saya percaya pendidikan adalah perkara penting yang boleh membawa hal tuju diri kita sendiri,'' katanya yang bersyukur diberikan peluang untuk mendalami bidang tersebut.

Bercerita lanjut mengenai institut yang ditubuhkan pada 2006 itu, Farah Mahami memberitahu, ia dibuka kepada semua golongan masyarakat yang berminat dalam pendidikan awal kanak-kanak.

''Kami tidak mengehadkan umur untuk menyertai bidang ini. Syarat yang diperlukan juga sangat mudah,'' ujarnya.

Biarpun kewujudan institut yang terletak di Damansara Perdana menjadi bukti kejayaannya, Farah Mahami masih merendah diri dan menganggap dirinya sendiri masih dalam proses pembelajaran.

''Biarpun kolej ini sudah berusia lima tahun namun saya sendiri masih banyak yang perlu dipelajari. Setakat saya banyak membuat penyelidikan mengenai bidang pendidikan awal kanak-kanak yang diharap dapat memberi manfaat kepada institut ini,'' ujarnya yang berhasrat menjadikan institut tersebut sebagai pusat pembelajaran yang boleh melahirkan guru-guru profesional.

Menurut anak bongsu kepada tokoh korporat terkenal, Tan Sri Mustapha Kamal ini, melalui pendidikan yang diterapkan, pelajar akan didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan kaedah untuk mendekati kanak-kanak.

''Biarpun nampak mudah, namun pendidikan awal adalah asas kepada pembelajaran yang sebenar.

''Kerana dari pendidikan awal itu yang akan terus memberikan pendidikan yang seterusnya'' ujarnya lagi.

Sehingga kini seramai 52 orang guru pendidikan awal kanak-kanak telah dilahirkan oleh institut tersebut.

''Dalam 10 tahun akan datang, saya menyasarkan institusi ini mampu berdiri teguh dengan melahirkan lebih ramai graduan yang boleh memainkan peranan dalam pendidikan awal kanak-kanak,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: