Wednesday, May 19, 2010

'Drama' Mentor 4 berterusan


JUARA... Mus dan protegenya, Ayim (tengah) memenangi pusingan pertama pada konsert kumpulan B Mentor 4 yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, malam Ahad lalu.


BELUMPUN reda cerita panas Mas Idayu yang secara spontan meminta protegenya, Shaq berhenti menyanyi dalam konsert pengenalan Mentor 4, dua minggu lalu, program realiti terbitan TV3 itu terus mencipta drama terbaru.

Kali ini, ia membabitkan penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain yang membuat pengumuman mengejut sewaktu siaran langsung program itu pada malam Ahad lalu.

Sememangnya Ziana mengejutkan ramai pihak khususnya peminatnya apabila membuat keputusan untuk menggugurkan protegenya, Thalia daripada meneruskan perjuangan dalam Mentor 4.

Untuk itu, dalam tempoh 48 jam sahaja, tempat Thalia atau nama sebenarnya, Ketty Natalia Rasul telah digantikan dengan Mohd. Izwan Mohd. Nor atau nama komersialnya, Mohd.

Nampaknya, tak habis-habis drama, gimik dan kontroversi menghambat program realiti yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2005 itu.

Tetapi, apabila membicarakan tentang perkara yang sudah menjadi rencah dalam mana-mana program realiti sekali pun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Sewaktu ditemui sejurus selepas berakhirnya konsert Kumpulan B yang berlangsung di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor, malam Ahad lalu, Ziana memberitahu keputusan itu dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor demi masa depan Thalia.

Ziana menegaskan segala keputusan yang diambil bukan daripada dirinya sahaja tetapi juga melibatkan semua pihak yang terlibat dalam Mentor 4.

Jelasnya lagi, selama tempoh sebulan diberi tugas untuk mendidik bekas protegenya itu, dia membuat kesimpulan Thalia masih lagi belum bersedia untuk mengharungi cabaran dalam pertandingan sebesar Mentor 4.

Tidak cukup dengan itu, masalah kesihatan yang dihadapi Thalia juga menyebabkan sesi pembelajaran terganggu sehingga membuatkan Ziana perlu melepaskannya.

"Apa yang boleh saya katakan, Thalia belum bersedia dari segi mental dan fizikal untuk dibentuk menjadi seorang penyanyi.

"Dia juga perlu sedar untuk menjadi seorang penyanyi bukan sahaja perlu berdiri di atas pentas dan melontarkan vokal.

"Sebaliknya, ia memerlukan lebih daripada itu kerana untuk menjadi seorang penyanyi yang baik, ia juga memerlukan disiplin yang tinggi serta fokus dalam pekerjaan," kata Ziana dalam nada yang cukup tegas.

Mendengarkan jawapan Ziana itu, dapat disimpulkan seolah-olah penyanyi lagu Dingin itu seperti menyerah kalah sebelum perjuangan sebenar bermula.

Malah, jika difikirkan kembali secara logik, bukankah mendidik dan membentuk protege untuk menjadi seorang penyanyi yang bagus adalah tanggungjawab serta cabaran Ziana sebagai mentor?

Bukan itu sahaja, terfikir juga adakah dengan 'gimik' yang tercetus ini seperti sengaja mahu memberi kelebihan kepada Ziana semata-mata mahu mengekalkan rating yang tinggi untuk musim ini?

Adalah difahamkan juga, sebaik sahaja seorang mentor sudah bulat dengan keputusannya memilih protege, ia adalah muktamad dan tidak boleh ditukar lagi seperti mana yang sudah termaktub di dalam kontrak.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain menjelaskan persoalan itu tidak seharusnya timbul kerana apa yang dilakukannya kerana tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

Jelasnya, sudah dua musim TV3 mendatangi dirinya untuk menawarkan tugas sebagai mentor tetapi menolaknya kerana melihat portfolio itu bukan satu perkara yang mudah.

Malah, Ziana menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang cukup besar untuk digalas biarpun memiliki pengalaman luas selama 20 tahun sebagai seorang artis.

"Mentor ibarat seorang guru yang tugasnya mendidik anak murid untuk menjadi seorang yang bagus.

"Apabila diberikan pengganti dalam tempoh 48 jam, itu juga satu cabaran baru buat saya untuk mendidik Mohd.

"Alhamdulillah, saya nampak usaha Mohd. untuk belajar dengan gigih selain berusaha bersungguh-sungguh biarpun hanya pengganti," ulas Ziana panjang lebar.

Sebaliknya, jelas Ziana, Mohd. merupakan antara kelompok lima peserta terbaik musim ini tetapi tidak berjaya terpilih sebagai protege sahaja.

Menariknya, Mohd. menjalani uji bakat bukan untuk Ziana sebaliknya anak muda berusia 22 tahun itu menghadiri sesi uji bakat untuk Mas Idayu.

Biarpun seorang pengganti, Mohd. yang merupakan anak jati Johor mengambil sikap positif dengan terus memberikan persembahan terbaik.

Katanya lagi, dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang kedua itu kerana cukup sedar bukan mudah untuk mendapat peluang seumpama itu sekali lagi.

Konsert pertama kumpulan B menyaksikan kemenangan berpihak kepada vokalis kumpulan May, Mus dan protegenya, Haimie Napsun atau Ayim.

Dengan jumlah markah daripada juri awam dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) yang merangkumi 50 peratus, mereka mendapat 38 markah.

Tempat kedua pula menjadi milik Dayang Nurfaizah dan protegenya, Adi Hamiz Johar atau Adi dengan 32 markah diikuti Ziana bersama Mohd. yang memperolehi 30 markah.

Namun, semuanya masih awal lagi untuk menentukan pemenangnya kerana masih ada lagi dua konsert untuk menentukan pemenang ke peringkat separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: