|
|
Ramai yang terkejut apabila penyanyi Radhi OAG baru-baru ini membuat pengakuan terbuka telah menjadi 'pelanggan' setia najis dadah sejak berusia 15 tahun.
Tetapi tidak siapa yang tahu Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 33, telah berusaha untuk keluar daripada tabiat buruk itu beberapa kali tetapi tidak berjaya.
Kepada Pancaindera, Radhi membuat pengakuan secara eksklusif bagaimana dia menderita gara-gara ketagihan dadah sehingga hidup menjadi tidak keruan.
Enggan berselindung, pelakon Antoo Fighter ini berkata dia tidak mahu hipokrit. Sebab itulah dia tidak malu mengaku dia sebenarnya seorang penagih dadah yang ingin bertaubat.
Bukan untuk mengaibkan diri tetapi hasratnya satu iaitu mahu perbuatan buruk yang dia lakukan dapat menjadi pengajaran kepada generasi muda supaya contoh tidak baik itu dijauhi segera.
Dalam satu pertemuan dengan saya di Hotel Hilton, Petaling Jaya pada malam Rabu lalu, Radhi yang berpakaian baju melayu hijau menceritakan kenapa membuatkan dia mahu berubah dan meninggalkan terus gejala negatif itu.
Katanya, pada malam sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, badannya tiba-tiba menjadi panas ketika sedang khayal akibat dipengaruhi najis dadah.
Pada waktu itu fikirannya benar-benar kosong sehingga hadir perasaan takut memikirkan masa depannya semakin gelap.
Dia juga mempunyai seorang anak lelaki Mohd. Rifdhi Muslim, 5, yang sedang membesar dan memerlukan kasih sayang daripada seorang ayah.
Radhi nekad untuk meninggalkan tabiat buruk itu walaupun sebelum ini sudah dua kali dia mencuba tetapi tidak berjaya.
"Pada malam itu saya kuatkan semangat untuk tinggalkan terus tabiat menagih dadah. Malam tu juga saya buat keputusan untuk keluar dari rumah sewa saya di Damansara.
"Saya menelefon seorang rakan yang bekerja dengan Persatuan Karyawan dan meminta bantuan dia membawa saya keluar dari dunia hitam ini. Rakan saya itu datang dan membawa saya bermalam di pejabat Karyawan. Keesokkan harinya badan saya benar-benar lemah.
"Ketagihan saya menjadi semakin teruk sehingga membuatkan air hidung saya meleleh tanpa henti.
"Akhirnya saya kuatkan perasaan dengan berjalan ke surau untuk mendirikan solat. Alhamdulillah, selepas bersolat tiba-tiba hadir kekuatan dalam diri saya untuk terus meninggalkan tabiat buruk ini," katanya.
Jelas Radhi lagi, perjalanan pertamanya untuk meninggalkan kisah hitam itu ialah ke Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur, tempat para tabligh berkumpul.
Ketika dalam kereta bersama rakannya, banyak dugaan yang diterima termasuklah mendapat panggilan telefon daripada rakan-rakan lama yang mahu mengajak Radhi kembali ke dunia hitam.
"Bila kita niat nak buat baik, akan datang kepada kita ujian yang kadang-kadang sukar untuk diterima. Ketika dalam perjalanan itu saya mendapat panggilan telefon daripada "enam jahanam."
"Mereka ialah kawan-kawan lama saya. Ada yang ajak saya "berdengung", ada yang kata "ada barang baik" untuk saya.
"Ada juga minta saya cuba "barang" yang baru sampai. Akhirnya saya buat keputusan menutup terus telefon bimbit," kata menceritakan dugaan awalnya.
Ketika di Masjid Sri Petaling, Radhi telah bertemu dengan penyanyi Dr. Sam (penyanyi lagu Saya Anak Malaysia) yang memberi semangat termasuk mengajaknya mengikut kumpulan tabligh selama beberapa hari bermula di daerah Gombak.
"Hari pertama ikut mereka saya rasa betul-betul terseksa. Ketika azan subuh, saya tidak boleh bangun. Tapi dia orang tak paksa. Akhirnya saya gagahkan juga untuk melakukan solat.
"Dari tiga hari saya sambung sehingga sepuluh hari sehinggalah mengikut mereka ke Tanah Merah, Kelantan untuk mendekatkan diri dengan Islam," ujarnya yang sekarang ini masih lagi terlibat dengan kumpulan berkenaan.
Selepas hampir dua bulan cuba meninggalkan perbuatan buruk itu Radhi merasai jiwanya semakin tenang tetapi kadang-kala terdengar suara-suara ghaib yang berbisik mengajaknya kembali kepada dunia lamanya.
Apabila bersendirian, perasaan itu dan perasaan untuk mencuba perbuatan lama kembali menghantui jiwa.
Antara petua yang dilakukan Radhi melakukan solat dua rakaat setiap kali jiwa dan perasaan buruk itu hadir.
"Saya terlibat dengan dadah sejak kecil. Memang sukar untuk saya tinggalkan perbuatan itu. Bila duduk seorang diri, akan datang macam-macam perasaan yang mahu mengajak saya kembali kepada kerja lama itu.
"Salah satu cara yang saya buat apabila teringatkan dadah, saya akan melakukan solat sunat dua rakaat.
"Alhamdulillah, jiwa akan kembali tenang. Saya tahu itu semua ujian. Ia dugaan besar tetapi saya memahami Allah itu masih sayangkan saya. Sebab itulah dia berikan saya petunjuk dan kesedaran ini," ujarnya.
Lesap RM500,000
Bercerita tabiat buruk semasa terlibat dengan gejala tidak bermoral itu, sudah banyak wang dihabiskan Radhi. Semuanya untuk membeli dadah.
Pernah pada suatu malam Radhi menghabiskan RM1,000 untuk mendapatkan beberapa paket dadah untuk dikongsi dengan rakan-rakannya.
Jika tidak cukup puas dengan jumlah dadah itu, dia akan membeli lagi sehingga kadang-kadang mencecah lebih daripada RM1,000 hanya dalam beberapa jam sahaja.
Bayangkan kerana najis dadah, wang simpanannya hasil daripada lakonan dan nyanyian yang pernah dikumpul kira-kira RM500,000 lesap begitu sahaja.
"Saya terkejut pada suatu hari saya melihat penyata akaun bank dari RM500,000, saya hanya ada baki RM1.52.
"Masa tu saya betul-betul takut. Saya terfikir, kalau saya tak hentikan perbuatan buruk ini, hidup saya akan menjadi semakin parah. Sebab itulah saya buat keputusan untuk berubah serta merta," katanya.
Kerana dadah dan juga kehidupannya yang semakin terdesak, Radhi terpaksa menjual kereta Proton Wira tetapi syukurlah dia tidak sempat menghabiskan kesemua wang RM7,000 hasil penjualan kereta itu.
Selepas membayar beberapa hutangnya, Radhi sempat membeli sebuah kereta baru yang digunakan sekarang bagi memudahkannya bergerak.
Dadah juga kata Radhi membuatkan rumah tangga yang dibinanya dengan Shazlin Shariff, 32, sentiasa tidak aman sehingga beberapa kali kes mereka terpaksa dirujuk ke mahkamah.
Kata Radhi, dia tidak menyalahkan isterinya yang mahu membuat tuntutan fasakh kerana menyedari mana ada isteri yang mahu bersuamikan seorang penagih sepertinya.
Selama ini dia melihat Shazlin telah banyak bersabar dengan sikapnya sehinggalah sampai satu tahap isterinya itu sudah tidak tahan kerana Radhi masih belum berubah.
"Saya sedar selama ini saya yang menyebabkan isteri hilang kepercayaan kepada saya. Insya-Allah, saya cuba untuk berubah kali ketiga dan berharap dia tidak meneruskan hasrat menuntut fasakh kerana sampai hari ini saya masih sayangkan dia," ujar Radhi.
Nasihat kepada rakan artis
Apabila diminta komennya mengenai penglibatan dadah di kalangan artis, kata Radhi dia tidak menafikan segelintir golongan berkenaan turut terlibat dengan kegiatan tersebut.
Tidak mahu menyalahkan mana-mana artis sebaliknya Radhi merayu supaya mereka berusaha menjauhkan diri dengan segera daripada terlibat dengan aktiviti seperti itu.
"Jangan mudah terpedaya kalau kita ambil dadah, akan ada idea yang mencurah-curah. Itu semua adalah perangkap untuk membawa kita kepada kehancuran.
"Begitu juga kepada peminat diluar sana supaya jangan sesekali mendekati najis dadah kerana ia amat menyiksakan. Ambil pengalaman saya sebagai panduan betapa dadah ini merosakkan hidup.
"Kerana pengaruh dadah jugalah menyebabkan berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak dan pembunuhan apabila akal manusia tidak dapat dikawal. Ini semua adalah pengaruh serta hasutan syaitan untuk menyesatkan manusia. Jauhlah... Ingat pesan saya itu," katanya merayu mereka di luar sana tidak mengikut jejaknya.
Radhi yang turut mengamalkan puasa sunat dua kali seminggu berharap seluruh pembaca dapat berdoa supaya dia benar-benar berubah kerana sudah serik dengan kehidupan seperti ini.
"Doakan saya, semoga keinsafan ini buat selama-lamanya," pinta Radhi diakhir perbualan kami.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: