|
|
Pelakon Umie Aida, 37, mengambil pendirian untuk tidak terlalu memikirkan tanggapan dan tohmahan orang selepas dia membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, hampir dua bulan lalu.
Selepas diijabkabulkan di Masjidil Haram, Mekah pada 14 Mac lalu, Umie menerima dugaan besar apabila dia dikatakan mahu menunjuk-nunjuk mengadakan majlis berkenaan.
Malah isu pakaian persandingan rekaan Jovian Mandagie yang dikatakan agak seksi pada majlis di Hotel One World, Petaling Jaya, pada 28 Mac lalu pula turut menjadi isu apabila ia dikatakan tidak selari dengan majlis nikah yang diadakan di Tanah Suci.
Sudah lali dengan hinaan sejak membabitkan diri dalam dunia seni, Umie atau nama sebenarnya Umie Khalsum Rahmad Ali, 37, tidak menafikan kadang-kala dia sedih dengan sikap sesetengah orang yang gemar memandang seseorang dengan pandangan negatif.
Pada 24 April lalu Umie mengadakan majlis persandingan di rumah keluarga lelaki di Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Pada majlis itu Umie mengenakan pakaian pengantin rekaan Bill Keith berwarna merah jambu dengan konsep bertudung.
Umie turut memakai pakaian dalam yang bersamaan dengan warna kulit agar tidak kelihatan seksi.
Usaha yang dilihat ke arah transformasi kebaikan itu turut dicemuh kononnya tindakannya itu tidak ikhlas.
Tudung yang masih menampakkan rambut digambarkan seperti Umie mahu membentuk imej dirinya seperti "mak-mak datin".
Menjawab persoalan itu, Umie sudah hanya mahu membiarkan masyarakat untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka suka.
Tetapi jauh di sudut hati wanita ini hanya dia sahaja yang tahu apa juga tindakan yang dia lakukan selama ini.
"Kalau bercakap konsep tudung, saya tak berani nak komen. Tapi saya sudah berjanji selepas pulang dari Mekah saya akan buat sesuatu. Saya akan laksanakan janji itu. Apa yang saya rancang akan saya lakukan," katanya.
Tambah Umie lagi walau apa pun kritikan yang didengarnya selepas berumahtangga dia tidak pernah berasa kecewa.
Cuma hatinya amat terguris apabila ada individu yang tergamak memberi kata-kata cacian dan menghina.
Ia adalah satu perbuatan yang tidak dilakukan oleh seseorang yang berfikiran waras.
"Nak kritik, tak apa... kritiklah. Nak tegur, tegurlah. Umie boleh terima semua itu kerana ia untuk kebaikan. Tapi janganlah mencaci. Janganlah menghina Umie dengan kata-kata yang tidak manis," katanya.
Walaupun hatinya terluka dengan kata-kata itu tetapi Umie menganggap yang peting sekali niatnya ikhlas untuk melakukan perubahan dalam hidup.
Maaf makanan tidak cukup
Dalam majlis sebelah keluarga lelaki itu dianggarkan kira-kira 5,000 tetamu menyaksikan persandingan kedua-dua mereka.
Bagi pihak keluarga lelaki, Umie memohon maaf kerana ada tetamu yang tidak berkesempatan untuk menjamu selera kerana makanan tidak mencukupi.
"Tetamu yang diundang seramai 2,000 orang tetapi yang datang kira-kira 5,000 orang. Makanan sudah tidak cukup. Saya dan abang (suami) minta maaf sangat-sangat," katanya.
Yalah... dapat dibayangkan tetamu yang datang adalah untuk melihat dan menatap wajah artis kesayangan mereka dengan lebih dekat.
Kata Umie, dia amat teruja dan begitu gembira dapat meraikan satu majlis persandingan dalam suasana kampung yang ternyata amat berbeza berbanding majlis di Kuala Lumpur.
Mengenai berbulan madu, pasangan bahagia ini memilih Eropah untuk bercuti yang dijadualkan hujung bulan ini.
Bagaimanapun ia bergantung kepada jadual kerja masing-masing memandangkan Umie dan suami agak sibuk. Apa yang lebih penting Umie dapat merasai kebahagiaan dan perbezaan di alam rumah tangga yang sedang dilaluinya hari ini.
"Saya dan abang sedang bercinta selepas kahwin. Memang best," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: