Friday, May 7, 2010

Pelajar SMK Bukit Kepayang teruja sertai bengkel kewartawanan


Ainol Amriz Ismail memberi penerangan tentang kerjaya sebagai seorang wartawan kepada sebahagian 150 pelajar sekolah pada Program Kerjaya Wartawan dan Jurugambar di SMK Bukit Kepayang, semalam.


RASAH 6 Mei - Seramai 150 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kepayang, Seremban 2, dekat sini, diberi pendedahan dengan lebih dekat mengenai kerjaya wartawan dan jurugambar.

Pelajar yang ditemui berkata, pengalaman yang diperoleh itu sesuatu yang berharga, apatah lagi berhadapan dengan individu yang menulis artikel dan mengambil gambar bagi tujuan siaran di akhbar.

Pelajar tingkatan lima, Addeena Rosam, 17, berkata, dia gembira dipilih menyertai program itu dan ia sememangnya dinanti-nantikan untuk menambah ilmu dan pengetahuan khusus berkaitan isu semasa.

''Memang saya kurang berminat dalam penulisan tetapi minat dalam bidang fotografi.

''Barulah saya tahu, bahawa kerjaya sebagai jurugambar ini sama juga mencabar, lebih-lebih lagi mereka yang berkhidmat di agensi media," katanya di sini hari ini.

Addeena merupakan sebahagian pelajar yang mendengar penerangan berkaitan kerjaya wartawan dan jurugambar yang disampaikan Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan, Ainol Amriz Ismail dan jurugambar, Abd. Razak Aid.

Turut diedarkan kepada pelajar adalah 150 akhbar Utusan Malaysia yang menjadi bahan rujukan dan pembelajaran dalam sesi praktikal sempena program itu.

Rakannya, M. Tashvini, 17, memberitahu, sebelum ini, dia cuma membaca akhbar Utusan Malaysia tetapi tidak pernah mengenali individu yang menulis beritanya.

''Selepas mendengar penerangan yang diberikan, minat untuk mendalami bidang ini semakin menebal. Betullah, hanya mereka yang kental semangat boleh menjadi wartawan yang baik.

''Kita juga boleh pergi ke mana-mana untuk mendapatkan bahan berita. Ia tidak terhad di satu tempat kerana apa yang kita lihat itu mempunyai sumber berita yang bernilai," jelasnya.

Katanya, walaupun kerjaya itu mencabar ia membuatkan individunya menjadi lebih matang dan kuat jati diri.

Sementara itu, Muhd. Noor Najmi, 15, berkata dia meminati bidang fotografi.

''Dengan penerangan ringkas yang disampaikan oleh Abd. Razak, ia cukup memberikan kefahaman untuk saya meneroka lebih jauh bidang yang mencabar ini.

''Hari ini, saya tahu bahawa mengambil gambar bukan sekadar rakaman biasa di rumah, tetapi di sekolah, tempat kita melancong dan sebagainya juga boleh dijadikan koleksi yang baik untuk disimpan," ujarnya.

W Yee Voon, 17, juga gembira kerana dapat menyertai program dan bengkel itu.

''Kalau diberi peluang, saya akan memilih kerjaya ini pada masa hadapan. Ia menarik, mencabar dan menyeronokkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: