![]() |
| Wong Choon Mui bersama sajian Nyonya yang disediakan. |
MEMILIKI masyarakat yang berbilang bangsa dan agama, membuatkan negara kita kaya dengan adat resam dan budaya yang berbeza. Belajar memahami dan mengenali budaya kaum lain, secara tidak langsung membantu mewujudkan persefahaman dan keamanan dalam masyarakat majmuk yang wujud di negara ini.
Jika orang Melayu ada makanan tradisional mereka begitu juga bagi kaum India dan masyarakat Cina.
Bukan itu sahaja, Malaysia juga sebenarnya mempunyai masyarakat Peranakan Baba dan Nyonya yang tinggal di negeri Melaka.
Mereka merupakan masyarakat unik kerana kumpulan ini adalah sebahagian daripada kaum Cina tetapi mengamalkan adat resam dan budaya campuran Cina-Melayu.
Peredaran zaman menyebabkan generasi muda yang sepatutnya menjadi pewaris kini dilihat semakin meninggalkan adat resam dan budaya tinggalan nenek moyang mereka.
Bagi memperkenalkan lagi keunikan masyarakat tersebut, restoran Maya Brasserie di Hotel Maya, Jalan Ampang Kuala Lumpur, mengambil inisiatif mengadakan promosi makanan Peranakan atau Nyonya yang bermula 4 Mei lalu.
Promosi tersebut yang diadakan sehingga 22 Mei ini menyaksikan sebanyak 40 jenis masakan Nyonya akan dihidangkan kepada pengunjung hotel tersebut.
Menurut Chef jemputannya, Wong Choon Mui, 59, setiap hari, menu-menu tersebut akan bertukar bagi membolehkan para pengunjung menikmati kepelbagaian dan kenikmatan masakan Nyonya.
''Sebenarnya, masakan Nyonya ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu selain mempunyai banyak persamaan khususnya dari segi penggunaan rempah ratus dalam masakan Melayu, Nyonya dan Portugis.
"Gabungan ketiga-tiga elemen ini juga sebenarnya mengayakan lagi makanan tradisional Melaka.
''Dalam masakan Nyonya selain menggunakan serai dan ketumbar, ia turut disertakan ramuan asli lain yang dapat menambahkan keenakan serta rasanya berbanding masakan lain.
''Aroma berlainan di samping rasanya yang sedikit manis dan masam juga merupakan salah satu keunikkan tersendiri yang terdapat di dalam masakan Nyonya,'' ujarnya..
Bagi menjaga kualiti masakan, katanya, setiap rempah yang hendak digunakan dalam masakan akan dipastikan dahulu kesegarannya selain mengikut sukatan yang ditetapkan.
Jelas anak kelahiran Kampar, Perak ini lagi, beliau amat cerewet dalam menyediakan masakan Nyonya kerana apa yang dilakukan adalah untuk kepuasan hati pelanggan di samping menikmati cita rasa sebenar masakan Nyonya.
Antara menu menarik berkonsepkan masakan Nyonya yang akan disediakan sepanjang promosi ialah Ayam Kapitan, Ayam Pongteh, Ayam Sioh, Sambal Serai Udang, Daging Masak Asam Tuis, Acar Ikan, Sotong Goreng bersama Tamarina, Nyonya Chap Chai dan Kari Ayam Ikan Masin.
Bukan itu sahaja, para pengunjung juga dapat menikmati pencuci mulut yang terdiri daripada kuih-kuih tradisional Nyonya seperti kuih koci, kuih pulut seri muka, kuih lapis, onde-onde dan bubur gandum.
Choon Mui lagi, yang mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang masakan juga amat menitikberatkan cara memasak masakan Nyonya kerana jika tidak kena masaknya masakan tersebut pastinya tidak jadi.
''Cara memasak masakan Nyonya lebih kepada menumis dan bahan-bahannya mesti segar segar.
''Ini amat berlainan dengan masakan Melayu yang banyak menggunakan tepung malah bubur gandum cara Nyonya juga sebenarnya tidak menggunakan gula melaka, ia sekadar menggunakan gula pasir dan santan segar.
''Jadi apa kata anda datang dahulu untuk merasai masakan Nyonya di sini untuk menikmati keaslian citarasanya,'' katanya.
Selain masakan Nyonya, para pengunjung juga boleh menikmati Asam Laksa Pulau Pinang yang pastinya memikat selera penggemar-penggemar laksa.
Berharga RM75 (dewasa) dan RM 37.50 (kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 12 tahun) untuk makan tengah hari dari pukul 12 tengah hari hingga 2.30 petang setiap hari (kecuali Sabtu dan Ahad serta cuti umum).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: